• #mainsurat
  • Posts
  • Temu Pasor: Kuasa Penuh Mereka Zine

Temu Pasor: Kuasa Penuh Mereka Zine

Zine, seni dan masyarakat berpisah tiada!

Julai dan hari ini, Oktober 2025. Tiga bulan telah Ipoh International Zine Fest menutup tirai yang bakal bersedia untuk diselak semula tahun depan. Tiga bulan lalu itu juga, saya dipertemukan dengan kemandirian zine yang nyata di Ipoh.

Pesta tersebut berlangsung dalam Pasar Super Kinta. Acara-acara yang berlangsung pula tidak statik di satu tempat. Dalam bahasa kasar, ia bersepah. Mirip semangat pasar yang menuntut kita untuk bergerak dari satu gerai ke gerai yang lain, hanya untuk memenuhi segala pesanan ibu.

Reruai dan orang ramai banyak berkumpul di aras dua memandangkan ada pentas utama di Kinta Zine Club yang melangsungkan workshop dan sesi perkongsian. Di aras tiga, Sharon Chin dan Zedeck Siew sibuk menguruskan pameran “Kongsi Keramat” yang menampilkan sejumlah karya seni terlekat di dinding. Ketika persembahan “Tiba-Tiba Puisi” pula, kurator membawa kami melalui pasar basah di aras satu sebelum naik ke kedai bunga dan bingkai di aras dua, lalu mengelilingi pula aras tiga di mana terletaknya Studio SYJ, studio keramat seniman Ipoh.

Ia sebuah pesta yang bukan setakat untuk meraikan zine, namun turut merayakan semangat pasar dalam kalangan pengunjung.

Saya teringatkan interaksi dengan seorang tukang jahit. Namanya tidak diingati, namun ketika bersembang saya memanggilnya “Nek”. Ini antara perbualan kami ketika Aliff Awan yang afro dan berseluar pendek ini berjalan depannya:

How are you?” kata Nek. Saya memandangnya dan tersengih.

“Sihat je. Macam nak cari cendollah Nek.”

Mendengarkan bahasa Melayu yang terpacul dari mulut, Nek terus ketawa. “Nek ingatkan kau orang Afrika. Itu sebab Nek cakap bahasa Inggeris.”

Kami sambung berborak dan Nek sebenarnya tak percaya bila dia dapat tahu ada acara internasional akan berlangsung dalam pasar yang dah terbiasa sibuk dengan urusan jual-beli antara warga Ipoh ini. Itu sebab dia mulakan apa-apa perbualan dalam bahasa Inggeris sepanjang 25 hingga 27 Julai haritu. Sekadar untuk menyantuni dan meraikan apa-apa yang diusahakan oleh persatuan pasar tersebut dalam menghidupkan Pasar Kinta. Sempat juga dia beritahu tentang renovation yang akan dilakukan hujung tahun ini, membuatkan ada risau tersorok di sebalik tangan yang masih sibuk menjahit kain itu.

Dan dari cara Nek berinteraksi, kita tahu Ipoh International Zine Fest yang berniat untuk mencabar fungsi ruang awam sebagai pentas seni dan ragam interaksi ini bukan sebuah usaha syok sendiri. Kena gaya, ia akan turut disambut baik oleh penghuni pasar itu sendiri walaupun hanya berbekal duit crowdfund dan tenaga DIY yang banyak.

Ragam pengunjung ketika Wan Syafiqah tiba-tiba berpuisi di Kedai Bunga.

Sama seperti zine yang terlahir dari semangat ibu do-it-yourself (DIY). Isinya sering rencam tapi beberapa tahun kebelakangan ini, di Malaysia, zine semacam jadi satu titik mula untuk seorang artis menempa nama dalam lapangan masing-masing.

Misalnya, Ilham Danish, Neesa Jamal (memilih untuk comeback dengan zine), Siti Alimah dan Adam Taufiq Suharto.

Mungkin juga kita masih percaya dekat “selagi tak publish, selagi itu kau bukan siapa-siapa”. Adakah mencetak zine adalah jalan mudah untuk mencari validation dalam lapangan seni, terutamanya sastera? Mungkin, mungkin.

Cuma, saya lebih selesa untuk melihat pemilihan zine sebagai medium pertama yang dicetak dan diedarkan oleh artis baru ini adalah suatu bentuk keyakinan terhadap kelangsungan berkarya mereka waktu itu.

Macam yang selalu dijulang Jack Malik, apabila work-work ini dikumpulkan dalam satu tempat lalu diriuhkan, ia menjadi sebuah body of work. Barangkali belum sempurna, namun itulah titik mula dekkkk.

Keyakinan untuk edarkan work adalah hal paling lambat kebanyakan artists kita temui.

Tapi, tidak bagi Jay Juraidy yang masih 14 tahun ketika dia hadir ke dalam Pasar Kinta bersama ibunya yang turut mengendalikan sebuah penerbitan dari Kampar, Bagas Ilmu. Tersedia dalam saiz poket dan A5, Jay menghasilkan sebuah zine berjudul Ahmed. Dalam prakata, naifnya berhati besar apabila dia tegas berkata yang cerita Ahmed ini dikarang “to show others who were unaware of the Isr*el attacks in Palestine and to also show how much the Palestinians were suffering”.

Kisahnya mudah; seorang abang dan adik kecilnya yang lapar dijerat perangkap makanan oleh Isr*el.

Sengaja Isr*el dieja dengan * menggantikan huruf “a”. Ia memang tertera dalam zine tersebut dan saya percaya, inilah sensitif dan peka budi Jay dalam berkarya apabila negara laknat ini dieja seolah ia akan ditapis macam dalam medsos.

Zine Ahmed dan beberapa terbitan lain oleh Bagas Ilmu.

Sebagai seorang artis, saya bersangka-sangka dia faham yang dalam bentuk zine, karyanya tidak perlu jadi terlalu unggul. Lagipula ia adalah sebuah karya pertama. Cukuplah mahakarya untuk dirinya sendiri, maka dia pun pilih untuk menjadi berani, cetak dan edar.

Ini adalah semangat zine yang perlu sering ditanam dalam hati pengarang; langkah pertama itu penting.

Dalam lambakan bahan bercetak yang tersedia, kalaupun rasa ia masih mentah, maka carilah beta reader atau penyunting untuk nilai semula, lalu cetaklah. Hidup ini terlalu pendek untuk menunggu, bb.

Ini mengingatkan saya kepada Petak Daud yang mengendalikan Kolektif Ketepi dan Fagiyu. Hadir ke acara sama, kita hanya sempat disajikan dengan work-work terkini beliau. Ada buku dengan cetakan jilid kemas, masih juga ada zine bertulis tangan.

Melihat Petak seperti melihat artifak sejarah. Dia muncul dalam lapangan sastera ketika masih sekolah menengah. Ketika itu, bertulis tangan maha selamba, dia ke kedai untuk fotostat dan tebuk lubang di tengah lipatan kertas A4 yang akan jadi A5. Hari ini, dia seorang Petak Daud yang diterbitkan oleh penerbit, disenarai pendek dalam Hadiah Sastera Selangor.

Semuanya bermula dengan zine.

Mirip seperti kolektif Zine Dari Johor (ZDJ) yang semakin dewasa apabila format cetakan mereka berubah. Dulu, ia mengekalkan semangat zine yang dicetak kemas. Sekarang, selepas menerima beberapa komen dari pembaca setia, mereka jilidkan seperti buku yang kita belek di kedai-kedai tempatan.

Terbitan Kolektif Ketepi dan Fagiyu yang diusahakan oleh Petak Daud.

Apa yang Petak Daud dan Zine Dari Johor tunjukkan ini adalah ‘rakaman raw dan pure’ proses pembesaran mereka. Dari satu medium ke medium yang lain. Dari seorang penulis zine menjadi calon anugerah sastera. Dan ia bermula melalui sebuah medium unggul yang sering diecerkan iaitu zine.

Ketika acara berlangsung, ada rakan dari Indonesia turut berniaga. Namanya Berkawan Sekebun dan dalam sekeping pelekat berwarna ungu, mereka tambah satu penerangan pendek tentang siapa mereka; Berkawan Sekebun: Zine & Lalalili.

Penuh warni, vendor ini paling menyerlah, mirip pengasasnya Dinda yang ketika saya jumpa kali pertama, berbaju kuning terang.

Tertanam di Bandung, hayat mereka masih muda, hanya setahun. Namun, dengan semangat yang tidak dibuat-buat, budi menjadi pusat kepada artists Indonesia berdagang hasil kerja (mirip semangat TOKOSUE kalau di Malaysia), ada banyak peluang yang mereka berjaya raih.

Antaranya kerjasama dengan Kunto Aji. Mereka menghasilkan zine berkonsepkan Mantra, album kedua penyanyi popular berkenaan yang diberi judul Mantra-Mantra.

Walaupun ini bukan hal luar biasa, namun yang mengujakan adalah kerjasama penyanyi dan pereka zine terzahir. Artis tempatan X artis tempatan, kalau ikut bahasa lebih moden.

Transformasi kedai fizikal Berkawan Sekebun setelah setahun.

Di Malaysia, sering semangat zine bergerak sekitar artis kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau zine tidak terjual, dicatu-catulah wang masing-masing hanya untuk sehirup-dua mi segera. Ia belum ada capaian lebih besar.

Apalagi zine dijual sekitar harga percuma hingga RM20 lazimnya. Sepanjang Ipoh International Zine Fest, harganya sekitar ini. Berbeza dengan zine fest di Kuala Lumpur. Harga zine boleh mencecah RM50 dan ke atas.

Sesuai akses lebih banyak terhadap ragam dan warna percetakan, capaian untuk zine-zine dihasilkan oleh artists Kuala Lumpur lebih pelbagai. Saiznya berbeza. Material kertas dan warnanya juga cenderung riso. Malah, topik-topik yang diketengahkan juga lebih pelbagai. Ada kumpulan lukisan dan ilustrasi. Terjemahan. Fotografi. Selain rakaman aktiviti kolektif dan segala luah rasa melalui puisi, cerpen dan catatan seperti apa yang ada di Ipoh.

Zine selalunya dihasilkan oleh tangan artists pemula. Jadi, di mana-mana pun, baik Ipoh dan Kuala Lumpur, apabila mereka berkumpul dalam satu ruang akan ada jaringan yang dibuat. Connection. Untuk kerja-kerja seni bersama akan datang.

Kita kata, hubungan sesama artis tu terjalin.

Cuma, apabila difikir yang sesebuah hasil seni juga perlu sampai ke tangan masyarakat yang lebih umum dan rawak, terasa seolah ruang-ruang yang menghimpunkan artis dalam sebuah acara sebegini seperti sengaja memisahkan. Memisahkan seni dan masyarakat itu sendiri.

Ia jadi sebuah acara untuk peminat seni sedia ada saja.

Pengunjung berkumpul depan pentas utama di lot kedai Kinta Zine Club.

Misalnya, Zine Fest Kuala Lumpur tahun ini mudah diakses oleh pengangkutan awam, tapi ia jauh dari kehadiran orang yang “tiba-tiba” lalu di situ. Lalu, acara begini jadi “siapa tahu, dia tahulah”. Namun, mungkin juga ruang yang sedia menghimpunkan ramai orang lalu-lalang di kota yang tak pernah mati ini mencanak harganya, maklumlah dipegang kapitalis, jadi terpaksalah penganjur pilih ruang lain, yang jumlah lalu-lalangnya terlalu niche.

Kehadiran pengunjung di Ipoh International Zine Fest tidaklah seramai di Kuala Lumpur, namun upaya yang diusahakan oleh mereka untuk menarik orang yang “tiba-tiba” ada di situ untuk turut serta nampaknya membuahkan hasil. Seli antara waktu kerja, auntie penggubah bunga, pakcik pembuat bingkai dan uncle siang ikan, curi-curi singgah festival kecil ini.

Kerana ruang berlangsungnya acara ini di dalam pasar; sebuah tempat legar semua lapisan orang, baik yang minat seni atau tidak. Maka, kunjungan dari bukan peminat seni sedia ada ini terjadi.

Mungkin, ini tanda kita perlu beralih dan hijack ruang seperti pasar juga?

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.