Petak Daud Penyajak Keramat

Gambar thumbnail diambil oleh Elyas Siddiq.

Kalau sebut Petak Daud, dalam kepala saya mesti muncul Keramat (baca: Apa Maksud Pulang Yang Sering Kau Ulang?) dan persembahannya di Balai Seni Negara waktu Festival Anak Muda dulu. Sebabkan masa yang dimain-mainkan, dia muncul dengan satu idea persembahan impromptu. Untuk mengeji permainan disiplin masa sambil Mucky memutar tombol modular.

Sesekali, saya terfikir yang “Berapa banyak aku tahu pasal Petak?” walaupun dah berkawan hampir 8 tahun. Selain nama pena, judul buku, muzik, P-RM dan mengetahui hubungan akrabnya dengan zine sebagai medium utama berkarya, apa lagi yang saya tahu tentang dia?

Untuk fahamkan ini, saya (AA) hubungi Petak Daud satu hari. Untuk tahu sedikit sebanyak pendapat dia tentang persembahan puisi.

AA:
Apa persembahan yang paling tak boleh awak lupakan dan kenapa?

PETAK:
Saya kurang berpeluang menonton persembahan yang pelbagai. Kerana keterhadan itu, saya ada meletakkan beberapa persembahan yang barangkali menarik minat saya. 

Farhan Laut semasa acara Memujuk Gelora (2022) ada membacakan sajak Gus Mus, ‘Kau Ini Bagaimana atau Aku Harus Bagaimana?’. Sajak ini dibacakan Farhan Laut dengan jeda selang beberapa rangkap. Ruang jeda ini dipenuhinya dengan mengikat penonton di sekeliling pentas dengan tisu tandas. Setiap kali jeda, dia akan bergerak dan mula mengikat orang ramai yang berdiri dan memerhati. Pergerakan dalam bacaan puisi ini mengingatkan saya kepada persembahan Seyn Jukey semasa acara Bukak Pintu #RumahKhizanat (2015) di Wisma Central. Semasa Seyn membacakan puisi (atau entah apa) sambil berjalan dengan agresif ke kiri ke kanan, Iqbal datang dari pelbagai arah dan cuba melumurkan cat warna ke mukanya. 

Hamzah Yazd semasa Festival Kolektif 2019 di Ipoh juga ada membacakan puisi. Dia diiringi oleh Miura, sebuah kumpulan muzik. Suara besar Hamzah Yazd yang keluar sebutir-sebutir dengan ketuk drum yang menggoncang, membuatkan saya berpeluh menumbuk langit. 

Persembahan ini kemudiannya mengingatkan saya kepada tahun 2017, ketika pertama kali menonton Lara Hassan & The V di Live Fact. Bezanya, ketika melihat mereka, saya berpeluh kegusaran. Suara sayu Lara yang merintih dalam bacaannya dan bentuk permainan Vinh menenggelamkan saya. Setiap kali melihat dan mendengar mereka, saya harus bersedia.

Sekitar 2009, saya melihat persembahan bacaan puisi Fared Ayam di acara Pekan Frinjan, Laman Menara Jam Dataran Shah Alam. Ini antara persembahan/bacaan puisi terawal yang melekat di dalam kepala. Bacaan dan jeritan emosi malam itu diiringi oleh Norman Jelita di bahagian violin dan Zahiril Adzim di bahagian percussion. Beberapa tahun kemudian, Norman Jelita dan Ayam Fared menjelma pula sebagai Simfoni Ketiak Berachun yang bila fikir, menjadi salah satu persembahan lain yang tak boleh dilupakan saya. Norman bermain violin dan juga gitar, manakala Ayam Fared membacakan puisi dengan gerak-bentuk tubuh yang menyakitkan. Mengilukan. Saya melihat persembahan ini dengan debar remuk yang tak terasa. 

2011. Hocy di Plore Teluk Cempedak juga ada membacakan sesuatu; sebuah puisi. Berani saya katakan ini selepas mendengar terus dari pengakuan lidahnya - bahawa yang dibacakan malam itu adalah sebuah puisi. Hocy berdiri di depan orang ramai, memakai berlapis-lapis baju. Sambil berpuisi, dia menurunkan beg besar dari gendongnya, dan perlahan-lahan membuka helaian-helaian baju yang disarung tadi. Helai-helai baju ini diletakkan cermat ke atas lantai. Pengalaman menonton persembahan ini ada saya selitkan dalam puisi ‘Menuju Teriakan Syahadah’ di dalam naskah Merenung Matahari Mac. Persembahan ini secara terperincinya mengajar saya untuk melihat sedalam-dalamnya erti setiap pergerakan dan kelakuan saya dalam kehidupan. 

Selain dari persembahan langsung, saya juga merasa tertarik dengan bentuk bacaan puisi ‘Keranamu…’ bikinan Rahmat Haron. Walaupun sudah 17 tahun ia berada di atas talian, saya masih merasa ia satu bentuk persembahan yang menggetar, menggegar, dan menyedar - baik dari perkataannya, ideanya, juga kelakuan-kelakuan emosinya.

Sajak ‘Sebatang Lisong’ bacaan dan mainan Dangerdope feat. MC Eloops di The Wknd Sessions juga sering berulang-ulang di dalam kepala. Barangkali kerana cara bacaan Dangerdope mengingatkan saya kepada sedikit bacaan Adam Hazin. Barangkali juga kerana Ali Adenan pernah membacakan sajak yang sama di jambatan Pasar Seni, 2018. 

Cuma kerap kali apabila saya menyedari sesuatu di dalam kehidupan, bayang serak suara Pyanhabib membacakan ‘Status Symbol’ tulisan T. Alias Taib seperti di dalam Mat Som, akan merangkak ke telinga, memanjat ke degup dada.

AA:
Awak tak selalu baca sajak orang, tapi selalu menonton persembahan orang lain. Jadi, nak tahu kalau ada beberapa wish list sajak yang awak harap orang lain akan bacakan?

PETAK:
Weh banyak do nak tengok sajak lain dibacakan. Ksksksksks. Yang saya ingat sekarang adalah;

i. ‘Nikmat dan Ombak’ - A. Samad Said. Puisinya pendek, tetapi penuh. Untuk puisi sependek ini, saya sering membayangkan bagaimana cara persembahan yang baik dilakukan. 

ii. ‘Di Mana Anarkis Pada Usia 30-an?’ - Sue Emoqwin. Beberapa orang sudah membacakan puisi ini, namun saya berharap ia dibacakan lagi dengan bentuk persembahan yang menerkam.

iii. Puisi-puisi daripada Protopunk - Adam Kasturi. Barangkali puisi-puisi dalam buku ini lebih mudah dibaca dan dipentaskan ala teater. Saya rasa ingin tahu bagaimana ia dicarik-carik pembacaan.

Gambar Petak Daud sewaktu persembahan bersama Merafak di Adam Music Studio, Melaka. 2019. Diambil oleh Lan.

AA:
Baru-baru ni, Mosyuki Borhan ada kata lebih kurang macam, "Tak ramai yang tahu puisi seronok untuk ditonton". Jadi, bagi awak, puisi yang macam mana pula seronok untuk didengar?

PETAK:
Soalan ini saya anggap kalau kita betul-betul hanya mendengar puisi. Tidak membaca, tidak menonton. Jadi, saya letak diri saya di tepi-tepi hidup, duduk diam menutup mata, memuatkan fon telinga, dan mula mendengar puisinya. Tidak ada apa-apa di anak mata, tidak ada apa-apa di tangan saya. Yang ada hanya bunyi puisi. 

Saya fikir, puisi yang seronok didengar saya adalah apabila ia menawarkan perbezaan di dalam isinya. Bergantunglah kepada apa pun tentang perbezaan itu - idea, bentuk, kata-kata, bentuk penyampaian, ataupun bunyian lain yang mengekor. Malah sekiranya ada senyap panjang yang diletakkan di tempat yang sesuai, menurut saya ia pasti akan memberikan kesan untuk baris yang seterusnya. 

AA:
Beza tak nak bacakan puisi untuk didengar dan bacakan puisi untuk ditonton?

PETAK:
Ada bezanya dari segi perasaan. Ia tak dapat dijelaskan kerana akhir sekali, kau perlu melakukannya sepenuh hati. 

Barangkali membaca puisi untuk ditonton perlukan lebih banyak nada yang memenatkan. Sementara membacakan puisi untuk didengar - berada di satu ruang tertutup dengan lingkung selesa - barangkali mendapat peluang berterus-terang, sejujur-jujurnya, tanpa ada yang melihat kita terus ke dalam anak mata. 

Kedua-dua ini masih juga proses yang memenatkan. Tetapi ia mempunyai perbezaan yang jelas.

AA:
Pendapat awak, pembaca puisi yang baik adalah...

PETAK:
Saya bukan pembaca yang baik. Sikap tidak sabar ada dalam diri saya semasa cuba menelan satu-satu perkara. 

Membaca puisi pada saya, juga adalah satu tempoh pembelajaran. Barangkali oleh kaitannya, barangkali oleh kesedarannya. Dan untuk menjadi seorang pelajar yang baik, saya harus bersabar oleh masa yang terhad dan perlahan, saya harus bersabar mengosongkan segala kandungan yang sudah saya isikan. Saya harus bersabar dengan pertanyaan, menggoncang tubuh penulisnya dengan soalan demi soalan. 

Sekiranya saya berjaya bersabar dengan satu proses pemikiran terhadap satu-satu puisi berserta maknanya (ha, makna?), saya fikir saya sudah menjadi pembaca yang baik.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.