Siri Sisi Yang Cuba Merakam

Perjalanan sehari-hari dari Rasa ke Sungai Buloh memang lama. Jadi, apa cara untuk bunuh masa?

Awal tahun ni timeline Twitter ditatal sambil berdiri dalam MRT. Waktu itu, Mucky tengah sibuk share satu gambar yang penuh tulisan. Baca sekali jalan, saya terus usaha untuk ikuti rapat apa yang cuba dibuat ini.

Lepas lama usha secara online, akhirnya dua puluh dua Siri Sisi pun dibeli secara pukal melalui TOKOSUE. Membelek-bacanya mudah. Lepas beberapa minit, saya boleh beralih ke siri yang lain. Dalam sekali duduk, boleh selesaikan 5-6 bacaan kalau tak nak tepu.

Tiap kali bertukar siri, idea ringkas tentang zine bersambung-sambung ini dijelaskan secara lebar:

Nota editor yang ada dalam semua Siri Sisi.

Lepas separuh jalan membacanya, Mucky pun di-Whatsapp. Saya tanya dia, “Cemana benda ni boleh start?”

Dia mengulang hal-hal dalam idea ringkas tadi dan menambah, “Much like macam sisi black metal third wave US. Kita ungkap karya yang tidak ketahui dan yang belum pernah diterbitkan.”

Interesting. Untuk tahu energy yang ditawarkan supaya artis-artis muda dan segar ini diperkenalkan adalah sesuatu yang perlu ditepuk-tangan. Memahami asas kerja mencetak yang ditukang seorang diri ini, saya menyambung bacaan dan cuba mencari tahu artists yang diterbitkan dalam Siri Sisi ini. Ini antara yang melekat di kepala:

9. Locknain

Semangat yang dibawa dalam gambar-gambarnya, saya suka. Malaysiana. Seorang makcik dengan serkup dan baju kurung di kedai makan. Sekumpulan orang yang berhimpit-himpit antara diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan on the way masuk dalam kedai. 

Cuma, kalau ada lagi banyak ruang, saya lebih seronok untuk melihat sesuatu yang lebih daripada orang-orang di pekan. Sebab? Ini gambar-gambar yang dah biasa.

Kalau dia masih cintakan pekan, sesuatu yang lebih istimewa perlu dicari, supaya selepas ini, kalau ada gambar-gambar berlatarkan ini, kita tahu ada semangat Locknain. Seperti mana dia cuba mengambil "gambar" Wong Kar Wai, kita kenal ia Wong Kar Wai. Atau… Locknain memang nak ambil gambar dengan semangat Wong Kar Wai saja sampai bila-bila?

13. Perempuanmelawanart

Subhanallah, lukisan-lukisan Finn Anuar ni bila je saya tak suka? Tiap worknya bertegas kasihkan wanita dan kerana hitam-putihnya, kekadang saya ingatkan ia berteraskan cetakan. Atau sebenarnya memang betul?

Finn, yang mungkin lebih selesa dipanggil Perempuanmelawanart sekarang, tak asing lagi dalam dunia ilustrasi semestinya sebab dia telah pun berkolaborasi bersama beberapa brand besar.

Semangat dan gaya lukisannya kita dah kenal. Jadi, dalam Siri Sisi yang ini, saya lebih selesa untuk anggap ia macam sebuah katalog lukisan-lukisannya, sebagai satu usaha pengarkiban. 

15. Orang Luar

Siri yang ini promising. Apabila semangat tubuh luaran dan dalaman bertemu.

Kampung Setanggi Wangi antara yang menarik. Apabila baris "Siang manusia cari nasi/ Malam setan cari nadi", ia boleh dianggap satu permainan susun kata yang menarik.

Namun, penguasaan kosa kata Orang Luar masih lemah, menyebabkan puisi-puisi "misteri"-nya berlegar sekadar orang luar yang bercakap tentang hantu. Orang luar yang tak kenal perkataan misteri lain selain misteri. Orang luar yang tak nak tahu kalau bomoh yang dicakapkan adalah dukun atau dalang. Ia akan jadi lebih eerie dan terngiang-ngiang kesan pembacaannya bila kosa kata ini dikuasai supaya bila dibaca, kita rasa seolah-olah sedang cuba menjampi-kirim seseorang.

17. M. Emir

Akhirnya, dapat pun baca kompilasi karya penulis ini dalam satu naskah. Kalau perlu, saya memang sentiasa akan jaja nama M. Emir ke mana-mana sebagai salah seorang penulis yang berjaya tarik perhatian.

Penguasaan bahasa dan definisi puisinya, saya kira dah setara dengan penulis mapan. Namun, bila kita membacanya, kalau perlu berteka-teka siapa empunya karya, mesti kita sebut, "Oh, ini Jack Malik punya!"

Dan, ini bukanlah masalah besar pun untuk penulis pemula. Malah, kecenderungan mengikuti gaya dan bahasa penulis yang dibaca selalu adalah tidak ganjil. Seperti mana Karim pernah disebut mirip dengan gaya Latiff Mohidin, tak salah pun kalau orang kata M. Emir macam Jack.

Cuma, selepas fasa yang ini, dia perlu pilih. Sama ada masih mahu menulis yang begini atau menjadi Emir yang Emir. Adakah Emirisme, seperti yang dia cakapkan dulu, akan terlahir satu hari nanti?

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.