Minggu lalu, bunyi RnB dan noise-puisi dipilih oleh daude dan Ingkar dipetik dengan harapan ada kemeriahan yang bakal menunggu mereka tahun ini.
Kali ini, kita tampilkan pula seorang penyanyi folk alternatif. Telah bermuzik sekian lama, namun tahun lepas dia kembali.
“Kita semua pendatang, kita semua pendatang” adalah baris pertama yang saya betul-betul dapat capture ketika Straw Lim sound check di sambutan ulang tahun ke-25 Gerak Budaya tahun lepas.
Kemudian, kami bertegur sapa. Ringkas. Sempat saya beritahu tentang kekaguman terhadap jumlah dan skala festival muzik menampilkan artis-artis berbangsa Cina yang berlangsung tahun lepas.
Gadis yang baru selesai menguji bunyi gitar akustiknya itu angguk-anggukkan kepala sebelum saya bertanya tentang baris yang didengari tadi. Takut-takut, salah.
Dan itu permulaan saya mengenali pemuzik berasal dari Kota Kinabalu ini. Rupa-rupanya, album keduanya, Pulang, baru keluar selepas lima tahun mengerjakannya.

Lirik lagu Kerisantimum. Mungkin kita akan pandang Teh Tiga Lapis atau Teh C Peng sedikit berbeza selepas ini.
Baris “pendatang” tadi dari trek ke-5, Kerisantimum. Dibuka dengan melodica perlahan di sebelah kanan dan bunyi-bunyi percussion very the dramatic, menggerak-gerakkan bahu; “manusia asalnya dari mana/ siapakah sang pewaris pertama/ kita semua pendatang.”
Dalam versi studio, segala baris kedengaran lebih jelas buatkan konteks lagu makin mudah difahami. Apatah lagi setiap belian CD disampingkan dengan sebuah zine bermuka hadapan kertas perak liplap. Di dalamnya, terisi lirik lagu, senarai alat muzik yang digunakan sepanjang rakaman, beberapa temu bual ringkas dan pengenalan kenapa album ini dikonsepkan sebegini.
Pulang yang turut dibahasakan sebagai Marilah Pulang adalah tentang mencari tunjang peribadi dan mengesahkan penerimaan diri dalam sebuah tanah yang berbilang warna.
Apatah lagi, gadis yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini sebenarnya berasal dari Sabah. Generasi-generasi terdahulu keluarganya pula dipercayai hadir dari keturunan dan negara yang pelbagai, membuatkan Straw terasa seperti perlu mencari siapakah dirinya yang sebenar?
Dalam zine sama, baris pertama yang kita jumpa “What does it mean to be Malaysian?”
Dan tidaklah menghairankan apabila kita disambut dengan Colourbration sebagai lagu pertama. Tabla laju dipalukan oleh Prakash Kandasamy sebelum disambut oleh sahut-sahutan harmoni koir.
Saya anggap ini memang sebuah lagu yang direka khas untuk memulakan album serba konseptual ini. Rangkap pertamanya memaknakan sebab kesemua 10 lagu ini dihasilkan; “behold the mighty rainforest/ a guardian of vibrant lives/ beneath the sky, all life is one” sebelum disambung rangkap kedua, meluahkan isi hati gadis yang juga merupakan pereka grafik ini; “wandering alone through the colours/ searching for a sense of belonging/ may the world be as kind as the earth”.
Kebanyakan lagu dalam album ini apabila berdiri tunggal, tidaklah mempunyai build up tersendiri seperti lagu-lagu pop memorable. Bubble dan Colourbration antara lagu yang rasanya kedengaran terlalu mendatar dari awal sehingga habis. Tapi, sebabkan ragam alat muzik dan cara Straw melafaz lirik yang very the tenang, ia jadi something. Ada rasa soothing yang hadir setiap kali selesai setiap lagu.
Did you hear what they said
about the 2.6
under the desk behind closed doors (hush hush)
To silence the sting of helplessness
they turned inward
becoming self-reliant
unknowingly building a wall between us and them
Oh, remember a time when neighbourhoods had no fences
what happened to us?
Ini antara baris yang mewajarkan Straw untuk tidak perlu menyanyi lantang sebab vokal tulisannya telah serba garang.

Sejumlah alat muzik yang digunakan dalam penghasilan album ini. Dimuatkan dalam zine Marilah Pulang.
Biarpun akar album ini kedengaran seolah mengkritik sistem masyarakat dan politik negara terhadap warga minoriti, tapi ia adalah untuk mencari makna manusiawi dalam keributan kita semua yang tamak nak rasa berkuasa terhadap takdir dan keputusan hidup individu lain.
Trek keempat, Sayang, bermelodi romantik. Seperti judulnya, ia sebuah lagu cinta namun dilapikkan dengan satu idea tentang hubungan silang bangsa. Korus lagu ini mengekor formula lagu lovey-dovey lama seperti Sandarkan Pada Kenangan dengan menampilkan Brendon De Cruz sebagai persona lelaki.
Sebaris dilafaz Brendon (L) akan dibalas oleh Straw (P).
L: Manis senyumanmu, sayang
P: Why are they upset?
P: Why can’t we celebrate love?
L: I will fight for us
Fight. Lawan. Perjuangan. Mungkin inilah sinonim yang mudah untuk dikaitkan dengan Pulang. Namun, selain baris penutup lagu terakhir, Home, iaitu “bebaskan pemikiran/ jiwa merdeka, kita merdeka/ padamkan rasa beza yang/ kian membakar, kian menyala”, sebenarnya tak banyak baris lain yang menggesa kita untuk bertindak.
Sebaliknya, dalam album kedua ini, Straw hanya menyoal dirinya dan kebetulan dalam proses mencari jawapan, banyak lagi persoalan hadir yang in some ways, dia tahu ia tidak boleh diselesaikan sendiri tapi memerlukan kerjasama komuniti.
Jadi, sambil-sambil menunggu respons, dia melibatkan diri dalam komuniti pendidikan di Sabah yang dipanggil Borneo Komrad dan Sekolah Alternatif.
Malah, dia sedang mengusahakan sebuah EP bersama kumpulan komuniti ini.

Senarai acara menampilkan Straw Lim sehingga awal Februari 2026.
Penerokaan tak berhenti di sini. Hujung Januari nanti, Straw Lim akan terbang ke Okinawa untuk Music Lane Festival dan pada 6 Februari, dia akan berpentas di Wild Lab, Taipei menyanyikan bunyi-bunyi Malaysia yang dizahirkan dalam Pulang.
Impiannya tahun ini kalau boleh nak jumpa lebih ramai pendengar, baik baru atau sedia ada. Sambil-sambil melibatkan diri dengan kerja-kerja kreatif dan NGO, ada mimpi lain yang dia harap menjadi realiti iaitu untuk berpentas di setiap negeri dalam negara pelbagai ragam ini.
Usaha untuk memastikan muziknya sampai kepada pendengar adalah dengan meraikan bahasa dalam tulisan liriknya; Mandarin, Melayu, Inggeris malah dalam trek ke-9, Air, ada bahasa Bajau dan Suluk yang dinyanyikan.
Sekarang, ia terpulang kepada pendengar untuk menerima bunyi Straw Lim sebab kalau bahasa adalah temboknya, ia telah dipecahkan lebih dulu. Jadi, apa pula halangan lain yang ingin dibina?
–
Ini adalah senarai wajib yang dibuat untuk berkongsi beberapa artis yang kami look forward. Namun, senarai ini diberi nama #mainpeduli sebab sejauh mana kami boleh name drop dan kongsi artis yang kami minat (baca: sebuah kepedulian), ia juga bergantung kepada artis-artis ini untuk kekal konsisten dan pergi lebih jauh (baca: sebuah perjudian, bermain dengan untung nasib dan usaha).
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
