Aue et al. akhirnya muncul dengan album sulung mereka, Analisa. Memuatkan tujuh lagu, album artnya super-simple; teks emas diberi kesan embossed dengan latar merah kulit buku.
Katanya, ini sebuah mimik kepada buku berjilid tebal projek akhir tahun pelajar universiti. Apatah lagi, EP sulung mereka terdahulu berjudul Metodologi, bahagian paling awal untuk sebuah kajian tesis.
Ada konsep yang cuba dipegang nampaknya; akademik.
KAJIAN KES
Tapi, apa yang akademik tentang band pop alternatif dari Kuala Lumpur ini?

Album art “Analisa” oleh Aus et al.
1.0 PENGENALAN
Kesemua lirik lagu ditulis oleh vokalis band ini, Aus. Cerita dalam Analisa terhasil daripada perkongsian kisah hal yang terjadi tiap hari. Bukan sekadar hal peribadi, namun juga memuatkan isu kesedaran kesihatan mental, perbualan kosong, hubungan ayah dan anaknya yang masih bayi dan ajakan mendoakan terbaik untuk insan tersayang.
Melalui album ini, mereka ingin mengukur uji sejauh mana pendengar boleh menemukan perkaitan dengan diri masing-masing dalam kisah-kisah yang dinyanyikan. Penulisan ini akan menilai keinginan ini melalui satu penilaian terhadap dua aspek utama lagu (menurut teori kawe); sudut pandang dan penceritaan lirik, dan kesatuan bunyi.
2.0 KAEDAH KAJIAN
Radio memutar genre pelbagai sebenarnya. Bukan setakat balada laung dengan pegangan notasi perper saat. Kita dihidangkan juga pop matcha versus kopi, genre terlakur tradisional moden cakcekuk dan sesekali band punk boneka kerajaan yang homofobik.
Cuma, lagu-lagu putaran radio ceritanya mirip; cinta tak kesampaian, lelaki membahasakan tubuh wanita dilapikkan pickup line sebab hidupnya sunyi jadi marilah kita berkongkek-kasih, jodoh yang dijaga orang lain dan kesilapan jatuh hati lampau hanya untuk membodohkan diri pekatnya kepada khalayak.
Temanya asyik cinta, sudut pandangnya pun sering dari kaca mata pertama; aku dan kau. Cerita tiap lagu walau sedikit berbeza tapi apabila itu saja tema yang ditawarkan kepada pendengar maka nampaklah ia seperti sebuah longgokan lagu menunggu masa di-plastik hitamkan seperti baju bundle.

Kelima-lima ahli Aus et al. Dari yang bersandar pokok; Aus (vokal), Ali (dram), Jin (bes), Azee (gitar) dan Hisyam (papan nada).
Lapangan muzik alternatif asalnya sinonim dengan menawarkan bunyi-layyen-ciked, namun sejak beberapa tahun lepas, ketika duit telah dilabur untuk biaya setiap penghasilan lagu, tidaklah menghairankan apabila terlahir pemuzik-pemuzik alternatif yang memilih untuk mengikut bunyi lagu-lagu radio kerana mereka juga memerlukan pulangan wang.
Jika tuah tidak datang di kaca TV dan radio, sekurang-kurangnya ia menerima perhatian media sosial terutama TikTok dan Instagram.
Apatah lagi sejak beberapa tahun lepas, fenomena lagu galau dari Indonesia memuncakkan lagi obsesi media, radio dan pemuzik baik arus perdana atau indie untuk menghasilkan lagu dengan formula sama; keakuan, taburan gejolak hati dan mencari pengesahan tindak seperti warga Threads kini.
2.1 SUDUT PANDANG DAN PENCERITAAN LIRIK
Sebenarnya, Aus et al. turut terkesan dengan kegalauan ini.
Malah, konsep keseluruhan album Analisa yang berusaha untuk mengaitkan kisah peribadi penulis dengan cerita-cerita harian pendengar juga boleh dianggap sebagai satu percubaan mengekor rapat fenomena radio semasa.
Ini terutama jelas dalam Senandung Disember yang tampil serba minimalis dalam graf penghasilan lagunya. Dibuka piano serba melo sebelum disambut ad lib ahhh oleh vokalisnya. Meruntun, menetapkan mood.
Melodinya mengiang, membenarkan ia terulang-ulang oleh bibir selama seminggu-dua tanpa sedar. Disokong pula lirik deskriptif yang rinci; “mengenangkan semalam/ yang terasa seakan mencengkam/ menyelubungi riak tubuhku/ yang semakin hanyut dan membiru”.
Biarpun kata ganti nama diri “aku” tidak diulang kerap (that’s a good thing), namun perasaannya jelas hadir dari hati persona sendiri; “ingin tidur/ walau tiada lena/ ingin menangis/ walau sedang tertawa”. Keakuan lagu ini cuma betul-betul hadir ketika korus;
senandung Disember
aku curahkan segalanya
agar aku tak terlupa
apa maksudnya kecewa?
Keakuan adalah sudut pandang paling mudah untuk ditulis. Sering ia lahir dari kaca mata penulis sendiri dengan tokokan tertentu. Hal ini lazim muncul dalam apa jua jenis lagu dan ia bukanlah ciri utama sebuah lagu galau, namun yang menjadi galau apabila ada percubaan untuk merintih dan bertele-tele tentang perasaan sendiri. Seperti yang terjadi dalam korus ini.
Mujur, inilah lagu tunggal yang menyanyikan rintihan begini dalam album, sesuai dengan konteksnya yang menghuraikan gelora mental peribadi ketika hujung tahun.
Malah, biarpun lirik dengan sudut pandang pertama ini turut diulang terutama dalam Kau Okay? dan Perihal Mimpi, namun ia tidak membuatkan dua lagu ini tergolong dalam kategori lagu jenis sama kerana keakuan dijadikan sebagai alat untuk berinteraksi dengan individu lain berbanding meluahkan perasaan sendiri.
ceritakan padaku perihal mimpimu
agar kutahu betapa dalam inginmu
apa yang kau mahu?
apa yang kau rindu?
selalu kubertanyakan soalan adakah “kau okay?”
dan kau selalu beri jawapan dengan senyuman, yang kau okay
Dalam banyak cara, Aus et al. sering menghala ke fasa seterusnya selepas “healing”, iaitu menghulurkan nasihat.
2.2 KESATUAN BUNYI
Memuatkan lagu-lagu yang dikarang sejak 2020 sehingga 2022, Analisa hadir sebagai kompilasi koleksi lagu berbanding sebuah projek album yang dimulakan kerana terjumpa sebuah konsep nyata. Dalam kata lain, tiada satu cerita atau genre yang memegang keseluruhan album ini. Jadi, penggunaan pop alternatif cukuplah memadai.
Menyedari kelompongan ini, kelima-lima ahli Aus et al. hadir dengan satu idea untuk memberi makna kepada projek yang telah diusahakan lebih lima tahun ini iaitu akademik.
Penggunaan “akademik” macam cita-cita besar, tapi untuk album ini boleh dikatakan sebagai satu pilihan tepat kerana ia menghulurkan satu persoalan ilmiah; bagaimana untuk menyatukan karya-karya yang tidak dibuat dalam satu tempoh dan tujuan yang sama, menjadi sebuah projek yang kedengaran semenggah?
Pop rancak seperti Hey Sudahlah! dan Doa Jumaatku diselikan dengan melo pop balada Kau Okay? dan Senandung Disember. Ketika keempat-empat lagu ini memberi mood berbeza; joget kemudian sedih memeluk kemudian joget semula dan sedih memeluk sekali lagi, jadi bagaimana ia tidak kedengaran janggal?
Kehadiran Megat Fazly (Resonant Pribadi), Hazeeq Azhar (Ruang Mekar) dan Alkamil Kamarludin sebagai jurutera yang menentukan arah bunyi terbaik untuk album ini nampaknya berbaloi. Tiada bunyi yang tiba-tiba tenggelam, tiba-tiba terkuat. Seimbang, membuatkan perjalanan mendengar keseluruhan album lancar selancar-lancarnya.
Doa Jumaatku yang serba meriah dengan instrumen terhasil paling kemas.
Setiap satu alat diberi ruang untuk didengari, membenarkan pendengar tahu setiap fungsi instrumen. Trumpet dan trombon yang gagal nyaring, akustik gitar biarpun tiap petikan tersebut tergesek nyilu, ia tidak mengeletek gegendang telinga. Ketika lagu hampir tamat, papan nada diutamakan, membenarkan ia mempunyai momen sendiri, memberi pengalaman geleman lain mendengar.
Juga Pengenalan yang diletakkan sebagai intro biarpun tanpa sebarang lirik, tidak hadir sebagai filler. Ia adalah bunyi pertama yang sekali gus menjadi penentu bagaimana bunyi-bunyi yang akan pendengar dengari selepas ini.
Malah, kerana lagu pembuka ini juga, ia buatkan kita sedar yang Aus et al. tidak bergantung sepenuhnya kepada lirik-lirik Aus, namun kerana juga permainan bunyi oleh Ali Maswari (dram), Azeem (gitar), Hisyam Weng (papan nada) dan Jin (bes).
Pertemuan mereka melengkapkan Aus, bukan sekadar sokongan.
3.0 PERBINCANGAN
Berbalik kepada misi utama Aus et al. menghasilkan album berdurasi 27 minit ini; mereka ingin mengukur uji sejauh mana pendengar boleh menemukan perkaitan dengan diri masing-masing dalam kisah-kisah yang dinyanyikan.
Sebenarnya, ia misi yang mudah untuk dicapai terutama dengan formula pengulangan citra pandang pertama dan juga kemahiran bercerita semula jadi yang ada pada Aus.
Namun, sebagai pemain muzik yang kebetulan kekuatannya bukan sekadar bercerita tapi juga bijak menyatukan bunyi, membenarkan setiap instrumen berfungsi sebaiknya walaupun tanpa momen-momen solo, adakah wajar ini menjadi misi tunggal mereka?
4.0 KESIMPULAN
Berkali-kali telah diulang bagaimana Aus ada kekuatan bercerita tersendiri, namun setakat tujuh lagu, kesemua liriknya bersifat keakuan jadi untuk mendengar tulisan lain yang tidak bergantung kepada sudut pandang pertama lagi selepas ini sudah tentu antara perkara yang ingin diperhatikan.
Malah, sebenarnya pertimbangan utama lain yang perlu diambil kira oleh mereka selepas ini juga mungkin adalah untuk menyerlahkan lagi permainan muzik mereka. Tanpa kebergantungan lirik.
Sebenarnya, mendengarkan Aus et al., ada ingatan muncul terhadap sebuah band Korea bernama LUCY.
Dihasil selia sepenuhnya oleh penerbit yang juga pemain bes kumpulan ini, Cho Wonsang, dia bukan sekadar mengasah skil penulisan liriknya tetapi ketika awal kemunculan, ada beberapa trek yang sengaja ditulis dengan fokus penuh untuk menyerlahkan instrumen muzik sahaja. Seperti Intro, Outro dan Snooze yang akhirnya menjadi lagu yang ditunggu-tunggu peminat ketika konsert biarpun bebas lirik.
Bukanlah ini akan mengubah arah LUCY menjadi band bermain instrumental saja kerana setiap kali comeback, single utama kekallah lagu dengan lirik. Tapi ini lebih kepada hadiah untuk peminat yang pilih untuk mendengar keseluruhan album dan menikmati tiap pemain muzik dan instrumentnya.
Dalam kata lain, teruskan menulis lirik begini tapi jika ada “fillers” yang ingin ditawarkan dalam album kemudian, ulanglah formula Pengenalan.
Bukanlah juga ini suruhan kepada Aus et al. tapi trek pertama ini buatkan ada bayangan hadir yang mereka juga sesuai ikuti jalan ini.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].