Apabila Aus nyanyikan “aku lihat kau tak semula jadi” dalam rangkap kedua lagu terbaru band alternatif pop dari Kuala Lumpur ini, aku fikir banyak.
Apakah emosi, raut atau tingkah semula jadi yang dimaksudkan di sini kalau keluarnya kita dari rahim ibu adalah dengan kemaman mata, merah kulit dan tangisan perlu sebagai tanda kita bayi yang normal? Kalau hal-hal semula jadi adalah reaksi lahiriah, apakah yang dimaksudkan dengan melihat seseorang dalam keadaan tidak semula jadi?
Kau Okay? dibuka dengan petik melo gitar akustik, setting the mood sebelum dalam rangkap pertama, Aus lafazkan baris-baris visual:
semalam
aku melihat langit malam
entah mengapa bintang timbul tenggelam
seakan memohon pertolongan
Ia puitis untuk memaknakan kejadian alam sebagai satu sikap manusia. Seolah itulah cara lain kita menilai tingkah sekeliling; dengan memerhati ragam alam. Namun, gaya tulisan rangkap sebegini tidaklah dipanjang-panjangkan dalam lagu kerana selepas itu, kita akan diperdengarkan dengan segala persoalan risau dari seorang manusia kepada seorang manusia yang lain.

Artwork “Kau OKay” yang diambil oleh Ali, pemain dram Aus et al.
Disentuh tangan Megat Fazly sebagai produser, single ketiga Aus et al. ini adalah yang terakhir sebelum mereka bakal hadir dengan album sulung, ANALISA, pada 30 Disember 2025 nanti dengan baki empat lagu yang belum diperdengarkan kepada khalayak lagi.
Malah, selepas Doa Jumaatku, aku macam started to get a glimpse apa yang cuba dibawa oleh mereka; sebarisan lagu terisi pengajaran hidup dari sudut yang tidak begitu common.
Dalam single pertama, Hey, Sudahlah! tertulis dari kaca mata seorang ayah yang terjaga pada suatu malam kerana anaknya menangis. Sepanjang proses memujuk, dua perkataan ini terlafaz dari bibir ayahnya dengan harapan gadis kecil tersebut berhenti meraung.
Doa Jumaatku pula ada semangat nasihat yang besar. Tidak dilewahkan dengan muzik bertele-tele dan memaksa kita untuk muhasabah dengki yang mungkin ada dalam hati, lagu ini ditulis serba happy terlahir dari seorang individu yang ingin beri peringatan mudah; “Jom doa yang baik-baik untuk orang lain juga?”
Aku rasa konsep “beri-nasihat” yang dibawakan mereka ini is very the healthy ketika bunyi muzik Malaysia dilemaskan dengan lagu-lagu keakuan yang konon mencari makna hidup, tapi sekadar beri validation terhadap suram emosi yang berpanjangan. Setiap perasaan wajar diraikan, tapi apa-apa yang berlebihan tidaklah begitu “sihat” untuk didengar-lihat, kan?
Jadi, untuk dengar wujudnya satu cambahan lain iaitu fasa mencari jalan keluar dari emosi yang barai selepas meraung baris-baris lirik healing, aku anggap konsep “beri-nasihat” ini kesinambungan yang wajar walaupun tidak dirancang.
Malah, Kau Okay? hadir dengan graf pembinaan emosi yang menarik. Sekadar buka dengan satu instrumen di awal lagu, disambung pula vocal layering ketika pre-korus dan perlahan-lahan dram masuk, melengkapkan suasana “kau-suram-meh-nak-kasi-semangat-sikit” sebelum gesek gitar meleraikan korus pertama.

Dari kiri; Jin (bes), Ali (dram), Hisyam (papan nada), Azeem (gitar) dan Aus (vokal & gitar).
Selain permainan build up yang kemas ini, wajar dipuji karakter yang Aus pegang sepanjang menyanyi. Instead of kedengaran seolah mahu menyanyikan perasaan kita, Aus lafazkan tiap patah lirik seperti seorang rakan yang seriously nak check on his friend.
Dan dalam kesebalan hidup, inilah yang cuba ditegaskan oleh mereka; kalau nampak individu sekeliling kita macam tak okay, can we try to check on them?
Cuma, merespons kepada judul, aku memang ada masalah untuk jawab soalan “kau okay?” yang diajukan oleh orang lain.
Sering apabila soalan ini ditanya, kepala diangguk dan tenaga penuh jawab “eh, okay je!” walaupun pagi tadi terjaga dengan debar hellaju dan ketika disoal, masih dalam fasa recovery.
Awat jawab gitu?
Sebab… betul ke seseorang itu tanya tentang keadaan terkini aku untuk tahu segala jerih emosi yang sedang dilalui atau “kau okay?” is just another hello dan assalamualaikum?
Berapa sedia untuk dia dengar;
i) “Abang aku yang ada masalah mental, lepas dua bulan okay, tiba-tiba kesihatan dia merosot balik. Jadi, semalam dia lempar-lempar barang dekat mak aku” ATAU
ii) “Member baik aku dalam lokap ni. Semalam ada raid dan the stigma online is so bad, merenyahkan segala urusan dekat balai untuk diikat jamin” ATAU semudah
iii) “Crush aku baru je reject aku doh dalam 20 minit tadi”.
Risaukan ketidaksediaan untuk hal-hal barai ini didengari, jadi seringlah dipilih untuk kata yang… ye, aku okay. Lebih mudah.
Lagu ini menjengah isu kesihatan mental dari kaca mata seseorang yang risau dengan tingkah individu berdekatannya.
Namun, untuk mengorek cerita yang terbuku di sudut hati mereka, adakah ini soalan atau ayat pertama yang mahu didengar?
