- #mainsurat
- Posts
- Dari Kaca Mata Pereka Poster Mat Kilau
Dari Kaca Mata Pereka Poster Mat Kilau
oleh Aliff Awan
Selepas habis menonton Mat Kilau di panggung dulu, saya tak boleh tahan tangan daripada buka Facebook dan upload status berbunyi, “Selesai join Kem Motivasi. Antara kata-kata penceramah yang saya takkan lupa mestilah, “Rokiah, abang datang!” ❤️❤️❤️❤️❤️”, disertakan dengan gambar platform keluar panggung ini:
Mudah untuk kita tulis panjang lebar tentang kualiti cerita filem sebegini, sebab di mana-mana pun ada salahnya, tapi payah untuk ia dinilai dengan perkataan pendek yang adabnya masih ada. Kalau ada, dari saya: Mat Kilau adalah filem paling laku dan paling barai dalam sinema kita sepanjang lima tahun lepas. Beto Kusyairy dan Wan Hanafi Su yang kita sedia tahu power pun tak mampu selamatkan filem ini.
Namun, di sebalik tayangan yang sukar untuk diterima akal, satu-satunya hal menarik pasal cerita ini adalah bahan promosi mereka. Lebih mudah, penghasilan salah satu konsep poster filem ini iaitu poster karakter.
Ketika tayangan masih berlangsung, saya baru habis gian menonton wayang tiap minggu jadi benda paling ralat adalah untuk melihat ketaasuban produksi filem menyelitkan semua pelakon dalam hanya sebuah poster. Baik luar negara atau dalam negara. Soalan paling mudah; apa motif?
Kita sebenarnya tahu saja antara sebab utama ini berlaku adalah kerana nak jual pelakon.
Meringkaskan perkara ini, sila rujuk poster filem The Avengers: End Game. Semangatnya adalah untuk letak, kalau ada sejuta karakter, sejutalah karakter yang akan ditampal dalam sebuah poster. Dengan alasan, “Pelakon aku power, kau kenal. So, meh jom tengok!”. Cuma konsep ini terus diulang untuk sebuah filem aksi-adiwira lain yang akhirnya, penangan ini memberi kesan kepada filem Marvel terutamanya kerana mereka kerap muncul dengan visual sejuta karakter sebegini lagi dalam filem-filem seterusnya.
Poster utama filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof (2022).
Mungkin di mata produksi, kemunculan watak-watak ini dalam first look sebuah filem adalah sangat penting sebab “kita nak jual pelakon”, tapi dari jauh, di mata sesetengah orang, soalan yang muncul di kepala mereka adalah “awat hangpa semua recycle direction poster korang ikut genre ni ek?”. Tak kreatif. Berulang.
Dalam satu proses-mengumpul-reaksi yang dilakukan oleh Ella Kemp (One-Sheet Wonders: the art, psychology and people behind film posters), dia telah bentangkan beberapa filem kepada bapa-ibunya dan salah satunya adalah Infinity War. Kata bapa Ella, “Who the bloody hell are all these people? It’s not dramatic enough. I would have had one man with a lightning bolt and colors.”
Soalan kepada pereka dan pengarah aksi-adiwira (yang sepatutnya turut terlibat dalam memilih konsep poster): Adakah ini satu-satunya approach yang korang boleh buat untuk filem genre jenis ini?
Mat Kilau tak lari daripada dosa ini. Lagi-lagi ia memang sebuah filem fiksyen aksi-adiwira. Jadi, mereka pun sibuk nak munculkan setiap watak macam kita bincangkan tadi. Malah, ia mengulang konsep poster genre sama lain seperti Antoo Fighter, Kapoww! atau Polis Evo dan (allahu rasa berdosa nak sebut) Badang. Poster utama mereka mirip semangatnya; semua watak dalam sebuah poster.
Kompilasi poster karakter filem Nymphomaniac (2013).
Tapi, ada satu hal yang menyelamatkan produksi cerita ini. Iaitu penghasilan poster tambahan yang memberi fokus kepada setiap satu karakter. Daripada sekecil-kecil watak, yang mungkin keluar satu-dua minit, sehinggalah watak utama. Semua ada poster sendiri (walaupun poster utama mereka kekallah melonggokkan karakter dalam sebuah visual grrr).
Ini ingatkan saya sedikit sebanyak dekat poster konsep filem erotik Nymphomaniac (2013). Menghimpunkan kesemua 14 karakter yang terlibat membentuk cerita, semua watak ini telah dirakam gambarnya. Ketika mereka di kemuncak orgasm. Tepat memaparkan reaksi-aksi mereka.
Untuk sebuah produksi filem Malaysia, penghasilan poster tambahan yang memberi fokus kepada setiap satu watak ini sebenarnya sedikit-sebanyak menyalakan satu semangat yang sedikit berbeza. Terutama bila setiap watak diberikan spotlight, bukan sekadar the one and only grrrrrr, Mat Kilau.
Kompilasi poster karakter filem Mat Kilau.
Menekuni poster-poster tambahan ini, saya dipertemukan dengan pereka poster filem paling laris Syamsul Yusof ini iaitu Zouqi Berapi. Gatal tangan, saya pun ajak beliau borak sebab nak tahu juga… apa yang membuatkan seorang pereka poster memilih untuk kekal bekerjasama dengan keluarga Yusof ini menghasilkan first look and feel Sheriff, Persepsi dan The Original Gangster.
AA:
Apa kunci paling utama untuk sebuah poster yang bagus bagi anda?
Zouqi Berapi:
Sebuah poster filem yang bagus, adalah poster yang dapat membuatkan orang terasa ingin menonton filem tersebut dan sekali gus menariknya untuk pergi ke pawagam.
AA:
Mat Kilau filem paling laku pada tahun 2022. Ia filem paling barai saya pernah tonton dalam sejarah sinema filem laku keras Malaysia, tapi sesekali saya rasa ia selamat sebab poster setiap karakternya dibuat elok. Pernah ke anda fikir filem ini laku sebab poster anda?
Zouqi Berapi:
Pasal barai, saya rasa itu terpulang pada citarasa masing-masing. Untuk saya, seorang peminat filem yang menonton tak kurang 5 filem sebulan, Mat Kilau antara filem Melayu yang saya rasa enjoyable untuk di tonton.
Mengenai poster, jawapannya antara ya dan tidak. Poster saya adalah visual rasmi pertama yang penonton lihat dan memberi tanggapan pertama kepada filem ini. Selepas poster teaser (poster acah) Mat Kilau keluar, ia menjadi kontroversi di media sosial kerana mereka mempertikaikan kedudukan keris yang ada di dalam poster itu. Tetapi, ada juga penonton yang menyukai poster teaser itu kerana agak berlainan dengan kebiasaan teaser poster filem Melayu lain, sebab tidak meletakkan terus muka pelakon di poster tersebut. Untuk official poster pula alhamdulillah rata-rata penonton suka.
Mengenai karakter poster pula, ia agak istimewa. Kerana ia poster yang telah mendapat sambutan hangat dari penonton. Banyak komen positif telah diterima selepas poster karakter ini dikeluarkan, dan banyak juga group filem di Facebook yang bercakap mengenainya sekali gus mempromosikan filem Mat Kilau.
Tetapi bagi pendapat saya, poster bukanlah sebab utama menyebabkan filem ini laku. Ini berbalik kepada karya pengarah Mat Kilau itu sendiri. Mungkin benar poster telah membuatkan penonton terasa untuk pergi menonton, tetapi jika filem yang disajikan tidak mampu menarik orang, ia mungkin bertahan dalam seminggu sahaja. Sebab para pengkritik filem akan bercakap mengenainya dalam tempoh tayangan itu.
Poster utama filem Pendekar Awang (2024) oleh Studio Kembara.
Kenapa saya berkata demikian kerana filem ‘Pendekar Awang’ juga telah direka oleh saya, tetapi tidak mendapat sambutan seperti filem Mat Kilau. Untuk diri saya sebagai pereka, saya merasakan poster Pendekar Awang lebih baik dari poster Mat Kilau dari segi kualiti editing-nya kerana kemahiran saya dalam editing poster meningkat dari sebelumnya.
AA:
Saya perasan, gaya paling kuat anda kerap ulang dalam poster-poster anda adalah stroke shadow yang sangat tebal dan jelas di seluruh bahagian baju karakter. Adakah ia dibuat secara sedar atau ia memang signature yang anda mahukan?
Zouqi Berapi:
Sebenarnya dalam rekaan poster karakter ini, saya ingin membuat poster yang sangat menonjol supaya apabila ia dikeluarkan di mana-mana, ia mampu menarik mata orang untuk berhenti sekejap dan menatapnya. Jadi setiap bahagian di dalam poster termasuk di bahagian baju seperti yang dikatakan, memang saya membuat editing yang agak terperinci. Dan sebenarnya saya akan membuat gaya editing yang sama di setiap poster, sekali gus menjadikan ia antara signature Zouqi Berapi.
AA:
Dekat Tapi Jauh, Persepsi dan Walid antara filem poster yang sedikit lain daripada kebiasaan yang anda hasilkan. Boleh tahu kenapa tetap terima job untuk 3 filem ini?
Zouqi Berapi:
Poster Persepsi adalah dari idea saya. Tetapi Dekat Tapi Jauh dan Walid adalah kombinasi idea saya dan juga pengarah. Saya menerima untuk membuat poster ini kerana, saya ingin mencabar diri untuk membuat sesuatu yang lari dari kebiasaan. Saya nak menjadi seorang poster designer yang versatile, bukan hanya boleh membuat satu style sahaja.
AA:
3 poster filem/drama pilihan Malaysia dan global.
Zouqi Berapi:
Malaysia:
- Pekak (2015)
- Roh (2019)
- Reversi (2024)
Global:
- Fighter (2024)
- The Railway Men (2023)
- Mad Max: Fury Road (2015)
Poster rasmi drama bersiri Persepsi (2023) oleh produser Shamin Yusof.
AA:
Boleh kongsi sedikit cerita di sebalik penghasilan “Bunian” ini? Saya kira ia ada semangat art yang paling kuat dalam poster-poster anda.
Zouqi Berapi:
Karya Bunian ni sebenarnya bersiri. Total semuanya ada 3 artwork. Ianya dibuat semasa saya masih di universiti. Tercetus penghasilan karya “Bunian” ini sebenarnya apabila saya dan ayah masuk ke dalam hutan untuk mengambil gambar elemen hutan seperti pokok-pokok bagi projek photo manipulasi yang ada dalam subjek fotografi. Jadi semasa mengambil gambar, saya terjumpa sebuah busut yang agak besar, berbentuk seperti orang bertapa. Jadi saya terus mendapat idea untuk menghasilkannya dalam bentuk visual, kerana bagi saya ianya seperti ada cerita di sebalik busut itu.
AA:
Kalau perlu introduce Zouqi Berapi, apa yang anda akan beritahu?
Zouqi Berapi:
Zouqi Berapi adalah pereka poster filem, yang meletakkan passion sepenuhnya semasa proses pembuatan sesuatu poster tersebut.
Di kesempatan ini saya ingin berterima kasih kepada 2 photographer yang banyak membantu saya dalam penghasilan poster selama ini, iaitu abang TheHitman Nazri Hashim dan juga Nazrul Naim Mazlan. Kerana gambar-gambar dari mereka-lah terhasil poster-poster Malaysia yang lebih berkualiti.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply