Impian Umar Akmal Yang "Tak Betul"

Awal-awal ingatkan "tak betul", rupanya he is a genius!

Usia sering bertambah dan selepas melepasi fasa universiti 2 tahun lepas, saya memang menjangkakan hidup akan berpanjangan sunyi. Cuma, tidaklah menyangka yang hidup akan jadi terlalu sunyi.

Di Shah Alam, ada banyak episod tak sihat yang berlaku secara tidak sedar. Jadi, antara hingar lori depan kilang dan KTM Batu Tiga, saya babaikan bandar yang lebih teruk dari Kuala Lumpur itu dan pulang ke rumah ibu.

Saya terbayang, kalaulah Umar Akmal telah menulis Dewasa Yang Ku Impikan ketika itu, mesti saya akan lebih ralat di Shah Alam dan pulang ke rumah ibu dengan cela yang bermacam. Baik nampak atau tidak.

Selepas 2 tahun, akhirnya Umar muncul dengan lagu baru yang dari satu sudut, nampak macam singer-songwriter berkaca mata ini seorang yang… kurang siuman.

Kenapa?

Album art “Dewasa Yang Ku Impikan” oleh Umar Akmal.

Pertama sekali, hal-hal berseorangan ini sebenarnya ketakutan paling nyata oleh ramai orang. Memandangkan takdir sering mencirikan setiap individu akan bersatu dengan seorang individu lain satu hari nanti, maka apabila sampai certain angka usia, mereka yang masih berseorangan akan rasa ketinggalan dan cenderung murung.

Ini palatao pemerhatian saya, terutama dalam generasi 2000-an yang nampaknya Tinder, Omi, Grindr dan seangkatan adalah satu pengalaman aplikasi biasa yang mereka akan lalui sekurang-kurangnya sekali senafas hidup.

Tapi, Umar Akmal dalam lagu terbaru ini, meraikan keseorangan tersebut. Macam tak terkesan langsung untuk hidup sorang-sorang sebab itulah apa yang dia impikan.

“Inilah dewasa yang ku impikan
Kita semua sama tapi keseorangan
Sentiasa berkejaran
Inilah dewasa yang ku impikan”

Ketika kita tengah menyoal, “Awat Isnin cepat sangat?”, penyanyi asal Johor Bahru ini memang mengharapkan yang dia akan sentiasa sibuk berkejaran mengejar wang, menyiapkan kerja. Menjadi dewasa baginya memang akan berseorangan. Jadi… bukankah Umar “tak betul”?

Rupanya, andaian saya yang jahat.

Poster acah muzik video rasmi “Dewasa Yang Ku Impikan”.

Sebenarnya Umar seorang siuman dan “betul” sebab antara hiruk-pikuk yang melarikan keseronokan hidup itu, dia tersedar impian lainnya untuk mengubah dunia nampaknya tidak akan tercapai sebab “Kini ku (dia) sedar penyu pun tak boleh aku (dia) bela”.

Baris-baris yang dituduh kurang siuman tadi sebenarnya another way penyanyi ini menunjukkan kebijaksanaan cara bercerita via lirik yang nampaknya paradoks, ditulis secara kemas dan bijak.

Dan seperti kita yang keseorangan, pada satu tahap Umar terperangkap dengan bayangan jahat yang membawa dia “Meniti jembatan usang ke arah keranda/ Tiada yang akan datang menabur bunga/ Berpeluk tubuh lindungi diri tanpa senjata”.

Ketika itu, saya mengesahkan yang bekas pelajar sekolah filem ini sama saja dengan kita yang tak boleh berseorangan tadi.

Atau setepatnya, mungkin Umar Akmal sedang menulis semula cerita hidup kita, namun mengiringinya dengan petik gitar akustik dan lafaz patah kata yang dilantunkan cermat dan berhati-hati.

Dewasa Yang Ku Impikan ada storytelling macam lagu barat semasa. Seperti Benson Boone, lirik-lirik Umar sering bergerak sebagai cerita dalam diari yang dilagukan. Hal ini jelas dalam lagu-lagu terdahulu olehnya macam Bujang Senang, Menunggu Masaku dan Berpaut. Bezanya, dalam single kali ini, nampak macam sengaja bahasa puitisnya dilonggarkan supaya kita senang faham, senang sing along. Sebab inikan lagu kita?

Kata Umar, “Lagu ini menceritakan tentang liku-liku melalui alam dewasa yang seringkali diimpikan oleh kanak-kanak tetapi tidaklah seindah yang disangka apabila kita telah capai usia dewasa tersebut. Lagu ini juga mengajak kita untuk terus bertahan dan gagahkan diri untuk meneruskan hidup walaupun zaman kanak-kanak kita tidak akan dapat kita jenguk kembali.”

Maka, nyatalah yang “Ini bukan dewasa yang ku (kita) impikan” sebab sebenarnya DULU kita nak cepat mendewasa kerana i) Nak keluar dari rumah yang barai, ii) Nak ada duit supaya boleh lawa-lawa, hensem-hensem, iii) Dapat beli mainan yang tak boleh dibeli waktu kecil, iv) Nak cuddle dengan pasangan sejenis dan alasan-alasan lain. Tapi, SEKARANG bila dah dewasa, kita tahu yang impian kanak-kanak kita untuk cepat tua itu sebenarnya adalah just another angan-angan cetek.

Dan itulah yang akan jadi bahan ketawa dengan kawan-kawan nanti. Itu pun, kalau… kau… ada… kawan…

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.