Macbeth Jatuh Dalam Kelabu

Syafiq Syazim berkongsi pengalamannya menonton The Tragedy of Macbeth, adaptasi drama tragedi Macbeth yang ditulis oleh William Shakespeare.

Pengarah menjahit tragedi ini dengan kemas. Adaptasi yang menghampiri disiplin dan teknikal drama pentas dari babak ke satu babak. Penonton tidak disuap dengan backstory untuk menerangkan asbab sebalik cerita kerana satu dunia membaca Shakespeare. 

Joel Coen membawa versi yang baharu dengan mengenakan trend color-blind casting yang mana watak Macbeth dipegang oleh bukan kulit putih (Macbeth seorang yang berbangsa Scottish). Trend ini dapat dilihat dalam mana-mana drama bersiri barat seperti Bridgerton (2020) dan Queen Charlotte (2023). Di dalam filem Mary Queen of Scots (2018) juga kita dapat lihat watak Bess of Hardwick dimainkan oleh Gemma Chan, seorang pelakon kacukan Asia dan Eropah.

Filem ini mengekalkan semangat teater yang kuat. Segalanya word by word dari pelakon yang sudah menjadi elemen dramatik bagi penulisan Shakespeare. Kau tak perlu banyak visual untuk disuap. Cukup dengan gaya bahasa Iambic Pentameter untuk kau dapat membayangkan situasi apakah yang sedang berlaku. Seperti guru teater klasik aku (Ahmad Yatim) sentiasa lakukan ketika latihan, beliau sentiasa tutup mata sambil mendengar bait-bait dialog. Kalau ada error, beliau akan suruh berhenti dan mula menyoal kenapa itu dan kenapa ini.

Cuma aku perasan, syot yang dikenakan banyak ke arah simetri berbanding sinematik. Mungkin faktor production design yang lebih ke arah teatrikal? Ya, kau seperti menonton teater berbanding filem. Penggunaan props dan elemen kejutan juga lebih kepada simbolik yang praktikal.

Salute kepada Denzel Washington dan Frances McDormand. Watak gila Lady Macbeth yang subtle, namun masih dapat dilihat keresahan jiwa dalam dirinya. Bahasa tubuhnya jelas macam seorang isteri yang mempunyai cita-cita untuk berkuasa, namun kuasanya tidak kekal lama dek menggunakan ilmu hitam dan pertolongan ahli sihir.

Denzel Washington di dalam The Tragedy of Macbeth (2021).

Lakonan Denzel Washington? Tak perlulah aku hurai di sini. Serba lengkap, versatile dan memahami kehendak teks. 

Watak Macduff tidak meyakinkan. Boleh lihat semula babak ketika Ross memberitahu isteri dan anaknya telah dibunuh. Kemudian, reaksi pada ekspresi wajah Macduff tak sampai pada aku yang menonton.

Sehinggakan di babak terakhir antara pertarungan dengan Macbeth tidak memberi impak yang kuat sedangkan dialog yang dilontarkan pada babak itu (menurut drama asal tulisan Shakespeare) sepatutnya tegang, namun tidak sampai dan terlalu ringkas. Sepatutnya pada babak ini kita akan dapat melihat bagaimana dendam dan amarahnya seorang suami. Beliau sendiri yang menghapuskan kebal seorang Macbeth, lalu memberikan tahta kepada Malcom.

Pengarah membawa dunia Macbeth jatuh ke dalam warna kelabu seperti jiwa watak utama tersebut yang terperangkap antara kuasa, kesetiaan dan cita-cita. Baik dan jahat, budi dan selingkuh, taat dan ingkar. Terperangkap dengan bisikan ahli sihir dan isterinya. Senario yang masih relevan untuk masyarakat kini.

Macbeth kali ini lebih gelap, ringkas dan terperangkap. Terperangkap antara hitam dan putih.

Aku kira filem ini ada juga mengambil beberapa inspirasi visual dari sebuah filem klasik hitam putih arahan Ingmar Bergman yang bertajuk The Seventh Seal (1957). Contohnya ketika babak Macbeth bertemu dengan Witch lakonan Kathryn Hunter. Babak ini mengingatkan aku dengan watak Death lakonan Bengt Ekerot yang memiliki perwatakan yang hampir sama. Filem hitam putih dilihat lebih klasik, jelas (sharp) dan memberi mood yang berbeza berbanding dengan filem berwarna. Tambahan pula, di zaman moden ini hampir jarang kita dapat menonton karya filem moden yang menggunakan warna hitam putih. 

Apa yang pasti kesan menontonnya amat berbeza. Ia lebih bersifat misteri serta dualiti dapat diihat dengan jelas seperti, baik dan buruk, anatagonis dan protagonis, setan dan malaikat. Selain itu, mata manusia dikatakan lebih sensitif dengan kontras hitam putih berbanding dengan yang berwarna-warni. Disebabkan itulah kualiti filem hitam putih dilihat lebih jelas (sharp). Contoh filem moden yang menggunakan warna hitam putih dan terus mendapat tempat di mata penonton moden adalah seperti Memento (2000), The Lighthouse (2019), Roma (2018), dan The Artists (2011). Malah, ada antara filem-filem ini meraih anugerah yang berprestij.

Secara peribadi aku lebih gemar versi Justin Kurzel (2015) yang lebih sinematik walaupun dikritik kerana pelakon banyak berbisik dalam melafazkan dialog. Dah tu, takkan kau nak projek suara kuat-kuat macam berlakon atas pentas?

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.