• #mainsurat
  • Posts
  • Seriously, Selamat Kembali (Bukan Pulang) Syiqin Azln

Seriously, Selamat Kembali (Bukan Pulang) Syiqin Azln

oleh A.Irfan

Semua gambar ditangkap oleh penulis sendiri.

Ironinya saat pertama kali melihat poster EP Selamat Pulang, yang menarik minat saya adalah kehadiran Teman Lelaki dan Heidi Moru. Dua artis ini, lagu-lagu mereka memang dah ada dalam senarai lagu yang saya dengar hari-hari. In fact, poster EP showcase ini muncul pun sebab saya nampak Teman Lelaki post di IG story mereka. So, siapa pula Syiqin Azln ni?

Kurang ajar rasanya kalau saya pergi ke sebuah rumah dan sebagai seorang tetamu, saya hanya mengagumi perabot dan perhiasan dalamannya, tapi tak bertegur sapa langsung dengan tuan rumah sendiri. Syiqin adalah tuan rumah yang tak pernah saya kenal. EP Showcase ini adalah tentang dia, tapi saya cuma nak dengar Teman Lelaki dan Heidi Moru. Macam mana ni?

Jadi bermulalah perjalanan mencari lagu seorang Syiqin Azln di YouTube dan Spotify. Lagu pertama yang keluar adalah Pelangi Kembali Dari saat pertama lagu dimainkan, saya cuma duduk termenung sampai ia habis. Hanyut. Saya hanyut sebab lagu ini memberikan seribu satu rasa yang jarang nak muncul dalam hati saya. Tak selalu kita akan dapat jumpa satu lagu yang boleh buat kita terbuai waktu kali pertama dengar. Tapi, Pelangi Kembali macam ada saka.

Muzik Syiqin Azln tidak jauh beza dengan nada dan melodi yang Teman Lelaki & Heidi Moru bawa. Pop dengan pembawaan yang lembut dan mellow. Sejak itu, sepanjang dua minggu sebelum tarikh showcase, hampir setiap hari saya putarkan lagu dari EP sulung penyanyi ini, sambil masih menyanyi lagu-lagu Teman Lelaki & Heidi Moru. Ketiga-tiga artis ini seperti melengkapi satu sama lain, membuatkan saya rasa tak sabar nak tengok persembahan mereka secara live.

Sampailah ke hari event, saya tiba di Whatever Works Coffee, 45 minit sebelum event bermula. Tempoh yang sempat untuk menikmati matcha ice dan solat Maghrib sebelum pentas dibuka. 

Keterujaan saya sekarang adalah lebih kepada ingin melihat apakah pengalaman yang akan disajikan pada malam ini?

Album art “Selamat Pulang” oleh Syiqin Azln.

Semua orang pada malam itu masuk dalam kategori free standing. Hanya beberapa kerusi disediakan untuk keperluan wanita mengandung dan orang yang memerlukan. Ruang event tak terlampau besar dan kapasiti maksimum mungkin hanya 100-120 orang. Tak perlu berebut untuk ke barisan hadapan dan pilih tempat untuk dapat the best view sebab orang masih tak ramai. Sebenarnya, semua malu-malu untuk penuhkan barisan hadapan. Jadi saya gunakan peluang ini untuk pilih the best spot.

Host event adalah satu elemen yang penting untuk menentukan keberjayaan sesebuah event. Sangatlah tak best bila pergi ke satu event ada line up artist yang padu, tapi mood spoil sebab host. Nasib baik, pentas malam itu diacarakan oleh saudara Shahrol. Satu pujian saya berikan sebab dia berjaya control crowd dengan sangat baik. Humornya tak terlampau annoying.

Meletakkan Teman Lelaki sebagai opening act adalah satu pilihan yang tepat lagi bijak. Pentas malam itu dimulakan dengan persembahan Teman Lelaki dan tetamu khas, Fimie Don dengan lagu mereka, Tuhan Temukan. Bagi yang mengenali band ini, pastinya tahu kekuatan mereka pada lirik yang puitis. Orang selalu kata Teman Lelaki adalah FourTwnty Malaysia. Malam itu, mereka sempat memainkan Mengenang Hari, Puisi Keras Seorang Lelaki, Lantera, Dengan Nama Tuhan dan beberapa lagu lain. Sempat juga mereka belanja beberapa lagu daripada album mereka yang belum release macam Selamat Hari Tua.

Heidi Moru.

Seterusnya pentas diserahkan kepada Heidi Moru. Pengalaman menikmati suara lunak Heidi secara live sangat berbeza dengan semua lagu dia yang selama ini hanya dapat didengari dalam Spotify dan YouTube. Heidi membawakan lagu Aku Ada, Senja & Salah.

Sebenarnya, semasa Heidi di atas pentas, perhatian saya dah berkurangan. Bukan sebab Heidi Moru tak best tapi ketika ini ruang Whatever Works dah padat dengan kehadiran orang ramai. Ramai yang datang selepas pukul 8 malam. Jadi perlu pandai cari ruang dan adjust posisi untuk pastikan semua orang dapat masuk.

Sejujurnya jika ada satu perkara yang boleh ditambah baik dalam acara ini,  saya akan kata untuk dapatkan ruang event yang lebih luas. Tapi mungkin seorang Syiqin Azln beranggapan bahawa malam itu hanya akan dihadiri oleh kawan-kawan rapat dan peminat lama sahaja. Jadi berisiko kalau nak gunakan space yang lebih besar. Atau mungkin juga Syiqin mahukan perasaan yang lebih intim dan rapat dengan peminat?

Walaupun terganggu, saya tetap enjoy mendengar Heidi sebelum tibalah masa untuk kemuncak acara, Syiqin Azln keluar dan menyanyi. Sebelum dia muncul, ruang acara sikit pun tak ada beza dengan keadaan public transport pada pukul 5.30 petang hari Isnin. Padat.

Syiqin Azln.

Syiqin membuka pentasnya dengan Safe House. Antara lagu terawal ciptaannya. Lagu yang menceritakan tentang peranan seorang kekasih sebagai rumah, tapi akhirnya rumah itu terbakar. Untuk persembahan lagu pertamanya saja sudah membuatkan saya kagum. Sejak awal, kawan-kawan Syiqin ada kata yang dia insecure dan takut untuk buat EP Showcase ini. Takut tak dapat sambutan dan tak boleh beri yang terbaik. Tapi semua yang datang pasti dapat rasakan yang Syiqin berasa selesa di atas pentas, seolah pentas adalah taman permainannya. Bila tengok dia buat persembahan, mengingatkan saya pada persembahan Feby Putri. Persamaan mereka berdua ketika buat persembahan adalah mereka seperti kanak-kanak yang tak takut untuk bermain, yang berada dalam dunia mereka sendiri, tapi tetap menghiburkan sesiapa yang menonton.

Kebetulan malam itu, bersama Heidi Moru, Syiqin cover lagu Kembali Pulang oleh Feby Putri. Suara dua wanita ini membuatkan siapa saja yang dengar akan terbuai. Malam yang sama, Eidi Teman Lelaki dan Syiqin tutup acara dengan Malam Bulan Dipagar Bintang. Ini yang membuatkan saya rasa acara itu lagi istimewa. Hanya pada malam itu mereka bertiga adalah satu dan saling melengkapi, bukannya tiga penyanyi yang berbeza dan sekadar mengisi masa sebelum penyanyi utama muncul. Syiqin juga sangat meraikan rakan-rakan dan peminatnya hadir. Entah sampai ke habis, berapa banyak terima kasih yang saya dengar daripada mulutny

Syiqin Azln & Heidi Moru.

Ketika set persembahannya, Syiqin mempersembahkan hampir kesemua lagu nyanyiannya bermula daripada Cruel, lagu pertamanya sehinggalah lagu-lagu dalam EP Selamat Pulang. Boleh nampak dan rasakan setiap lagu yang dipersembahkan malam itu, ada cerita yang berkait. Kita boleh nampak growth yang ada dari satu lagu ke lagu yang lain.

Dua lagu terawal, Cruel dan Safe House, Syiqin menceritakan tentang pengalamannya dalam hubungan percintaan yang tak berjaya. Kemudian, setelah berjaya untuk love herself, self-acceptance dan merasa cukup, dia menyanyikan lagu-lagu dalam EP terbarunya itu. Seperti tajuk EP ini sendiri, lagu-lagunya menghantar kita semua pulang ke diri sendiri. Untuk menerima diri seadanya, juga menghargai hal-hal kecil dan orang-orang disekeliling. Lagunya cukup matang, dan Syiqin menyampaikan dengan cara seperti anak kecil yang sedang seronok dengan hidup. Dia betul-betul menghayati frasa ‘pentas adalah sebuah taman permainan’.

Saya pun sebenarnya tak jangka yang malam itu akan jadi sangat padat. Tapi saya tetap katakan bahawa showcase pada malam itu berjaya untuk Syiqin Azln. Saya sendiri tak mengenali dia sebelum ini. Tapi bila tengok support yang diterimanya daripada keluarga dan kawan-kawan, saya rasa perjalanan dia dalam pentas nyanyian boleh berkembang jauh. Dan saya officially dah jadi peminat Syiqin Azln malam itu.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.