• #mainsurat
  • Posts
  • SWARIA, Mengubah Cerita Pendek Jadi Lirik

SWARIA, Mengubah Cerita Pendek Jadi Lirik

4 orang berkumpul dan tulis pasal mabuk laut!

Mereka berlayar, tapi air laut asyik menggoyang-goyangkan bahu, memusingkan kepala lalu mabuk. Ketika itu, mata mereka tertancap pada langit yang terselak oleh tangan bumi. Di celah-celah silau, seorang gadis pun turun dan menyapa keempat-empat lelaki dalam sampan itu.

Ringkasnya, kisah absurd macam ini kita dah selalu jumpa dalam cerita-cerita yang dikarang oleh penulis Malaysia. Garis tulisannya sering khayal dengan mesej-mesej tersirat yang mengajak kita untuk berfikir nanti. Lang Rahman pernah hadir dengan satu kumpulan cerita pendek, “Dalam Kepala Seorang Posmen” yang menepati semangat cerita di atas. Mungkin Roslan Jomel tidak akan menulis cerita absurd mudah begini, tapi Faisal Tehrani pernah nukilkan “Bagaimana Anyss Naik Ke Langit?” walaupun… tiada sesiapa yang naik ke langit secara harfiahnya. Gitu.

Macam mana pula kalau empat orang lelaki dari Kuala Nerang berkumpul, menyanyi lagu dan bersiul melodi, tiba-tiba memilih untuk menulis lirik dengan pendekatan absurd begini?

Itu yang dikarang dan dinyanyikan oleh SWARIA dalam single pertama mereka, Gadis Angkasa. Kata mereka, lagu ini adalah sebuah “cereka tentang pelayar yang berhalunisasi angkara mabuk laut dan disapa oleh seorang gadis yang turun dari langit. Namun pelayar tersebut tidak dapat memastikan adakah gadis tersebut benar-benar wujud ataupun hanya akibat kesan khayalannya.”

SWARIA dibarisi oleh Azwan (bass), Fazrul (dram), Fawwaz (gitar) dan Luqman (penyanyi, gitar). Ringkasnya, mereka mempertaruhkan muzik berunsur indie rock, alternatif, post-punk revival dan pop surf. Semangatnya cuba dipetik oleh Da Vagabonds, Toko Kilat, Dick Dale, The Strokes dan Arctic Monkeys.

30 Ogos 2024 lalu, supergroup yang menghimpunkan 4 pemuzik serata Kedah ini telah keluarkan sebuah EP. Album pendek berjudul “Gadis Angkasa” yang turut diambil daripada single pertama mereka itu adalah buah tangan pertama mereka yang dihulurkan kepada kita. Kata Luqman, kesemua ahli ini bersatu kerana kematangan atas pengalaman yang terkumpul lepas menganggotai band-band lain sebelum ini.

Ini adalah SWARIA. Dari kiri: Azwar (Bass), Fazrul (Dram), Fawwaz (Gitar) dan Luqman (Gitar, Vokalis)

Sebagai sebuah EP, Gadis Angkasa bukanlah sebuah hasil kerja sarat vokal yang kita ketagihkan. Tapi, ia adalah sebuah hasil kerja dengan tulisan lirik cermat dan asas cerita yang kita sebenarnya totally kehausan sekarang.

Ketika lagu-lagu, tak kira indie atau bukan, sibuk meluah perasaan dan menyatakan gejolak emosi yang peribadi, SWARIA selamba kembangkan rasa menjadi sebuah cerita, lalu ditulis elok-elok sebagai sebuah lirik.

Daripada setengah puluh lagu, ada tiga yang berkisarkan tentang wanita. Salah satunya, Bidadari. Di hujung lagu ini, mereka belanja kita dengan petikan solo gitar. Tapi, kalau kita ada harga, mungkin kita takkan terbeli dengannya. Liriknya elok ditulis, tapi verse dan korusnya kurang istimewa. Selepas ia habis didengari, tak ada apa yang betul-betul melekat di kepala.

Lain pula dengan Succubus. Sebagai pembuka EP, lagu tunggal berbahasa Inggeris ini cukup kuat. Lagi-lagi untuk menarik perhatian penonton di gig (dan mungkin wanita… lagi?).

Seperti Rock ‘n Roll, ia dibuka dengan dram lalu dipikul oleh gentel gitar yang nakal. Macam liriknya, “Drag me to the valley of doom/ Now we gotta get a room/ Oh this love started to bloom/ Busting out our favourite tune”.

Kejelitaan gadis serba dark buatkan hati supergroup ini cair apabila ternampak “(the) corner of your eyes/ wrinkle a bit when you're smile” dipuja. Dan mungkin seperti gadis berbaju gelap dengan celak di bawah mata tadi, lagu ini juga lengkap segalanya. Pada melodi yang mudah diingati dan diikuti. Pada sebuah kisah yang berjaya ditukarkan sifatnya menjadi lirik. Pada korus yang buat kita nak lompat. Dan, pada cara lafaz versenya yang bersahaja.

Sebenarnya, SWARIA ada verse yang kuat. Memandangkan liriknya sering ditulis seperti sebuah cerita, jadi berbeza dengan korus mereka, bahagian lagu ini selalu dilafaz bersahaja, macam tengah bercakap, macam tengah kasitau what is happening. Kecuali S.B.B. dan Bidadari.

Lain pula dengan korus lagu-lagu dalam EP ini. Daripada kesemua lagu, tak ada satu pun yang melekat di kepala. Kendali Diri mungkin korus yang paling hampir berfungsi sebagai sebuah korus, sebab ia sebuah nasihat. Namun, kekal ia tak cukup kuat untuk melekat. Sering, bahagian lagu ini akan dileret-leretkan hayat barisnya buatkan ia kedengaran serbi kurang.

Kekuatan band empat orang ini adalah meringkaskan sebuah cerita pendek, menjadi lirik lagu yang sifatnya begitu compact. Ketika orang lain masih bergelut dengan perkataan-perkataan bombastik dan juga gejolak hati “kuingin mati”, mereka selesa menulis baris-baris kisah begini, which is interesting dan refreshing seketika. Cuma, tanda kedewasaan sesebuah lelaki bukanlah sekadar menulis puji-godaan kepada gadis, tapi apabila mereka berjaya alihkan tangan dan hati daripada kerap menulis hal-hal begini.

Adakah SWARIA akan cuba untuk melepasi kematangan menulis ini selepas EP Gadis Angkasa ini? Donno. Kita tunggu je.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.