• #mainsurat
  • Posts
  • Jasad Bukan Pendeklamasi Yang Marah-Marah

Jasad Bukan Pendeklamasi Yang Marah-Marah

Sebagai pendeklamasi (sebenarnya lebih selesa dengan term “mempersembahkan puisi”), saya akan menandakan halaman tertentu sewaktu membaca buku kegemaran. Ketika membacanya, akan ada kata-kata yang meloncat keluar dan memberikan saya gambaran apa yang akan terjadi jika puisi-puisi itu berada di pentas. Melalui bayangan tersebut, saya sudah boleh membentuk secara kasar corak persembahan yang bakal berlaku nanti.

Sudah namanya persembahan puisi, maka pemilihan teks amat dititikberatkan biarpun persembahan itu dilakukan secara last minute atau mengejut (tanpa dirancang).

Saya gemar memilih puisi yang sederhana. Sederhana maksudnya panjang puisi tidaklah terlalu panjang sehingga mencecah dua halaman ke atas. Satu halaman atau satu halaman setengah, sudah memadai. Puisi begini mudah untuk dipenggal, diletakkan jeda dan melarutkan penonton ketika dipersembahkan. Jika puisinya pendek, maka pengulangan akan dilakukan. Dengan menggunakan tone suara yang berbeza sambil mengalihkan perhatian penonton dengan pergerakan dan juga riak wajah.

Salah satu persembahan Jasad Bersiong.

Untuk pengetahuan, saya bukanlah jenis yang menghafal, maka puisi yang sederhana memudahkan untuk persembahan dibuat.

Pembacaan puisi juga harus jelas dan tidak gelojoh, ini penting untuk memastikan agar penonton dapat mendengar setiap butir puisi yang dilafazkan. Jangan biarkan gemuruh, keterujaan dan emosi berlebihan menelan puisi tersebut. Bertenang dan berserahlah kepada keadaan.

Saya ingat lagi. Ada satu waktu ketika persembahan bersama GilaKata, saya perlu buka panggung dan harus bacakan mantera yang agak panjang. Ada satu bahagian ni yang perlu dibacakan laju. Kebetulan, yang datang tengok pun agak ramai, jadi saya gelabah sebab gemuruh. Sampai tersilap baca, terskip, tersasul dan terulang baca berkali-kali satu bahagian ni. Waktu tu, ada beras kuning dan kemenyan di depan. Jadi, untuk elak orang perasan kesilapan tadi, saya bakar kemenyan dan baling beras kunyit pada penonton.

Macam itulah saya kawal rasa gemuruh.

Lagi, gaya persembahan Jasad Bersiong.

Waktu mula-mula terjebak dengan dunia persembahkan puisi, saya pernah dipanggil untuk membaca puisi di kafe. Ketika itu, puisi-puisi berontak dan marah-marah adalah pilihan. Ternyata persembahan sebegitu tidak berapa sesuai kerana pengunjung yang datang mahu santai-santai sambil makan. Jadi hari itu, saya TERganggu mood mereka. Di hari yang sama, saya belajar untuk sesuaikan puisi ikut tempat acara.

Jika acara berlangsung di ruang yang lebih intim, maka pemilihan sajaknya perlu diletakkan pelbagai emosi semasa persembahan. Permainan emosi akan membawa penonton menelusuri bait-bait kata yang ada dalam puisi dengan sokongan bahasa tubuh yang dipamerkan. Kebiasaannya puisi pilihan untuk ruang ini berkisar tentang kasih sayang, kerinduan dan penyesalan. Macam puisi tulisan Aisyah Rais, Fynn Anuar dan buku-buku puisi tulisan Rumah Ripta.

Namun, tidak semua persembahan yang telah dirancang secara kasar itu berjaya disempurnakan. Kebanyakannya akan diubah pada hari kejadian berdasarkan apa yang ada di atas pentas dan sekitarnya. Puisi masih sama, yang berubah hanyalah corak persembahan.

Ada masanya, persembahan saya dikawal oleh puisi itu sendiri. Ia mengarahkan otak saya untuk bergerak ke sana-sini mengikut bait-bait kata sehingga ada aksi yang dilakukan agak berbahaya. Macam waktu sebuah acara di Bangsar. Saya sepatutnya akhiri persembahan dengan berdiri di atas kerusi, tapi entah apa yang jadi, saya tiba-tiba melompat daripada kerusi dan terus ke bawah pentas menghala ke arah penonton. Esoknya, lutut lebam. Haha.

Waktu Boco, saya pernah bacakan puisi ‘Pak Kaduk Di Gelanggang Raja’ yang ditulis oleh Zurinah Hassan. Puisi ini ditulis berdasarkan cerita rakyat persabungan ayam antara Pak Kaduk dan raja. Habis saja persembahan ini, tiba-tiba ada seseorang datang dan bertanya, “Akak, apa tajuk puisi yang akak baca tadi?”

Biarpun ada yang kurang gemar dengan corak persembahan saya, namun besarnya hati saya apabila ada penonton yang datang usai persembahan bertanyakan tentang tajuk dan puisi yang saya persembahkan tadi. Semoga persembahan-persembahan begini membuka mata masyarakat bahawa bacaan puisi tidak sekadar berdiri dan baca sahaja.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.