Nota kaki: Surat ini ditulis tahun 2024, namun hanya disiarkan setahun kemudian dengan harapan Pekan Teman Baik boleh kembali berlangsung pada tahun 2026.

"di hadapan altar/ kau pula melihat dirimu/ mencengkam satu-persatu/ doa yang penuh" antara baris puisi yang saya mahu tulis semula dan kirimkan kepada seluruh pelusuk manusia yang sedang barai dipijak-pijak oleh ragu dan emosi.

Stanza kedua dari puisi "Pakaian II" oleh Clariessa Kesulai ini semudah petik jari menggambarkan se-individu yang dibelenggu suram hati ketika keseorangan dan sunyi.

Jadi bila saya menonton dua artis yang dibelit oleh kecamuk fikir tak berkesudahan, saya jadi kesian dan tak boleh duduk diam.

DUA ARTIS YANG SUNYI

Menutup tahun 2024, Tutur Tubuh berlangsung di Damansara Performing Art Centre (DPAC). Menampilkan dua artis dari Malaysia; Ash Mime yang bercerita melalui bahasa tubuh dan Mosyuki Borhan yang lebih fasih berkisah dengan tutur daripada puisi-puisi tulisannya.

Mosyuki Borhan membacakan “Sari Berita Penting”.

Persembahan ini merupakan salah satu acara dalam Pekan Teman Baik (PTB), sebuah festival seni silang negara yang menampilkan karyawan dari Malaysia dan Indonesia. Berlangsung sekitar 6 hari, dari 10 hingga 15 Disember 2024 di pelbagai lokasi serta Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Dipecahkan kepada empat segmen, pementasan ini dibuka dengan bacaan puisi oleh Ibe S. Palogai dan ditutup dengan nyanyian duo Ruangbaca. Kedua-duanya dari Indonesia.

Di tangan Ibe S. Palogai, bacaan puisi masih bertradisi lama; sebuah mikrofon dan selembar kertas yang dibaca. Lafaznya pun tidak dibesar-besarkan, ia bacaan mendatar yang kita sering dengar. Sementara Ruangbaca, hadir dengan alat muzik dan tempo. Melodinya diiringi puisi yang dilagukan. Ia bukanlah macam Kopratasa, malah tidak sama dengan Fazleena & The Lasykar, namun itulah muzikalisasi puisi dari Indonesia. Antara lagu dan puisi, ia kedengaran seperti tiada garis kelabu.

PUISI & TEATER

Mosyuki Borhan pula membawa semangat teater yang sukar untuk dilepaskan dari dulu. Bebas dari sebarang kertas, puisi-puisinya dilafaz berbekalkan ingatan.

Persembahannya dibuka dengan montaj video sebelum puisi pertama, “Sari Berita Penting” dibacakan dan saya sebenarnya hampir balik. Berbusana biru dengan baris-baris sepi, ia tidak memberikan kesan lalu membuatkan saya bersangka-sangka kalau ini cukup untuk ditawarkan kepada penonton.

Lagi-lagi apabila di awal persembahan, juruacara mengulang-ulang yang acara ini adalah untuk meraikan 15 tahun Mosyuki Borhan dan Ash Mime berpentas di khalayak. Untuk dua angka yang panjang, bahagian pertama persembahan pengasas rumah penerbitan Rumah Ripta ini sedikit pun tidak memberikan kesan. Seperti pembaca puisi yang saya tonton setiap hujung minggu di Kuala Lumpur.

Mosyuki Borhan membacakan puisi bersama Aus daripada band Aus et al.

Atau, mungkin juga saya rasa petang itu terlalu melankoli? Macam bacaan puisi memang perlu bersifat sedih, meruntun dan pilu. Macam kita tak boleh ‘tanggalkan’ emosi yang ini dari tubuh deklamasi. Sedangkan, bacaan puisi patutnya ada baju emosi yang berwarna.

Cuma, “Primadona Jalanan” yang diambil dari kumpulan puisinya bersama Adi Wafi, Rahsia 2 Pria (2012), mengubah Mosyuki menjadi seorang performer dengan kelas yang asing. Dia bukan lagi pembaca puisi hujung minggu. Dia performer yang berbeza. Dia Mosyuki Borhan yang boleh melafaz pelbagai emosi puisi.

Wig hitam dengan gaya bob disarung. Di hadapan kotak kubus yang ditingkat-tingkatkan, tangannya ditarikan kaku sambil memujuk “primadona jalanan” yang merujuk kepada pekerja-pekerja sundal ini untuk kembali ke jalan yang lurus.

"primadona jalanan, apa yang kau juangkan?
bangkitlah dari lena, padamkanlah dosa-dosa"

Serba seloroh dengan senyum yang tak lekang, kita hampir percaya dia ingin mengenang nasib warga kerja jalanan ini sebelum dia mengakhiri puisi tersebut dengan, "primadonaku sayang/ seka airmatamu/ masih ada lagi kan giliranku?".

ARTIS MIME

Nampaknya, kecelakaan adalah takdir yang tak boleh dielak.

Ash Mime memegang watak se-individu yang perlu melakukan dua kerja hanya untuk hidup. Melihatkan kesinambungan cerita hampir 40 minit itu, saya macam mahu ambil kertas dan tuliskan baris oleh Clariessa tadi. Kepada Ash, doa-doa penuhmu akan dipungut nanti, in shaa Allah.

Ash Mime menjadi pelayan restoran ketika babak pertama sketsanya.

Ada satu babak, saya percaya ia yang kedua, apabila Ash beralih ke kiri pentas dengan t-shirt serba hitam dan bersolek cat putih di muka sama macam artis mime dalam Mr. Bean. Sebenarnya, babak itu yang paling mengelirukan. Lagi-lagi segala momen sebagai pelayan restoran yang dilakonkan ketika babak pertama sudah jelas dan lucu.

Ketika babak kedua itu, ceritanya sedikit celaru dengan latar yang kurang jelas dan semestinya, segala aksi semacam kurang sepadan. Tapi ada satu adegan yang mengesankan. Apabila seekor kucing muncul di atas pentas. Tidak secara harfiahnya.

Monyok wajah Ash kerana malang yang tak habis-habis nampaknya disenyumkan oleh kewujudan haiwan belaannya. Parsi, Bengal, British Shorthair atau jalanan, kita tak tahu itu kucing dengan baka yang mana. Oyen, kelabu, putih atau hitam pun kurang pasti. Tapi, sedih Ash yang tergendala kerana kehadirannya, kita dapat rasa.

Sebelum beralih ke babak ketiga, kepala kucing tersebut dibelai dan mulutnya dikucup sebelum dia dimasukkan ke dalam sebuah beg untuk dibawa ke tempat kerja keduanya malam itu, tempat dia bertukar menjadi primadona.

Ketika itu, saya tahu yang selain baris puisi Clariessa, mungkin aral hidup boleh diselamatkan atau juga, ditangguhkan oleh seekor binatang berbulu yang boleh dibelai.

15 TAHUN BERPENTAS: DI MANA SEBENARNYA MEREKA?

Mosyuki tutup puisi pertamanya dengan "aku belum mahu mati/ kesedihan memintaku hidup bertahun-tahun lagi". Kesannya, kita dapat melihat sengsara manusia yang dipentaskan oleh kedua rakan karib ini di atas satu pentas yang sama, dengan pentas dan konsep yang serba minimalis.

Cuma, “mati” yang ditangguhkan selama 15 tahun itu, adakah ia cukup memuaskan kita sebagai penonton?

Dalam 15 tahun yang lepas, saya baru 10 tahun. Tempoh dua angka itu memerlukan saya untuk menghadapi UPSR, PT3, SPM, debar menunggu keputusan UTP, merangkul sijil asasi dan ijazah sarjana muda serta perlahan-lahan kusut menunggu balasan permohonan kerja. Pejabat pun telah bertukar tiga kali.

Jika ia sebuah cerita, ada resah yang telah dirasa dan ada seronok yang dipeluk. Ada sedih yang gagal dipujuk dan ada senyum yang tak lekang ditunjuk. Orang kata, turun naiknya jelas.

Sebagai manusia, ia graf yang afdal untuk kita lalui supaya rasa hidup itu menjadi rencam.

Mosyuki Borhan menyarung kain batiknya menjadi buaian.

Di tangan Ash dan Mosyuki, sekurang-kurangnya ketika Tutur Tubuh, saya percaya mereka sudah cukup faham bagaimana untuk merangka sebuah persembahan panjang. Naik turunnya ada. Pada satu masa, ia melo. Kemudian, bahaknya hadir dari penonton. Senyum tak turun-turun dan akhirnya, akan ditutup dengan baki barai yang tidak dibersihkan lagi.

15 tahun mereka yang mengajarkan cara untuk menyusun dan merangka persembahan ini.

Cuma, tema karya-karyanya kelihatan terlalu mirip. Ia berpaksikan sebuah rasa; kesedihan hidup dan doa-doa yang tidak termakbul. Mungkin, merakam segala kesedihan ini “adalah salah satu cara untuk melupakan”, bak kata Mosyuki namun adakah itu saja rasa yang perlu dipaparkan dalam setiap karya yang dipertontonkan di khalayak?

“Primadona Jalanan” dan “Mendengarkan Sal Priadi Setelah Kau Pergi” yang Mosyuki persembahkan antara yang membuka mata. Yang memberitahu bahawa, kesedihan hidup bukan sekadar tentang cinta tak sampai-sampai tapi juga tentang rindukan ibu dan resah pekerja jalanan. Dan, visualkanlah ia sehabis baik di atas pentas untuk beri pengalaman baru tentang baris-baris yang penulis se-universal juga tulis. Seperti apabila penyajak ini menyarung kain batiknya, baring lalu memeluk badan seperti bayi di dalam buaian.

Visual tersebut meningkatkan kesan emosi kepada khalayak.

Tapi, kesedihan adalah rasa yang tidak akan ada kesudahannya. Dan sebuah tulisan sering dianggap sebuah cerita personal yang dirangkul di hadapan altar, apabila pengkarya melihat diri mereka sendiri mencengkam setiap doa yang penuh.

Cuma, saya sering berharap bukan hanya kesedihan yang kita berikan, tapi juga harapan. Memetik baris Mosyuki dalam puisinya, Nyala, "semoga di setiap pagi temaram/ kau masih mengirim nyala/ semarakmu bergemuruh/ di udara, dan kehilangan/ tak jadi ada."

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate

SURAT-SURAT LAIN

No posts found