Kredit thumbnail: Wajah; Biografi Seratus Penulis (DBP, 1981)
Akibat algoritma kelabu dan bercelaru, jangkaan saya tentang acara ini berbeza sama sekali. Boleh jadi saya terkeliru dengan hebahan tentang kulit buku Terdedah, tayangan dan GTLF – sampai saya katakan pada rakan saya (Sakinah) “eh ada acara yang sama kat GTLF nanti, kau pergilah”. Tanpa sengaja, saya menyebar maklumat palsu. Saya keliru, Sakinah pun keliru. Dan sehingga hari ini saya tak menyemak semula fakta palsu yang saya sebarkan itu. Tapi saya tahu, ia palsu.
Menghadiri acara Sexuality in 1960s Short Story, saya menjangkakan perbincangan kompleks tentang seksualiti, gender, hubungan laki-laki dan wanita pada zaman 60-an. Mungkin dapatan daripada puluhan (atau ratusan) cerpen yang telah dibaca yang menyentuh tentang seksualiti dan kelainan gender. Mungkin ada silang baca karya Malaysia dan mana-mana negara yang kita boleh fikirkan. Mungkin ada perbandingan dengan karya kontemporari. Tak ada. Meleset. Sesat. Palsu.
Sexuality in 1960s Short Stories ialah acara Amir Muhammad membacakan cerpen Pak Yak Nak Kahwin dalam kumpulan cerpen Mastura oleh A Samad Ismail, satu nama agung dalam pentas sastera dan kewartawanan tapi tak direbut siapa-siapa. Boleh jadi, kerana kita masih leka membontot Sasterawan Negara yang empat belas. Kadang-kadang, Pramoedya Ananta Toer. Tentunya A Samad Ismail yang kadang-kadang tanpa akal waras dikenang sebagai A Samad Said ialah tokoh yang wajar dibaca dan kita berterima kasih kepada FIXI atas obsesi mereka dalam menerbitkan semula karya-karya beliau.

Koleksi cerpen Mastura diterbitkan semula oleh FIXI Retro pada Oktober 2025.
Dalam keghairahan membaca puisi, memetik petikan-petikan dan menobat-nobatkan siapa penyair ulung kini, akhirnya, pentas kosong didiami seorang Amir dengan seluar tidur kotak-kotak – membaca cerpen A Samad Ismail sambil menggaru-garu lengan kanan – tak tahu kerana gatal atau berdebar.
Sesi bacaan cerpen selalu terasa tak logik dan lama oleh sebab cerpen dikarang berbelas muka surat panjangnya. Tekak pembaca boleh kontang dan mata pendengar boleh terkatup rapat-rapat. Namun, selama sejam, bacaan Pak Yak Nak Kahwin oleh Amir Muhammad boleh dikatakan mengasyikkan dan menghiburkan pendengar.
Secara ringkas, Pak Yak Nak Kahwin berkisar tentang Pak Yak, seorang nyah kampung yang tiba-tiba nak kahwin. Maka dengan segala yang “tiba-tiba” itu, penduduk kampung kalut-kalut merencana perkahwinan itu. Yang perempuannya sibuk berbincang tentang majlis, menu dan segala perbelanjaan perkahwinan manakala yang lelaki menghirup kopi sambil meneka-neka kejantanan Pak Yak.
Cerpen ini bergerak dengan segala macam halangan yang dihadapi oleh Pak Yak untuk bernikah. Maknya sakitlah, mahu tengok kesesuaian tarikhlah, hendak ke Pulau Pinang berjumpa Paksu lah, Paksunya sakitlah, tersesatlah dan wang belanja yang pada awalnya diyakini cukup untuk majlis gilang gemilang tiba-tiba tak ada. Segala macam halangan ini akhirnya membawa kepada kesimpulan akhir oleh narator: “dah dia memang pondan”. Dan kepondanan inilah yang digaris bawah oleh A Samad Ismail melalui karya ini.
Melalui watak Yak, A Samad Ismail meneroka seksualiti terbeza ini.
Pak Yak digambarkan sebagai seorang lelaki feminin atau nyah yang duduknya di dapur bersama makcik-makcik bawang. Menarik sekali, apabila Yak ingin berkahwin, bercampur baur perasaan makcik-makcik itu tadi. Katanya, setelah Pak Yak dianggap “sejenis” kami, tiba-tiba mahu kahwin? Gambaran watak Yak menunjukkan bahawa masyarakat tidak ada masalah pada golongan ini, pandang serong pun tidak, apa lagi menghukum dengan hukuman agama. Apa lagi, Pak Yak tidak dipaksa untuk berkahwin pun. Premis awal cerpen ini ialah Pak Yak yang ingin berkahwin! Tidak dipaksa! Tekaan saya, Pak Yak sebenarnya sedang meneroka seksualitinya sendiri. Dan keputusannya untuk berkahwin justeru melorongkan Pak Yak kepada satu jawapan, dah dia memang pondan.
Pak Yak mengingatkan saya pada sebuah hantaran seorang transnita di Facebook tentang perkahwinannya yang dinikahkan oleh timbalan mufti sendiri. Dan perkahwinan ini berlaku pada tahun 70-an. Sebegitu progresif dan jujur wacana agama pada ketika itu dalam membincangkan persoalan seksualiti dalam kalangan masyarakat. Harus diingat, kecenderungan seksual ialah fitrah manusia – ini bermakna, ia tidak dipaksa-paksa dan tidak dibuat-buat. Desakan agar individu akur pada seksualiti cisgender dan heteroseksual menyebabkan komuniti ini berdepan dengan krisis identiti, rasa rendah diri dan terpaksa menyembunyikan seksualiti masing-masing.

Nama pena lain yang turut dipakai oleh A. Samad Ismail.
Kehidupan dalam kelambu ini bukan sahaja memangsakan diri sendiri malah boleh memberi dampak buruk kepada orang lain.
Sebagai contoh, paksaan agar komuniti homoseksual bernikah dengan pasangan lain gender kononnya sebagai “ubat”dengan memakai logik “kembali kepada fitrah”. Apa yang boleh berlaku ialah 1) pasangan tidak disetubuhi oleh sebab yang “fitrah” tidak dipenuhi, 2) sebenarnya, yang homoseksual tadi biseksual, 3) lebih ekstrim dan menakutkan, tersebarnya penyakit kelamin.
Dalam konteks ini, keengganan Yak untuk bernikah dengan berkali-kali menyatakan tidak mahu menganiaya pasangannya kelak boleh juga dibaca kerana ia tidak berkeinginan sama sekali kepada wanita. Dan bukannya kerana wang ringgit. Apa lagi Yak seorang tambi (office boy). Bukannya dia tak ada kerja! Malah dari awal lagi Yak tak pernah risau tentang wang. Itu semua alasannya sahaja!
Bukan itu sahaja, keputusan Yak yang tak mahu meneruskan pernikahan turut tidak ditentang oleh ibunya. Walaupun geng makcik bawang memberikan jalan keluar daripada masalah kewangan (yang menurut saya dicipta oleh Yak), namun mereka tetap akur apabila Yak tetap tak mahu bernikah. Peristiwa ini sekali lagi menunjukkan bahawa masyarakat pada ketika cerpen ini ditulis menerima seksualiti Yak dan mengakuinya sebahagian daripada masyarakat. Penerimaan masyarakat ialah hal penting agar komuniti boleh hidup dan menjadi diri sendiri. Persoalan ini pernah saya bincangkan bersama – mungkin dengan Sakinah, bagaimana kita jarang sekali melihat komuniti ini khususnya nyah berada di ruang profesional.
Mak nyah sering terlihat mengisi ruang pekerjaan servis seperti pekerja salon, tukang gunting rambut, jurujual dan buruh seks. Kalau nasibnya tidak baik, mencari wang dengan menjadi buruh seks paksa pula. Malangnya lagi, seksualiti berbeza ini menyebabkan individu berisiko untuk diberi layanan tidak manusiawi dan dieksploitasi.
Saya berpendapat, kejanggalan nyah di ruang profesional bukanlah kerana mereka tidak ada, tetapi kerana mereka tidak boleh menjadi diri sendiri.
Intinya, hidup perlu diteruskan. Dan sekiranya menjadi nyah tanpa selindung justeru menabur pasir ke periuk nasi sendiri, maka nyah harus dinyahkan dari diri. Fikirkan, apakah rasanya terpaksa bersembunyi dan tidak boleh menjadi diri sendiri? Sebenarnya, sarjana agama khususnya mesti rajin menelaah tentang seksualiti dan segala kompleksiti yang datang bersamanya – bukannya memaksa-maksa dengan program menegakkan yang bengkok.
Latar masyarakat pada ketika cerpen Pak Yak dikarang membuktikan bahawa masyarakat pada dasarnya tidak janggal berdepan dengan komuniti ini. Malah, narator menganggap Yak sebagai “sejenis kami”. Yak dianggap dan dilayan sebagai seorang wanita!
Satu lagi hal yang menarik dan tak ada kaitan dengan seksualiti ialah Pak Yak kalau pada tahun 2025 bukanlah seseorang yang akan kita gelar dengan gelaran “pak”. Bayangkan seorang Karim Mohd – penyair acuh tak acuh berwajah paling melayu yang berkemungkinan melahirkan anak berambut ikal, 28 tahun dipanggil “Pak Karim”. Meskipun sudah sering sakit-sakit belakang, dia terlalu muda untuk menerima gelaran itu (namanya sahaja yang Karim, umurnya Danial!). Awal bacaan cerpen ini, saya membayangkan Pak Yak paling tidak berumur 50-an. Saya sangka ia tentang bujang terlajak separuh abad mahu bernikah. Untuk ke sekian kalinya, sangkaan saya meleset. Pak Yak belum pun meraikan hari lahir yang ke 30, tapi Pak Yak tetap menerima gelar bujang terlajak.
Kalau-kalau biasa membaca Adibah Amin atau Fatimah Busu persoalan umur lanjut berkahwin ini selalu menjadi isu pokok dalam karya. Pastinya dengan konteks yang berbeza. Apa lagi umur lanjut, feminisme dan pendidikan perempuan ialah topik yang saling berkait dalam karya mereka.

Cetakan pertama koleksi cerpen Mastura terbitan Pustaka Gunong Tahan pada tahun 1967.
Rakaman umur lanjut dalam karya A Samad Ismail menunjukkan bahawa pada zaman itu, baik laki-laki atau wanita, keduanya terpalit dengan krisis ini. Belum bernikah, belum berpasangan, jauh sekali beranak-pinak. Namun, seiring zaman, wanita pula yang lebih berat menanggung beban tidak bernikah meski usia terus menginjak tua.
Ini berawal daripada pemikiran masyarakat pada zaman dahulu yang lebih ghairah menyediakan anak perempuan dengan pendidikan rumah tangga semata-mata. Maka, ketika anak perempuan gagal dipinang, ia dianggap tidak laku dan tidak bernilai. Gelar anak dara tua berterusan menjadi modal ejekan bagi perempuan berusia yang belum bernikah. Ketika perempuan sudah menerima pendidikan, lebih mandiri, bekerjaya – dituntut pula memilih antara cinta dan cita. Sekali lagi, perempuan yang “leka” mengejar kerjaya hingga lambat bernikah, direndah-rendahkan lagi dengan gelar yang sama. Sejarah masyarakat menunjukkan bahawa respons terhadap perubahan budaya perempuan selalu negatif. Akan tetapi, kini, dan didasarkan kepada pemerhatian saya dengan harapan ia tidak meleset, masyarakat kini lebih terbuka dan berlapang dada akan pilihan seseorang untuk bernikah (tentu sekali tidak pada pernikahan bawah umur).
Pendirian A Samad Ismail yang tidak menikahkah Yak pada akhir cerpen bukan sahaja menjadi dalil penerimaan masyarakat tetapi turut memberi isyarat bahawa: dah dia memang pondan. Kepondanan itu fitrah - tidak menjadi mudarat kepada masyarakat.
Dalam masa yang sama, cerpen ini tanpa gagal mengetengahkan maskuliniti toksik melalui watak (yang telah saya lupakan namanya), apabila mereka mempertaruhkan kejantanan melalui kemampuan mereka untuk mengandungkan isteri masing-masing. Dan sekali lagi tanpa gagal, cerpen ini menunjukkan kejernihan fikiran A Samad Ismail apabila watak narator dan suaminya turut tak punya anak! Malah, dipertentangkan melalui dialog bersahaja akan “kemandulan” dia dan pasangan.
Sebuah cerpen humor yang sarat mesej seksualiti serta budaya masyarakat 60-an. Tidak dilupakan, cerpen ini turut mengetengahkan kepercayaan masyarakat akan keperluan memilih tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis supaya tidaklah tersadung malang, budaya masyarakat desa yang saling mendukung serta makanan kenduri kendara pada ketika itu (klu: bukan nasi minyak). Keluar dari acara ini, saya cuma harap, kita akan terus baca cerpen sampai satu jam tanpa mengeluh haus!
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
