Semua perkara adalah bahasa dalam ragam tersendiri. Malah, kalau boleh dipecahkan tiap satu perkara bahasa lazim saya kategorikan ia mengikut dua kategori saja; kolokial dan terceruk.
Mudahnya, kolokial adalah bahasa sehari-sehari yang lebih mudah umum santuni sementara bahasa terceruk pula adalah pemikiran kata yang hanya disantuni golongan tertentu, sesuai dengan kecenderungan minat terhadap subjek tertentu.
Saya berfikiran begini juga apabila mendengar muzik.
Macam bila mendengar lucidrari, Megat Fazly, Aus et al. atau mungkin Dependent, bahasa (dalam konteks ini, lirik dan bunyi) yang dihasilkan cenderung kolokial. Ia lebih mesra telinga, mudah didengari oleh sesiapa pun. Itupun kalau warga pilih untuk santuni “bahasa” ini.
Sementara Marsa, MAB189, rega atau Suprise Chef pula terceruk; hanya diteroka dan disantuni oleh pendengar tersendiri; dicari dan mencari. Selalunya “bahasa” genre begini tidak mesra radio = tidak mesra umum.
Di Malaysia, lazim pendengar bunyi kolokial memicing mata terhadap peminat bunyi terceruk. Acah art, seninya beratz. Mereka yang terceruk juga takkan tidak melawan ye dok? Meremehkan pula pendengar kolokial yang biasa-biasa, terlalu trendy dan TikTok.
Kita kata ini apa kawan-kawan? Kita kata ini ragam. Ragam manusia dan itulah yang memeriahkan earth.

Album art “sehayat dalam sedetik” oleh Az Samad.
Jadi, apabila Az Samad hadirkan dengan sebuah EP lima lagu, fikir saya tiada apa selain berandai ia akan jatuh di mana-mana dua kategori bahasa menurut afro berakal renek ini.
Tapi, Sehayat Dalam Sedetik nampaknya mengambil masa saya lebih banyak dari biasa. Pendengaran sering terganggu. Fokus lebih selesa leka.
Dan ini cumalah ragam saya apabila ditemani bunyi bahasa yang jarang didengari.
Lagu-lagu yang dikarang sekitar 2004 hingga 2010 ini diadun semula untuk pendengar hari ini. Katanya, ia cerita yang disampaikan secara instrumental.
Cuma… apakah ceritanya?
Papan kekunci saya togel. Sekalipun celik, dimanakah A-Z dan 0-9 yang saya kenali? Ketika mula menulis, docx sering kembali nol. Apakah hurufnya rumi, jawi atau hangeul? Adakah hurufnya rencong atau sanskrit tak mahir dibaca? Setiap huruf yang ditaip, kembali dipadam. Atau tiadakah huruf yang tertaip dan sebenarnya tiada apa yang dipadam?
Apakah. Bahasa. Ini? Apakah. Yang. Akan. Saya. Jumpa?
Akustik gitar ketika lagu pertama lebih sering nyilu. Bayang Biru tamat tanpa sedar seperti tiada apa yang mengusik. Apabila tersedar ia adalah lagu kedua, saya akan ulang pasang album ini. Tergapai-gapai, mengenal pasti huruf untuk bahasa yang jarang-jarang didepani ini.
Ia pengalaman mendengar yang jenuh. Lagi-lagi untuk saya yang lebih fasih mendengar muzik pop, bergimik dan menghimpunkan alat muzik yang beragam.
Ada hubung kait lagu tanpa lirik yang cuba dicari. Misalnya posrok, genre kegemaran. Biarpun bebas lirik, ia masih bunyi yang selesa telinga dengari. Terpeka pada graf muziknya. Ada cerita. Jolas. Adakah kerana ditemani instrumen yang pelbagai, jadi tak ada aral untuk mendengar?
Jadi, apabila perlu mendepani bahasa gitar sebagai instrumen tunggal seperti yang dipetik cikgu muzik ini, saya keliru cara mendengarnya.
Apakah. Bahasa. Ini? Apakah. Yang. Akan. Saya. Jumpa?
Terlalu banyak mengapa dan tanda tanya. Bagaimanakah untuk membaca cerita yang disampaikan oleh satu instrumen? Dan mengapa, saya tak faham biarpun lagu bebas lirik seperti ini sering didengari?
Perlahan-lahan, jawapan hadir ketika lagu ketiga. Az mula petik gitar akustiknya perlahan setelah Bayang Biru tamat tanpa sedar seolah memberi ruang untuk saya buang segala serabut. Setelah “dipujuk lembut” begitu, tali-tali gitar digodek medium laju dengan sekuens yang sama dan ia berulang lagi dengan gerak jari lebih laju. Berfasa-fasa seolah memberi tunjuk ajar untuk saya dengar lagu ini.
Macam sebuah huluran tangan kasar kepada saya yang tapaknya masih halus. Huluran tersebut menggenggam dan membawa saya jalan-jalan sambil asyik ulang, “it’s okay kalau tak faham. Cuba sekali lagi, cuba lagi.” Gituh.
Saya buka Apple Music untuk tahu judul lagu yang berjaya mengusik ini. Rupanya ia adalah kata yang sama berlonggok sejak awal tulisan tadi; mengapa.
Dan Az sebenarnya menulis lagu ini untuk seorang rakan setelah kehilangan ayahnya. Ada ratapan yang dilihat, ada kesedihan yang berpanjangan. Daripada menghulurkan kata-kata nasihat, duta Yamaha Music Malaysia ini hulurkan sebuah pelukan melalui lagu. Ia absurdlah kalau kita kata secara kolokialnya, tapi ia cukup untuk memujuk dan memberi tenang. Kalau bukan pada rakannya pun, sekurangnya pada saya yang akhirnya, tahu untuk menyantuni “bahasa” sebegini.
Apakah. Bahasa. Ini? Sudahkah. Saya. Jumpa?
Belum. Ini cuma pertembungan pertama yang kebetulan menjadi. Daripada lima lagu, hanya satu yang perselisihannya tidak mengjungkit bibir. Dan sebagai pendengar muzik yang sukakan bahasa, saya perlu cari pertembungan lain supaya betul-betul faham cara membaca huruf cerita-cerita bahasa ini.
Terbaru, Az Samad keluarkan EP 3 lagu berbunyi hip-hop disadur eksperimental dan simple, its good.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].