Saat Bermain Dengan Bahasa

Menulis cerpen, novel, puisi atau drama pentas, Saat Omar sentiasa jadi Saat Omar yang polos dan witty!

Saya lelaki homo. Bila nampak pisang kuning terang diselimuti kain cyan, sebagai budak 14 tahun ketika itu, memang tak ada benda lain saya boleh fikir. Itu adalah apa yang saya mahu. Jadi, tak buang masa, saya capai tulisan Saat Omar yang itu.

Lagi-lagi, apabila saya memang sudah kenal dan tahu apa yang saya mahu sejak dulu.

Tapi setelah 11 tahun, sedarlah saya yang tak ada ingatan kuat tentang mana-mana tulisan Saat. Kecuali, imej pisang kuning terang itu.

Paling hampir pun, mungkin Koleksi Puisinya yang dicetak dengan warna cyan yang mirip.

Cuma… itu pun tiada tulisan yang membekas di ingatan. Jadi, apabila cerita “Langgam Merdeka” melekat dalam kepala saya lepas dua bulan habis dibaca, ia buat saya tertanya macam mana tulisan Saat Omar yang kali ini, boleh membekas?

Saat Omar bersama Koleksi Skrip Pentas-nya.

“Langgam Merdeka” adalah salah satu naskah teater yang ada dalam Koleksi Skrip Pentas Saat Omar (terbitan Sekutu Buku Anti Kemampanan). Premis ceritanya mudah. Tentang percintaan yang cuba disorokkan oleh dua pemuda kampung padahal seluruh kampung tahu mereka bercinta. Ya, very biasa.

Yang menghiaskan cerita ini menjadi lawo adalah kecerdikan penulis yang juga seorang pensyarah ini dalam bermain dengan sub-idea lain; bahasa.

Selain pantun, keterbilangan karakter yang jelas buatkan cerita ini menjadi.

Pak Long handal bermain pantun, tapi Remy gagal menyusun rima. Pak Deris dan Kalsum pura-pura tidak fasih berbahasa Inggeris sedangkan Amir baru belajar mencarut Mat Salleh. Watak-watak lain juga ada perincian bahasanya sendiri dan apabila si pandai dan si idok pandai berbahasa ditemukan dalam satu situasi, ia jadi hiruk-pikuk yang tak terkawal.

Di tangan Saat, hiruk-pikuk ini kemas dibangunkan sampai kita tak rasa rimas. Dalam bahasa lain, ia terkawal biarpun riuh.

Mungkin Seronok, Santet, Sejadah, dan Rebel tak cukup untuk buatkan saya nampak siapa Saat Omar dalam lapangan penulisan. Tapi, Koleksi Skrip Pentas ini halakan pandangan saya ke arah yang lain.

Dengan sekali bacaan, ia tolak kepala saya dan alihkan kepada Saat yang lebih selesa menulis dialog dengan satu latar, satu babak.

Yang saya nampak sekarang ialah seorang Saat Omar yang lebih selesa bercerita apabila diberikan sebuah pentas. Jadi, dari kerusi audiens, saya cuba tanya beberapa soalan kepadanya.

AA:
Apa yang akan seorang Saat Omar peduli sebelum memilih untuk menzahirkan sesebuah idea tu menjadi novel atau cerpen atau skrip pentas atau puisi?

SAAT OMAR:
Peduli hanya untuk melengkapkan putaran. To complete the circle, samada novel cerpen puisi atau sebagainya. Idea asas adalah abstrak dan kebanyakannya berbentuk visual, tapi ada yang juga text. Hobi saya adalah menyudahkan serpihan-serpihan fragmen idea itu.

AA:
Saya perasan hanya Persiapan Seorang Aktor hadir dengan karakter paling minimum berbanding 3 skrip yang lain. Does bilangan karakter yang sedikit ini beri sudut pandang yang berbeza sikit kepada Saat sepanjang menulis?

SAAT OMAR:
Memang idea yg ideal bila menulis skrip pentas ialah menulis dgn karakter yang minimum. Ini saya peroleh bila menjadikan Eugene Ionesco sebagai penulis ukuran bila cuba menulis skrip pentas. Untuk produksi kecil ianya lebih mudah dan praktikal. Tapi kebiasaan skrip pentas yg dipertanggungjawabkan untuk saya tulis adalah untuk produksi pelajar, jadi kuantiti watak adalah berdasarkan sikit-banyaknya pelajar.

Setakat ni biasanya untuk skrip pentas saya menulis untuk 2:
1. Kelas dan showcase pelajar.
2. Untuk pertandingan.

Setakat ni belum menulis untuk diri sendiri lagi. Mungkin suatu hari nanti.

AA:
Saya percaya Saat ada skrip yang lain, tapi kenapa untuk koleksi kali ini, 4 skrip ini yang ditawarkan kepada pembaca sebagai kompilasi pertama?

SAAT OMAR:
Ni antara yang paling kuat dan sesuai untuk bacaan kot. Kalau panjang umur memang ada rancangan nak bukukan skrip-skrip yang lebih pendek. Tapi belum cukup material.

AA:
Antara Persiapan Seorang Aktor dan Langgam Merdeka, mana yang lebih Saat sayang?

SAAT OMAR:
Mungkin Langgam Merdeka. Antara naskah terawal yang saya arah. Jadi resah gelisahnya real. Langgam buktikan dan membuat saya berpegang pada "Show kurang penting berbanding proses rehearsal itu yang lebih menarik dan  menyeronokkan.”

AA:
Sebagai penulis yang turut mengarah Langgam Merdeka, apa yang paling mencabar bila nak realisasikan tulisan menjadi pementasan?

SAAT OMAR:
Sebenarnya saya seorang pengarah yang teruk. Saya tak pandai berkomunikasi dengan pelakon. Bila saya tahu ini, saya fikir lebih baik saya menulis sahaja.

Zine terbaru Saat Omar dan rakan penulisnya, Mohd Azmen. Dapatkan di Shopee.

AA:
3 skrip Malaysia dan 3 skrip luar negara kegemaran Saat.

SAAT OMAR:

3 Naskah Luar Tempatan:

  1. Antigone oleh Sopocholes - Kenalah pilih satu dari Greek. Antigone ialah naskah Greek paling underrated tapi antara yang paling best. Wataknya banyak one two conversation. Naratifnya lurus dan mudah dibaca. Ada Agamemnon dan puteri-puterinya. Naskah yang saya baca ialah versi bahasa Melayu terjemahan Rendra yang sedap gila. Ini ataupun Romeo and Juliet.

  2. Conference of the Bird naskah puisi asal oleh Farid ud-Din Attar olahan oleh Peter Brook dan Jean-Claude Carrière - Jenis naskah yang lebih baik membacanya daripada menonton. Saya menterjemahkan sandiwara ini kepada BM sekali dan tidak pernah saya menangis membaca drama tetapi yang ini hampir membuatkan saya menangis teresak-esak.

  3. Night, Mother oleh Marsha Norman - Naskah yang saya impi untuk tulis. Saya harap saya boleh menulis play ini. Memandangkan watak wanita adalah jantina kegemaran saya, watak ini mempunyai dua wanita, ibu dan anak bertengkar tentang sesuatu yang gelap dan menyedihkan.

3 Naskah Kegemaran Tempatan:

  1. Mayat oleh Hatta Azad Khan - Hatta sebenarnya sangat concern dengan isu-isu penempatan, pendudukan dan ruang kehidupan antara manusia (Syyy….Mayat, teater muzikal Kg Bharu). Mayat antara naskahnya yang paling popular dan yang paling banyak dipentaskan. Saya tidak boleh melihat pengkebumian tanpa teringatkan naskah ini. Naskah yang wajib bagi semua peminat teater tempatan.

  2. Tinggi Tinggi Si Matahari - Menurut isteri Bidin Subari, naskah itu sepatutnya sebuah drama tragedi, tapi di tangan pengarah teater Malaysia Tinggi-Tinggi Si Matahari sentiasa sebuah komedi era 70-an. Nampak ringan, tapi sebenarnya bahasa Bidin Subari sangat sedap.

  3. Stereo Genmai oleh Ridhwan saidi - Menontonnya bagi satu pengalaman baru. Terasa dihujani peluru dari setiap arah. Permainan datang dari depan, tepi, belakang dan semua arah, setiap sudut digunakan dengan sebaiknya.  This is real 4D experience. Mungkin teater terbaik Ridhwan Saidi.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.