Ingat lagi zaman sekolah dulu. Orang selalu kata yang cuma ‘mat bunga’ saja layan puisi. Tapi band yang baru tumbuh ini menepis stigma itu. Rengkuh menghidangkan gabungan muzik rock dan puisi; dua elemen yang berbeza 180 darjah.

Kalau cakap band rock yang liriknya puitis, saya cuma boleh sebut beberapa band lokal. Salah satunya Sekumpulan Orang Gila (SOG). Lirik puitis dan disulam pula dengan muzik post hardcore. Lagu Pelukan Angkasa dan Terbanglah yang liriknya ditulis oleh Kak Fazleena Hishamuddin, dipadankan pula dengan muzik keras dari Raja Nazrin Shah. Perghhh cukup rencah.

Walaupun Pertemuan Pertama adalah show debut Rengkuh, sebenarnya ini bukan kali pertama mereka muncul di publik. Mereka pernah berpentas di KL Alternative Bookfest dan North Camp 2025. Cuma ini kali pertama saya dapat lihat mereka depan mata. Kali ini di kafe Bijou, Ara Damansara.

Bahagian terakhir persembahan Wani Ardy bersama Qristina Ariff. Gambar oleh penulis.

Kalau tanya siapa penulis pertama yang buat saya jatuh cinta pada puisi, tanpa berfikir pastilah Wani Ardy akan disebut. Selepas hampir 10 tahun membaca Langit Vanilla dan Mesin Cahaya Masa ketika di bangku sekolah, ini kali pertama saya menyaksikan persembahannya. Berganding pula dengan Emy Syahmi dan Qristina Ariff.

Tema “Tumbuh dari Kesakitan” yang dibawakan mereka bertiga melengkapi antara satu sama lain. Fokus saya juga tertumpu pada Qristina yang tampil ayu dan ekspresif dalam menyampaikan persembahannya. Emy Syahmi pula menjadi tulang sokongan yang mantap.

Perasaan bercampur baur. Antara suka menonton persembahan puisi Wani, dan fokus yang agak terganggu dengan muzik kuat. Bait-bait kata Wani jadi tenggelam dan tidak jelas kedengaran. Mujur beberapa rangkap puisi dapat ditangkap hasil daripada pembacaan puisi beliau sebelum ini.

Satu hal yang saya suka tentang acara Pertemuan Pertama ini adalah bagaimana build-up energy antara setiap persembahan. Wani Ardy membuka gelanggang persembahan serba melankolik dan perlahan. Persembahan kedua, Megat Fazly, pula muziknya lebih rancak, folk dan pop.

Saya merupakan peminat Mafidz sejak album pertama mereka, Ada Angin dan Hati. Namun, muzik solo Megat Fazly… secara peribadi saya kurang layan. 

Mafidz menggabungkan suara adik-beradik Megat, menjadikannya lebih harmoni. Dari segi muzik pula, saya kira Megat Fazly lebih bereksperimen. Muziknya lebih pelbagai. Juga antara sebab saya lebih senang ‘sangkut’ pada muzik Mafidz, kerana profil muzik mereka lebih solid.

Megat Fazly bersama Zaiff Sharqil (viola) dan Aizad Khan (bes). Gambar oleh penulis.

Tapi, malam itu, seperti diberikan peluang kedua untuk jatuh cinta, saya mula mengenali muzik Megat Fazly. Lagu-lagu yang sebelum ini kedengaran biasa, malam itu jadi luar biasa.

Antara lagu yang dibawakan adalah Berseri, Tiket Ke 1980 dan Minta Maaf Lagi. Sumpah, lepas balik, lagu-lagu ini terus ditambah ke dalam playlist. Saya rasa agak ketinggalan bas apabila melihat beberapa orang sing along sepanjang persembahan Megat.

Saya kira ada hal yang perlu diberi beberapa kali peluang untuk kita alaminya, sebelum mengangkat kata putus asa atau tak suka. Dalam hal ini, pengalaman mendengar muzik Megat Fazly secara bersemuka membawa saya lagi jauh untuk menghargai eksperimen-eksperimen muziknya kalau dibandingkan hanya mendengar secara streaming. Muziknya lebih jelas, emosinya lebih sampai, dan benar-benar membuat saya terbuai dalam pengembaraan yang mahu dibawakan.

Oleh itu, saya isytiharkan Megat Fazly adalah antara artis yang sekali seumur hidup, setiap orang perlu nikmati persembahannya secara langsung.

Sekarang kita masuk ke acara kemuncak. Rengkuh.

Persembahan dibuka dengan voice note seorang lelaki sebelum instrumen rancak bermula. Saya cuba menahan dari headbanging, tapi beberapa kali juga kaki dan kepala terlepas dari kawalan.

Untuk debut show mereka, Rengkuh berikan zine yang mengandungi lirik lagu-lagu mereka pada semua orang. Antara lagu-lagu yang termuat adalah Sari, Esok, Lamun, Deru dan Rengkuh. Kami sebagai pendengar baru, dapat mendalami dan mengikuti cerita dan rentak sepanjang persembahan. Saya puji.

Zine A4 dilipat lapan yang disertakan sekali bersama kepingan poskad sebagai “tiket” Pertemuan Pertama. Gambar oleh penulis.

Sewaktu Sari dimainkan, kepala saya terjumpa persamaan Rengkuh dengan band lain. Mungkin yang saya rasakan hampir serupa adalah band dari Indonesia, Banda Neira dan Biru Baru.

Seperti dejavu, ketika Sari, ia mengingatkan saya kepada Sampai Jadi Debu (Banda Neira). Digabungkan dengan rentak yang lebih rancak dan energetik, sama seperti yang dibawakan Biru Baru dalam beberapa lagu mereka.

Tapi, Rengkuh masih berdiri atas keunikan pada muzik dan nafas mereka. Inspirasi mungkin?

Juga, saya pejam mata pada hal-hal teknikal yang berlaku sepanjang persembahan seperti sound system yang terlalu kuat sehingga suara vokalis, Mosyuki Borhan, tenggelam juga gitar Aus yang tidak berbunyi. Hal-hal seperti ini tidak terlalu mengganggu,

Rengkuh berpentas. Gambar oleh penulis.

Namun ada satu hal yang saya rasa sangat kritikal dan mengganggu pengalaman menikmati mereka.

Dalam setiap acara, interaction bersama penonton adalah hal yang sangat penting. Walaupun penonton datang membayar untuk menyaksikan persembahan dan menikmati muzik, tidak boleh tidak, artis perlu sedikit sebanyak bertegur sapa dengan penonton yang hadir.

Rengkuh kekurangan elemen ini.

Selepas satu lagu ke lagu yang lain, saya menunggu bila mereka akan berhenti dan memperkenalkan diri. Namun sayangnya tiada. Hos saja yang memperkenalkan barisan ahli band di akhir persembahan, namun masih tidak cukup untuk mencipta hubungan antara artis dan peminat yang hadir malam itu.

Agak ironi apabila Wani Ardy dan Megat Fazly sebagai supporting act juga bertegur sapa di antara persembahan mereka, tapi artis utama iaitu Rengkuh yang ditunggu-tunggu, terlepas perkara ini.

Entah terlalu fokus pada persembahan, gugup untuk show pertama atau mengejar masa, ucapan terima kasih dan ramah mesra hanya hadir selepas persembahan akhir. Satu hal yang sangat sayang kerana Rengkuh tidak benar-benar merengkuh erat penonton yang hadir malam itu.

Tapi, saya masih terhibur menikmati dan pulang dengan puas malam itu. Setiap ahli benar-benar menikmati momen persembahan mereka. Terutama Ruviyamin yang betul-betul belanja “ketuk” dram pada hujung persembahan.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

Avatar

or to participate

SURAT-SURAT LAIN