- #mainsurat
- Posts
- Radar Late Night Frequency Yang Belum Dijumpai Warga
Radar Late Night Frequency Yang Belum Dijumpai Warga
Walaupun lelah untuk bertahan, kumpulan ini kekal hasilkan muzik disko pop untuk kita joget!

oleh gridmeja
Formula paling sering ditelatkan dalam pemasaran muzik tempatan adalah visual. Atau mungkin, pemuzik kita lebih selesa dengan idea, “Biarlah bunyi-bunyian ini yang menjadi tunjang kebergantungan aku untuk mendapat tempat dalam industri.”
Late Night Frequency (LNF) hadir dengan semangat pop disko. Vokalisnya, Moja, akan sering memakai kaca maca LED sama seperti yang Lady Gaga pernah sematkan dulu. Selain berbaju lapliplaplip, mereka juga ada seorang pemain saksofon yang reda berpanas-panasan dalam kostum serigala yang dipanggil sebagai Mr. Wolf.
Dengan lambakan konsert berskala mega di Malaysia beberapa tahun kebelakangan ini, sebagai sebuah band yang tidak memainkan muzik mesra radio, Moja ada meluahkan lelahnya untuk terus bertahan.
Muzik yang berbeza telah didengarkan. Konsep pop diskonya telah dipegang sejak dari awal kemunculan. Gimik serigala juga telah ditawarkan. Malah, Anugerah Industri Muzik juga telah dirangkul. Jadi, apa lagi formula yang perlu mereka lakukan hanya untuk mendapat perhatian pengurus acara supaya capaian muzik mereka lebih besar, supaya gian untuk berpentas tertunai?
Biarpun kepala masih ribut, Late Night Frequency tak pernah lupa dengan peminat mereka. Setakat Oktober 2025, mereka telah keluarkan tiga single baru sejak awal tahun untuk bina momentum sebelum melancarkan album kedua pada penggal terakhir tahun ini.
Ia bermula dengan Bipolar Personality Disorder (BPD) yang keluar Januari lalu.
Malam main muzik, namun pagi Moja adalah seorang doktor. Kalau hari dibelah dua, (1) dia pilih untuk menyembuhkan segala cela di tubuh kita sebagai seorang doktor dan (2) dia pilih untuk merawat segala barai yang berumah di belakang lehernya dengan bermain muzik.
Peka terhadap trend pesakitnya, dia perasan diagnosis perubahan emosi mendadak ini semakin meningkat. Risau adalah simpati tak berhujung.
Nak peluk pesakitnya sebagai satu cara meredakan ragu akan melanggar etika. Maka, Moja pilih muzik memuatkan simptom-simptom seorang penghidap BPD ke dalam lirik untuk mengajak kita semua, ya kita semua, kalau "letih tak bermaya/ sedih secara tiba-tiba/ takutnya ditinggalkan oleh cinta/ impulsif bawah sedar" pergilah berjumpa doktor.
Dibuka ceria dengan dram elektronik dan siatan violin, ketika baris "bukan perkara mudah" dilafaz, ada petik gitar yang mengiringi baris-baris suram vokalis sepanjang verse sebelum kerancakan melodi hadir memenuhkan korus dan outro semacam satu huluran harapan; violin lebih menyayat ketika dram cuba beri senafas hidup.
Ia pertembungan emosi yang konsisten, buatkan kita keliru dengan perasaan sepanjang mendengar lagu ini.
Semekar Bunga (Kau Aku Suka) hadir pada bulan Mei.
Seperti lekuk kelopak bunga, lagu ini terliuk-liuk nakal dalam liriknya. Pendekatannya berbeza dengan BPD yang ditulis dengan tujuan kesedaran. Semekar Bunga boleh jadi sebuah lagu filler dan kalau dipentaskan langsung, akan dinyanyikan ramai.
Menggabungan semangat jazz dan funk, ia adalah sebuah kisah jatuh cinta biasa yang diragamkan dengan pertunjukan mewah saksofon selepas setiap verse dan korus bebas lirik.
Selain bass catchy ketika "kau aku suka/ kau aku suka" yang buatkan pengulangan baris ini kedengaran very the gatal, padat kedua-dua solo alat tiup tersebut buatkan kita berjoget. Kalau betul-betul tengah in the mood, in shaa Allah kaki kita akan terangkat seperti Misha Omar. There is a strong appeal untuk lihat versi lagu ini dilaungkan beramai-ramai oleh penonton.

Dari kiri; Adeep Nair (pemain gitar), Ku Miro (pemain bes), Mr. Wolf (saksofon), Moja (vokalis) dan Ringoe (pemain dram).
Tengah borak-borak, Mr. Wolf, menceritakan sebuah hikayat di dalam jazz bar kepada ahli muzik kugirannya:
Singgah memasukinya tiap Khamis malam adalah seorang wanita yang akan hadir sendirian. Semua pengunjung mengecam wanita ini, terutama tuan bar yang sama peka dengan kamera di bucu siling. Namun, tiada siapa tahu dia datang dan tinggal di mana. Menjadi rutin, dia akan duduk sepanjang malam dan akan menghilangkan diri sebelum lagu terakhir dimainkan. Seisi kedai hanya menyedari ketiadaannya selepas she is totally gone.
Lagak sekumpulan artis, LNF pilih untuk kembangkan kisah ini menjadi single ketiga sebelum album mereka betul-betul tersedia untuk kita.
Judulnya, Annabelle.

Album art “Annabelle” oleh Late Night Frequency.
Cuba untuk “menangkap perasaan mengejar seseorang yang anda sendiri tidak pasti benar-benar wujud,” lagu ini dipenuhi synth dari awal selain melodi bes, yang alhamdulillah, dengan kerjasama Taja Mustapha, kedengaran sangat menonjol.
Membuka lagu ini dengan korus adalah pilihan paling tepat. Seperti lagu-lagu lain, formula lagu LNF jarang sekali dapat hasilkan melodi verse yang mudah untuk kita ikuti. Ia sering dipatah-patahkan penyampaiannya, buatkan ia lebih seronok untuk kita dengar berbanding nyanyi bersama.
Lain pula dengan korus-korus mereka, ia memorable. Malah, dalam single ini juga, lafaz “Annabelle/ Annabelle” yang Moja dengarkan tersangatlah mudah untuk kita remember dan sing along. Ia kedengaran seperti sebuah puja-pujaan. Imej Annabelle sebuah patung puaka dalam The Conjuring, apabila dinyanyikan dalam lagu ini, terlebur menjadi another patung warna-warni yang kita nampak dekat Genting Themepark.
Selepas konsisten menghasilkan muzik dengan produksi yang rinci, tidaklah mengejutkan untuk lihat ahli kumpulan ini mempersoalkan keberadaan mereka dalam semua deck artis festival yang penganjur acara bentangkan kepada pasukan.
Lebih-lebih lagi, kita boleh nampak jelas hatta menutup mata, festival-festival kita sibuk mengulang muka artis tempatan sama. Yang berbeza, malangnya, adalah nama artis-artis luar.
Sementara penonton sedang bermurah hati mengeluarkan wang untuk berjoget sakan dan mendengar muzik, sebagai seorang artist, memang perlu kita persoalkan dimanakah letak duduknya karya kita sendiri? Ketika ekonomi lokal sedang memuncak, yang mendapat tempias emasnya adalah individu yang bagaimana?
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply