- #mainsurat
- Posts
- Pekan Teman Baik: Acara Apa Pula Ni?
Pekan Teman Baik: Acara Apa Pula Ni?
Acara buku je mesti kena jual buku. Boleh tak kalau kita borak-borak sambil minum kopi je?
oleh Aliff Awan
Awal tahun ini, kedai kopi REDA di Shah Alam telah kembali mengacarakan Pasar Boco setelah 7 tahun ia tidak diadakan. REDA yang sering dikaitkan dengan kopi, buku dan puisi ini, nampaknya tak minat untuk berhenti setakat itu.
Sambil-sambil membancuh kopi, mereka juga ingin ‘mencicip’ pelanggan baru dengan acara-acara seni. Lagi-lagi apabila mereka kini turut ada cawangan baru di KL Art Hub.
Bagi menutup tahun 2024 ini, mereka pilih untuk adakan sebuah festival seni silang negara antara Malaysia dan Indonesia, yang dipanggil sebagai Pekan Teman Baik.
Warnanya palet kuning. Dan ada lukisan 2 teman baik yang mirip dua kuntum bunga menghiasi poster acara ini, direka oleh @hirahsanada (Indonesia) dan @thetinkercat (Malaysia).
Menampilkan cabang seni pelbagai seperti puisi, muzik, seni Lukis, fotografi, dan drama pentas, Pekan Teman Baik (#PTB2024) dianjurkan oleh Rumah Ripta dengan kerjasama Rumata' Artspace, Makassar Writers, REDA Coffee dan Antologi Manusia.
Jadual hari pertama acara Pekan Teman Baik.
Antara acara menarik yang kami tak sabar nak pergi, adalah “Puisi: Dari Kertas Ke Pentas” pada hari Rabu dan persembahan “Tutur Tubuh” yang akan berlangsung hari Sabtu.
Satu-satunya alasan acara ini menarik minat kami adalah kerana, pengkarya-pengkarya yang terlibat nanti namanya sama; Ash Mime (Malaysia), Ibe S Palogai (Indonesia) dan orang kuat #PTB2024 ini sendiri, Mosyuki Borhan (Malaysia). Kami syak, dua acara ini mungkin bersambung?
Malas bersangka-sangka, kami terus hubungi Mosyuki untuk fahamkan lanjut mengenai dua acara ini.
MG:
Adakah pementasan "Tutur Tubuh" adalah kesinambungan dari bengkel "Puisi: Dari Kertas Ke Pentas"?
Mosyuki Borhan:
Tidaklah kesinambungan secara langsung. Tetapi bengkel puisi itu bertujuan untuk berkongsi bagaimana puisi secara tulisan boleh diadaptasi kepada persembahan pentas termasuk olah tubuh, muzik dan monolog. Jadi “Tutur Tubuh” adalah salah satu contohnya. Pada asalnya saya dan Ash berbual untuk mengadakan persembahan bersama. Sewaktu brainstorm, kami dapati kami mula berpentas pada tahun yang sama; 15 tahun dulu. Jadi kami adakan “Tutur Tubuh” sebagai acara untuk menanda 15 tahun kami membuat persembahan pentas.
Jadual hari kedua acara Pekan Teman Baik.
Jadual hari ketiga acara Pekan Teman Baik.
MG:
Sebagai tuan acara, artis yang turut terlibat dalam beberapa slot dan juga, barista REDA yang perlu hidangkan kopi kepada pelanggan ketika hari acara, adakah Mosyuki telah bersedia?
Mosyuki Borhan:
Sejujurnya saya belum cukup bersedia untuk acara ini. Tetapi kalau tidak sekarang, bila lagi? Tambahan, saya tidaklah begitu takut, bahkan bersyukur kerana mempunyai team yang bagus. Semua bertanggungjawab menjalankan kerja, hingga persiapan untuk acara ini berjalan lancar.
MG:
Kenapa pilih untuk buat #PekanTemanBaik2024 selama 6 hari berturut-turut sedangkan festival ini kali pertama dilakukan?
Mosyuki Borhan:
Pada mulanya kami ingin menganjurkannya selama 4 hari, tetapi bilangannya bertambah kerana, acara kami merangkumi 5 disiplin (puisi, muzik, teater, fotografi & seni lukis), dan kebanyakan program dilakukan pada malam hari. Banyak acara di Malaysia, kalau dijalankan pada hari biasa, sukar dihadiri andai acaranya berlaku ketika siang. Oleh kerana waktu yang terhad, jadi saya harus menganjakkan festival menjadi 6 hari.
MG:
Kami nampak barisan artis yang terlibat, masing-masing popular dalam liga tersendiri. Macam mana curation artis ini dibuat? Adakah mereka semua pelanggan REDA Coffee sebelum ini?
Mosyuki Borhan:
Sebelum memilih artis, kami membahagikan team kepada 5 disiplin (seperti yang saya katakan tadi). Setiap PIC yang menguruskan setiap disiplin ini datang dari berlainan latar belakang. Mereka harus memilih artis yang ingin dipanggil. Selepas itu barulah kami berbincang untuk memutuskan siapa yang akan diundang. Ada juga sebahagian artis yang menawarkan diri untuk turut serta, dan kami memilihnya atas kesesuaian acara.
Jadual hari keempat acara Pekan Teman Baik.
MG:
Adakah trip-trip Mosyuki ke Indonesia tahun ini menjadi inspirasi #PekanTemanBaik2024 dianjurkan?
Mosyuki Borhan:
Bukan menjadi inspirasi tetapi menguatkan lagi alasan untuk menganjurkan PTB. Sebenarnya inspirasinya datang seawal 2019 ketika saya diundang ke Makassar International Writers Festival (MIWF). Pengarah MIWF (Lily Yulianti) meminta saya menganjurkan acara di Malaysia dan dia akan hantar sebahagian penulis Indonedia. Waktu ini belum ada nama acara. Namun selepas itu pandemik berlaku dan Kak Lily meninggal dunia pada awal tahun 2023 akibat kanser. Jadi sejak itu saya teruskan hubungan baik dengan Rumata dan team MIWF, sehingga kami sama-sama setuju untuk menjadikan idea Kak Lily ini satu kenyataan. Begitulah juga bagaimana acara ini dinamakan dengan ‘teman baik’.
-
Lepas membaca temu bual ringkas ini, anda mungkin rasa "Macam mustahil je aku nak join Pekan Teman Baik ni? Dia buat weekdays. Susah!"
Tapi, jangan risau.
Macam kami kata, acara ini berlangsung selama 6 hari. Tak dapat datang weekend? Datang weekdays! Tak dapat datang hari kerja? Datang je hujung minggu.
Yang pasti, korang kena janji untuk takkan terlepas festival seni silang negara ini! Ikuti @pekantemanbaik di Instagram untuk dapatkan maklumat lengkap setiap acara. Ada yang percuma, ada yang bertiket tau!
Jadual hari kelima acara Pekan Teman Baik.
Jadual hari keenam acara Pekan Teman Baik.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply