Jahitan Kemas “Hatiku Kemarau”

Berapa banyak lirik lagu yang buat korang puas hati?

Jujurnya, Okirama pernah ditonton sekali secara langsung dan bagi aku, ia sekadar ok ok. Lagu-lagunya pun tidaklah cukup memikat sebab meleret-leret sedihnya ditarik. Tapi, melihat usaha untuk aktif di Instagram dan engage dengan fans, aku kena puji.

Menariknya, usaha ini bukan saja menarik peminat sedia ada, tapi buatkan aku rasa kena follow up selalu dengan work mereka biarpun susah nak enjoy di telinga.

Jika ada satu perkataan, mereka ini aesthetically pleasing. Itu tanggapan pertama aku untuk releases oleh mereka yang ada di streaming platform. Kalau kita buka di laptop, kita akan nampak kebenaran tanggapan ini; judulnya sering puitis dengan album art yang very tumblr-ish.

"Yang Penting Kau Selamat Sampai", "Mimpi Jer" dan "Lofi Si Outro" antara judul yang ada semangat bersahaja. Menarik. Ia mudah digest dan ia akan tarik pendengar baru macam aku untuk cuba listen.

Album art “4 Cara Berpisah” oleh Okirama.

Namun, banyak-banyak bunyi dalam diskografi mereka ini, "4 Cara Berpisah" adalah sebuah judul yang paling sempurna. Dipimpin album art serba maroon dengan ashtray terisi rokok baru nyala, ia semacam sebuah interpretasi visual yang paling jelas untuk gambarkan keseluruhan EP 4 lagu ini.

Pemberatan kesemua lagu dalam EP hasil ciptaan band dari Johor ini ada pada liriknya. Namun, kira aku yang paling cukup sifat tulisannya adalah Hatiku Kemarau.

Sepanjang meneliti tulisan lirik dan puisi, ada satu perkara yang paling sukar untuk dibuat oleh pengarang iaitu menulis cabang imejan yang konsisten. Kata mudahnya, kalau dari awal tulis pasal pantai, maka ia perlu dituruti dan diakhiri juga dengan perkataan sebidang misalnya ombak, nyiur, pasir, kulit cengkerang atau paling mudah, air.

Dan jika menulis pasal kemarau, maka gambaran kering, tak ada air dan tak basah itu perlu diletakkan tempatnya betul-betul supaya ia menjadi sebuah cerita yang selari. Kalau lirik adalah sehelai kain, maka perkataan-perkataan tadi adalah benangnya. Dan benang ini perlu dijahit kemas dan teliti.

Kalau semua lirik adalah sehelai kain, maka Hatiku Kemarau ini adalah kain yang bermutu dan selesa. Shah Iskandar, pengarangnya, telah “menjahit” dengan sangat bagus.

i) “Fikiranku dibanjiri 1001 perkara yang bukan dirimu”

Biarpun baris ini sebenarnya semacam paradoks untuk gambarkan “basahnya sebuah fikiran”, tapi sebab air atau kebasahan itu bukanlah datang daripada “mu”, maka bagi penulis, fikirannya tetap kering; sebuah kemarau.

ii) “Kaulah segelas air yang tak mungkin kan menghilangkan dahagaku”

Sekali lagi, permainan kata yang diterbalikkan. Kalau kita baca sekali mungkin macam, “Lah mamat ni, dah ada air pun takkan tak hilang lagi dahaga tu, takkan tak basah lagi tekak tu,” tapi begitulah kuasa pengarang. Untuk bermain dengan kata yang mana, kalau rasa kecewa itu terlalu besar, minumlah air banyak mana pun ketika dahaga, ia tetap takkan rasa apa; kekal kemarau.

iii) “Hatiku kemarau yang berpanjangan”

> Perletakan perkataan kemarau hanya pada dua verse terakhir adalah keputusan yang wajar. Ada masa, penulis lain akan sibuk terus nak guna perkataan yang ada pada judul di baris pertama lagu sebab nak kasitau “this is it”, tapi dalam konteks lagu ini, “hatiku kemarau” hanya digunakan di hujung. Bila digunakan di hujung, dua perkataan tadi menjadi sebuah penjelasan selepas segala build up yang telah dibuat dalam korus dan verse pertama-kedua, menjadikan experience mendengar itu lain machiam. Ia macam, Shah Iskandar explain dulu bagaimana dia rasa, baru dia beritahu yang dia kecewa (hatiku kemarau). Malah, bila perletakan ini sesuai ditempatnya, nanti kalau nak sing along pun, penonton tahu nak nyanyi kuat-kuat dekat part mana.

Di bio Facebook, Okirama kata "Okirama is a collection of songs which appreciate and encourage the usage of Bahasa in indie music.” Aku anggap ia adalah bio yang bercita-cita besar sebab biasanya, band atau artists kecundang di separuh jalan. Tapi, nampaknya 4 Cara Berpisah dah perlahan-lahan kasi mereka kejar cita-cita ini dan harapnya kita tidak menyaksikan kecundangan yang seterusnya.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.