Nyala Api di Riwayat

Set persembahan motherwit serba ringkas, tapi ada something!

Difitnah tanpa jiwa, Kuala Lumpur sentiasa hingar-bingar dengan bunyi-bunyi hon kenderaan, sorakan penonton bola sepak di mamak, deruman LRT, MRT, ketikan kamera fon dan seperti petang itu, senja meremang jingga sebaik saja hujan usai membasahi.

Timbul sedikit kegusaran pada mulanya, sejarah telah membuktikan bahawa kawasan sekitar Jalan Tun H.S Lee sering dinaiki air. 

Riwayat, toko buku di kawasan berkenaan sedang rancak mengadakan pelbagai acara. Malam itu, kugiran alternatif, motherwit akan mempersembahkan karya-karya mereka di acara ‘GiMik Di Riwayat’.

Tiada jangkaan apa pun sebenarnya dan boleh dilihat pada malam itu, suasana yang biasa-biasa saja, beberapa kenalan masih menunggu di ruang luar Riwayat – merokok, berborak, bertukar cerita dan haha-hihi.

Sementara, beberapa orang juga sedang membelek buku di ruangan dalam toko.

Poster rasmi GiMik di Riwayat: motherwit.

Lampu utama ruangan ditutup, diganti cahaya malap kemerahan, suasana intim mulai terasa dan beberapa orang mula mengambil tempat duduk, tak kurang juga memilih untuk berdiri saja, bersandar di rak buku.

Barangkali acara ini lebih intim, ketegangan dan kekacauan atau ketidakselesaan dapat mudah dirasai dalam setiap orang. Suasana sebegini adalah cara terbaik untuk mengetahui segala keanehan.

Dua lagu awal motherwit persembahkan adalah ‘Rencana’ dan ‘salam’ – sebuah pembukaan agak menarik terutamanya ia diperdengarkan dalam sesi akustik. Bak kata Zim Ahmadi, jurnalis dan juga pemilik Awfultrack Records, versi akustik sebegini membuatkan pendengar fokus pada lirik, berbanding sebelum ini, lebih peduli kepada produksi bunyian. 

Selesai dua lagu awal, entah kenapa motherwit memilih untuk memainkan lagu cover – ‘1000 tahun’ oleh Butterfingers. Menurut Sahaq, lagu tersebut adalah untuk abang-abang scene yang hadir malam itu. Saya ketawa kecil. Sangat merugikan.

motherwit beraksi ringkas untuk ‘GiMik di Riwayat’. Foto oleh Ku Syafiq.

Masa seakan berlalu dengan cepat, motherwit kemudian membawa penonton hanyut dengan karyanya yang lain apabila lagu ‘dan bila’ serta ‘kemacahya’ berkumandang. Beberapa orang kelihatan menyanyi bersama. Saya memilih membatu, merayakan momen. Tidak pernah terlintas dalam kepala, ada orang boleh menghafal lirik lagu-lagu motherwit. 

Sejujurnya, di saat lagu ‘kemacahya’ dimainkan, saya berharap Mosyuki Borhan akan membaca puisinya untuk lagu itu kerana suasananya sangat kena dengan setiap sisi – ah, bukan saja suasana, ruang itu juga akan semakin ‘sempit’, ia menjadi lebih menarik. Tapi sayangnya, ia tidak terjadi.

Persembahan pun ditamatkan setelah ‘kemacahya’, diganti pula sesi wawancara yang dipandu oleh Hafiz Hamzah. Beberapa soalan adalah lebih kepada trivia, asal-usul nama band, proses kreatif dan projek seterusnya.

Sesi ini jadi lebih menarik apabila beberapa penonton mengajukan soalan dan memilih ruang tersebut untuk berkongsi cerita, di mana rata-rata penonton dibuai emosi dengan lagu-lagu motherwit.

motherwit berborak dengan penontot ketika ‘GiMik di Riwayat’. Foto oleh Ku Syafiq.

“Ini pertama kali saya menonton motherwit,” kata seorang penonton.

“Saya datang ke sini bersama suami, tinggalkan anak-anak di rumah dan berdua nak melihat motherwit secara langsung.”

“Lagu motherwit bagus. Ini juga pertama kali saya menonton secara langsung. Emosi lebih terasa berbanding hanya mendengar di fon,” ujar penonton lain. 

Ya. motherwit sangat berbeza ketika mendengarkan mereka secara langsung. Ini harus diakui. Ia juga membawa kepada ingatan pertama kali melihat persembahan mereka di Live Fact, Damansara pada suatu ketika. Saya bukanlah peminat motherwit pada mulanya tetapi ia berubah sejak itu.

Ketika hanya mendengarkan lagu-lagu mereka di fon, karya-karya mereka sepertinya ada beban berat, entah ia sukar dilepaskan atau sengaja disimpan, terdengar belum benar-benar merdeka. 

Berbeza sekali apabila menonton aksi mereka depan mata, nyata mereka bertenaga, ghairah, memberikan semuanya yang ada di atas pentas. Dari kugiran seperti ditiup angin, motherwit kini kedengaran lebih meyakinkan dan Riwayat bakal menjadi saksi lain, motherwit akan didengarkan pada telinga yang tepat.

Sebaik saja sesi wawancara tamat, penonton meminta motherwit untuk memainkan sebuah lagi lagu. ‘amanah’ pun mengambil seluruh ruang Riwayat, suara penonton kini semakin jelas – menyanyikan sekali, meredam bunyi hon serta suara orang-orang yang berjalan sekitar Riwayat, tumpahan hujan dan meninggalkan keresahan di bangku-bangku, memeluk hangat karya motherwit, lalu bersama menyalakan unggun api di dalam toko buku.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.