• #mainsurat
  • Posts
  • Neesa & Aliaa: Pemecah Bias Gender dalam Hadiah Sastera Selangor

Neesa & Aliaa: Pemecah Bias Gender dalam Hadiah Sastera Selangor

Peribadi adalah suatu hal politikal untuk wanita. Adakah ia belum cukup untuk peminat sastera?

oleh Farahin W

Kredit thumbnail: Gender Identity oleh Rob-bot Espiritu

Selepas 2021, Hadiah Sastera Selangor semacam terkubur, sepi dan sunyi tanpa sesiapa pun ditabal sebagai pemenang. Pengarang tertanya-tanya, berbisik-bisik  mencari tahu hilang ke manakah anugerah sastera terulung tanah air itu. Fakir sudahkah kerajaan Selangor kini?

2025, akhirnya HSS muncul semula—menyemarak kembali ranah sastera negeri Selangor. 

Dan sebegitu banyak karya yang dinilai oleh juri, panel cerpen hanya memilih empat karya pengarang perempuan untuk menerima hadiah penghargaan. Malah dua daripadanya adalah daripada pengarang yang sama.

Senarai pemenang Hadiah Penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor 2024 bagi kategori cerpen.

Selepas menerima komen bias gender dalam penganugerahan Hadiah Sastera Selangor yang lalu, bau yang sama terhidu dalam anugerah kali ini. Bayangkan, sebegitu banyak karya terkumpul dari tahun 2022 hingga 2024, hanya tiga orang pengarang perempuan yang menang? Dan kalau dikira secara keseluruhan, hanya lima orang termasuk pemenang kategori puisi dan esei! 

Bias gender bukanlah bermaksud juri dengan sengaja memilih karya yang dikarang oleh pengarang satu satu jantina, apa lagi karya yang tiba di meja juri tidak bernama, jurinya juga terdiri daripada lelaki dan perempuan—namun karya satu-satu jantina (dalam konteks ini, karya pengarang lelaki) tanpa sengaja menjadi standard karya yang dianggap bagus.

Hal ini boleh dikatakan berawal daripada kemunculan pengarang lelaki yang lebih awal menyemarak ranah sastera tanah air berbanding perempuan. Maka, pembaca lebih dekat dengan kepengarangan lelaki atau maskulin berbanding karya-karya perempuan. Apa lagi, dalam kalangan sasterawan sendiri pernah berpendapat bahawa, kemunduran pengarang perempuan adalah disebabkan oleh kecenderungan mereka untuk mengarang hal-hal intim dan domestik. Saya fikir pengarang perempuan tidak berfikir sedemikian. Kerana tentunya, hal peribadi ialah politikal. 

Peribadi ialah politikal bertitik tolak daripada gagasan feminisme yang berawal daripada pengalaman perempuan. Pengalaman peribadi yang berbeza inilah menuntut perempuan untuk dilayan secara adil dan setara. Namun begitu, pengalaman perempuan sering dianggap bersifat domestik.

Perhatikan berkurun lamanya keganasan rumah tangga, rogol dalam rumah tangga, kehendak untuk bercerai, perkahwinan kanak-kanak malah haid dan tumbesaran perempuan dianggap hal peribadi dan tidak perlu campur tangan masyarakat apa lagi pihak berkuasa. Maka, slogan peribadi adalah politikal menuntut agar pengalaman peribadi ini dianggap serius serta dibincangkan oleh pihak berautoriti.

Adibah Amin (kiri) dan Fazleena Hishamuddin (kanan).

Darihal yang demikian, melihat rancaknya pengarang perempuan menulis isu domestik menunjukkan bahawa pengarang perempuan tidak pernah menganggap pengalaman peribadi mereka berlegar hanya di ruang domestik. Misalnya, cerpen Ubat Ayah Mabuk oleh Adibah Amin.

Menerusi karya ini, Adibah merakam kehidupan kanak-kanak kematian ibu dan menyaksikan perubahan sikap ayah yang sering pulang mabuk. Kanak-kanak perempuan ini akhirnya berjaya “mengubati” candu arak ayah dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Cerpen ringkas tentang hubungan ayah-anak ini justeru menggaris bawah kepentingan pendidikan kepada kanak-kanak perempuan. Pengalaman anak perempuan yang bersifat domestik ini mengacu ke arah isu yang memerlukan campur tangan masyarakat dan pihak berkuasa iaitu pendidikan. Apa lagi, pada ketika itu, pendidikan perempuan belum dianggap sama penting dengan lelaki. 

Begitu juga dengan karya kontemporari seperti cerpen Tular untuk Ana oleh Fazleena Hishamuddin.

Karya ini dikarang dari kaca mata jiran yang melihat Ana didera oleh ayahnya. Hubungan kekeluargaan acap kali dianggap hal peribadi dan tidak menuntut campur tangan masyarakat mahu pun autoriti. Isteri dipukul, anak didera dianggap hal dalam kelambu. Begitu juga dengan tanggungjawab ibu dan ayah dalam menyara anak mereka. Walhal, pengalaman-pengalaman peribadi ini menuntut pihak berkuasa untuk merangka satu polisi yang adil bagi mereka. Ya, politikal! Misalnya, penggubalan akta keganasan dalam rumah tangga, hak kanak-kanak serta peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh pusat asuhan kanak-kanak bagi mengelakkan kes kematian di pusat asuhan.

Karya lain yang menyentuh hal peribadi ialah Earthlings oleh Sayaka Murata. Melalui Earthlings, Murata merakam kehidupan kanak-kanak yang didera secara emosi oleh keluarganya dan seksual oleh guru sehingga menyebabkan ia membesar menjadi terasing dari masyarakatnya. Isu keterasingan ini awal sudah dibicarakan oleh pengarang-pengarang Jepun yang lain seperti Osamu Dazai dan Yukio Mishima.

Inilah hal peribadi yang akhirnya menuntut kerajaan Jepun merangka kehidupan anti bunuh diri. Lebih ekstrim kini, pengalaman peribadi wanita Korea menyebabkan mereka tidak mahu berkahwin dan melahirkan sebagai protes terhadap masyarakat patriarki. Ini sekali lagi menuntut agar pengalaman peribadi wanita ini dianggap penting dan politikal. Begitu banyak sekali peristiwa peribadi yang menuntut perbincangan di meja parlimen kalau mahu saya senaraikan di sini.

Senarai pemenang Hadiah Penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor 2023 bagi kategori cerpen.

Secara peribadi, saya senang sekali melihat kemunculan pengarang-pengarang perempuan dalam ruang penganugerahan Hadiah Sastera Selangor kali ini. Bukannya tak pernah ada, tetapi, dalam sedekad penganugerahan Hadiah Sastera Selangor, ruang ini selalu didominasi oleh lelaki. Malah sehingga tahun ke-10 ini, masih lelaki mengungguli pentas juara. Munculnya nama-nama seperti Aliaa Alina dan Neesa Jamal (dan janggal jika disebutkan di sini: tentunya saya, Farahin W.) dalam pentas hadiah sastera kategori cerpen ini, saya anggap menjadi pemecah bias gender dalam karya sastera. Dalam erti kata lain, karya-karya perempuan menyepak terajang karya yang telah menjadi standard.

Lebih mengasyikkan lagi, pengarang-pengarang perempuan semakin menyerlah dalam mempertaruhkan karya yang kekal bersifat intim dan domestik. Anggun dan radikal sekali bukan? 

Brunette oleh Neesa Jamal hadir dengan latar perkahwinan dalam suasana yang urban sekali. Kekal dengan isu intim dan domestik, cerpen ini bergulat dengan permainan emosi si isteri yang berada dalam ikatan longgar suami isteri.

Neesa memulakan cerpen ini dengan hal sepele semisal perbualan ringkas tentang keputusannya hendak mewarnakan rambut, yang kemudiannya ditentang oleh suami yang menganggap ia satu pembaziran sementelah warna Brunette ialah warna yang hampir dengan warna rambutnya yang sudah asli keperang-perangan. Kalau kita mahu berideolog-ideolog, ada dua hal ketara yang dibawakan Neesa di sini.

Pertama, kehendak peribadi seorang perempuan terhadap tubuhnya sendiri. Kedua, kuasa suami dalam menentukan keputusan dalam hidup isteri. Boleh jadi ia sebuah perlambangan, boleh jadi ia hanya sebuah babak menggambarkan hubungan suami isteri yang sering bertanya-jawab tentang urusan peribadi sementelah selepas bernikah, suamilah teman akrab si isteri dan sebaliknya. Namun, selepas membaca keseluruhan cerpen ini, saya menganggap babak ini memberi petunjuk kepada seluruh warna cerpen sekali gus menjadikan ia sebuah gambaran sebuah hubungan yang berat sebelah.

Brunette membawakan watak suami bangsat yang penting diri. Sedangkan hubungan suami isteri adalah tentang dua individu yang berbeza. Kalau diperhatikan hubungan suami-isteri yang dibaluti patriarki, memang beginilah ceritanya.

Cerpen Brunette termuat dalam zine Tukang Puisi Isu 13: Malam Bernaik Saksi.

Neesa dengan sinis menggantikan suami kepada seekor lalat yang mengganggu “saya” yang sedang memasak. Ia mengacau dan terus-menerus mengganggu “saya” hingga tunggang-langganglah kehidupan “saya”. “Suami lalat” ini akhirnya menjadi jawapan kepada “saya” untuk berpisah.

Kelihatan sederhana, domestik dan ringkas sekali. Tapi, pada pendapat saya, Neesa memang bijak menggunakan peristiwa sederhana ini bagi mengkritik hubungan suami-isteri yang sesat sebegini. Satu hal yang menjadi nilai tambah kepada karya Neesa ialah kemampuannya untuk menjadikan ia sebuah karya yang boleh dibaca selapis namun mampu juga dibaca berlapis-lapis. Sebuah karya yang tidak pun menyumpah seranah lelaki, namun, tetap memberikan tendangan kepada patriarki. Sambil berkongsi resepi sambal tumis pula!

Seorang lagi pengarang yang turut berjudi dengan karya yang domestik ialah Aliaa Alina dengan Ibu Morfosis. Sejujurnya, pertama kali saya membaca karya ini, saya tidak sepenuhnya teruja atau merasakan ia sebuah karya yang bagus.

Karya Ibu Morfosis, sama seperti tajuknya, adalah tentang ibu yang bertukar-tukar bentuk dan rupa. Duduk di atas garis magis realis, karya ini konsisten dengan peristiwa yang sama dari awal sehingga ke akhir cerita. Ibu Morfosis dikarang dengan watak ibu yang berubah menjadi batu, kemudian menjadi babi, menjadi anjing kurap, menjadi burung, menjadi selipar hingga akhirnya menjadi pokok.

Persoalannya, mengapakah ibu menjadi segala binatang dan objek yang tidak bernilai? Di sini letaknya permainan emosi perempuan dalam cerpen Ibu Morfosis. Kesengsaraan ibu dalam perkahwinan (sekali lagi, hubungan suami-isteri), menjadikan ibu berada dalam ruang kecelaruan yang paling rendah dalam hidup sehingga bertukar menjadi segala macam haiwan dan barangan tak bernilai.

Lakaran oleh Fahmi Mustaffa untuk cerpen Ibu Morfosis. Sumber: Media Selangor/Selangorkini

Ibu Morfosis membawakan watak ibu yang sengsara dengan ketiadaan suami berguna dalam hidup. Sekali lagi, watak suami tidak disumpah seranah melainkan digambarkan dengan perlakuan yang sekali lagi – bangsat.

Ibu terus menerus menyalahkan diri sendiri, menyumpah diri menjadi tak berguna lagi. Hakikatnya, beginilah orang perempuan. Dalam segala stereotaip dan ejekan misogini: perempuan selalu betul, perempuan tak akan mengalah, perempuan sebenarnya selalu menyalahkan diri sendiri. Ibu-ibu memikul beban kesalahan yang mungkin bukan kerana ulahnya di atas bahu sendiri. Diam-diam mereka menyimpan dendam kepada diri.

Saya fikir, Aliaa Alina sedang merakam seseorang. Boleh jadi ibunya sendiri atau sesiapa sahaja yang Aliaa kenali. Cerpen ini dileraikan dengan ibu yang sudah tua dan tidak lagi berubah. Apakah ibu sudah berdamai? Atau ibu sebenarnya sudah pasrah dengan garis kehidupan yang bengkok? Sebuah cerpen yang berlegar dengan tema domestik namun berjaya mencabar karya-karya yang lain. Saya berharap Aliaa lebih tekun memperkemas emosi dalam cerpennya. Jujurnya, saya gagal melihat warna dalam karya Aliaa. “Saya” cuma merakam ibu tanpa merakam dirinya sendiri. Apakah yang saya rasakan ketika ibu menjadi babi? 

Kedua-dua karya ini merakamkan pengalaman peribadi wanita sebagai isteri dan ibu. 

Brunette merenung kehidupan rumah tangga yang retak menanti belah manakala Ibu Morfosis memperlihatkan kehidupan seorang ibu dengan anak sindrom down serta suami yang tidak memainkan peranan sebagai pasangan.

Kehidupan rumah tangga yang mana suami sepenuhnya berkuasa ke atas kehidupan berpasangan sering kali dianggap sebagai sebuah kehidupan berkeluarga yang ideal dari kaca mata masyarakat konservatif. Malahan, isteri diajar untuk tidak berkata “tidak” dalam segala macam hal selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak.

Antara buku cadangan penulis untuk memahami lanjut mengenai kesetaraan gender, termasuk dalam hal domestik.

Misalnya, melalui Brunette, suaminya gemarkan kentang dalam masakan, tidak makan makanan laut untuk berjimat meskipun si isteri gemarkannya dan berkeras agar isterinya memasak mengikut acuan ibunya. Ini sebetulnya tidak bercanggah dengan syarak bukan? Namun, di manakah hak seorang isteri sebagai manusia dan individu berkehendak? Yang berbeza sifat malah berbeza keinginannya? Dalam ruang domestik, ini sebenarnya peribadi kan? Meskipun begitu, perhatikan bagaimana masyarakat malah di meja-meja penceramah menekankan kalau kata suamilah yang paling aula’ dalam segala hal. 

Begitu juga dengan Ibu Morfosis yang memerhatikan kehidupan renta seorang ibu berhadapan dengan anak berkeperluan khas. Kanak-kanak sindrom down ini memerlukan perhatian, pengalaman serta kepakaran dalam mengurus mereka. Apa lagi, kanak-kanak ini berbeza-beza pula spektrumnya dengan yang lain. Ada yang boleh mengurus diri, boleh hidup dan belajar dengan baik. Ada pula yang serba serbi mesti ditolong.

Kecelaruan emosi, dendam pada diri sendiri ini adalah hal peribadi seorang wanita yang mengurus keluarga sebagaimana dikarang oleh Aliaa Alina.

Dalam ruang yang lebih besar, di Malaysia, sebenarnya pendedahan untuk mendapatkan sokongan dalam mengurus kanak-kanak sebegini adalah masih rendah apa lagi kepada ibu bapa berpendapatan sederhana dan rendah. Tidak cukup sekadar menyatakan bahawa anak-anak ini anak syurga dan hanya hamba-Nya yang kuat sahaja diduga sebegitu, namun, pemberdayaan dan sokongan mesti terus-menerus dilakukan. Pengalaman peribadi dalam Ibu Morfosis ini justeru memerlukan penglibatan politikal!

Saya tak menafikan corak dan gaya kedua-dua cerpen ini menunjukkan kecenderungan yang ketara pada cita rasa juri kali ini. Yang satu menjadi lalat, yang satu lagi menjadi segala babi dan anjing. Namun, satu hal yang membuatkan kedua-dua cerpen ini seksi ialah tema domestik yang ketara dan mesej anti patriarki yang sama. Dan dengan tema ini, mereka menyusup masuk ke ruang perdana yang sudah lama bias gender.

Satu hal lagi, dengan anggun, Neesa dan Aliaa tidak gelojoh mahu bermain dengan tema “universal” – kerana hei personal is political!

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.