• #mainsurat
  • Posts
  • Monologue In Monochrome: Sebuah Alat Bantu

Monologue In Monochrome: Sebuah Alat Bantu

Waktu belajar dulu, teater akan digantikan dengan drama pentas dan kalau sebut skrip drama pentas, selalu sangat kita dengar Shakespeare. Kemudian, Johan Jaafar dan Hatta Azad Khan akan disebut. Sesekali, Noordin Hassan akan dipetik itupun sebab nak beritahu gaya kepengarangannya yang lain, yang membawa semangat teater fitrah.

Hubungan saya dengan drama pentas pernah rapat. Pernah beberapa tahun, seronok tangan saya menekan-nekan huruf menulis skrip, bukan menulis sajak. Selepas lama, ia mula jauh semula sebab soalan ini asyiklah muncul di Microsoft Word ketika menulis: Apa cerita yang hang nak tulis sebenarnya ni?

Bila perkara ini terjadi, saya akan patah balik kepada akarnya. Membaca-tonton semula tulisan-tulisan lama untuk fahamkan macam mana sebuah cerita ditulis. Antaranya dramatis paling orang kenal, Shakespeare. Cuma, skrip-skripnya sedikit susah untuk dihadam dengan hati paling tenang. Selain panjang dan bertele-tele, bahasanya sedikit renyah kalau kita sedar bahasanya adalah bahasa pra-moden Inggeris.

Jadi, untuk pastikan kejelasan fahaman saya di tahap yang elok, saya akan cari naskah-naskahnya dalam bahasa Melayu. Dan terbaru, kalau malas sangat, akanlah Monologue in Monochrome (MiM) ditonton via Youtube.

MiM serba putihitam, sesuai mengekor temanya yang monokrom. Ia adalah video persembahan monolog daripada skrip-skrip Shakespeare yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh pelakon-pelakon teater yang sedia ada.

Sengaja satu hari saya pura-pura rajin dan godek-godek medsos Patblas Creative selaku penerbit siri ini. Tatal punya tatal, terjumpa dua benda yang menyebabkan tanda soal tersangkut di celah-celah afro saya.

i) Sebuah poster yang tertulis “Talent 100%, Script 100%, Rehearsal 200%, Archive 100%” dan,
ii) Sebab dan alasan panjang tentang konsep asas MiM ini iaitu:

“Why Shakespeare? Because the world reads Shakespeare. Therefore, this project aims to provide exposure and experience to the audience by presenting the great literary works of the world through monologue performances.

The concept of monochrome was chosen because it can be interpreted with the concept of shadows. A monologue represents the intrapersonal communication of a character with oneself. The black and white signifies solitude, duality, and bold.”

Saya tak boleh duduk diam terutama disebabkan soalan kedua. Risau paling besar adalah “Habis, kalau semua skrip Shakespeare dah dipersembahkan nanti, siri ini akan berhenti ke?”

Sebab geram, saya hubungi Syafiq Syazim, orang kuat Patblas Creative, untuk jawab soalan ni.

AA:
Saya tahu salah satu sebab kenapa Shakespeare dipilih untuk diketengahkan dalam siri ini adalah sebab semua orang baca dia. Tapi, kalau semua orang dah baca Shakespeare, kenapa tak ketengahkan orang lain?

Syafiq Syazim:
MIM ini adalah satu projek jangka masa panjang. Objektifnya ada 3. Yang pertama, untuk mengarkibkan seni lakon dalam bentuk digital agar mudah untuk menjadi rujukan dan simpanan pelakon itu sendiri bagi kegunaan masa hadapan. Yang kedua, untuk menjadikan MIM ini sebagai platform rujukan kepada pengarah dan penerbit yang ingin mencari pelakon baharu yang sesuai dengan watak yang diinginkan, serta menjadi rujukan kepada pelajar seni persembahan. Dan yang ketiga, untuk memperkayakan lagi kerja-kerja terjemahan drama dunia ke dalam Bahasa Melayu serta usahasama kolaborasi antara penulis tempatan, penterjemah dengan penggiat teater. 

Untuk siri pertama ini, saya mulakan dengan Shakespeare kerana karya terjemahan ke dalam Bahasa Melayu begitu banyak. Namun, ingin juga saya mencari naskhah Shakespeare yang jarang/belum diterjemah ke dalam Bahasa Melayu. Akan datang saya telah mempersiapkan beberapa siri penulis dunia seperti Siri Greek; Aristophanes, Sophocles, Aeschylus dan Euripides, Siri Nusantara termasuk dari negara Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Siri Asia seperti Jepun, India, China, negara Timur Tengah, Siri Afrika dan tokoh tokoh khas teater dunia seperti Henrik Ibsen, Bertolt Brecth, Samuel Backett, Harold Pinter, George Bernard Shaw. 

Seperti saya katakan tadi, ini adalah projek jangka masa panjang yang mana ianya memerlukan sokongan dari penulis, penterjemah dan penggiat teater itu sendiri untuk menjayakan projek ini.

AA:
Boleh explain sikit apa yang dimaksudkan dengan "Talent - 100%, Script 100%, Rehearsal - 200%, Archive - 100%"?

Syafiq Syazim:
Saya sengaja buat masa nak promosi MIM buat pertama kali. Ianya tidaklah mempunyai maksud tersirat, cuma saya mengambil contoh inspirasi rekaan grafik isi kandungan (ingredient) bagi sesuatu produk makanan. Saya kira MIM ini satu produk seperti makanan yang harus dikonsumsi/dinikmati oleh peminat seni persembahan dan sastera yang sentiasa lapar dengan contoh lakonan yang bermutu. Saya rasalah. 

Sengaja saya letak latihan 200% kerana saya percaya dengan latihan yang berulang kali serta melebihi apa yang kita rasa dah cukup itu akan menghasilkan keputusan yang lebih bermutu. Lakonan bukan sahaja baca skrip, fahamkan dalam masa yang singkat kemudian terus berlakon. Ianya menuntut proses latihan yang panjang serta disulami dengan pengamatan sosial dan pengalaman hidup yang cukup. 

AA:
⁠Kalau sebuah persembahan teater perlu ditonton, kenapa MiM tetap keluar di Spotify?

Syafiq Syazim:
MiM ini adalah projek rakaman video yang dimuat naik ke dalam platform media sosial seperti Youtube, TikTok dan Instagram. Masa awal-awal nak bikin MiM ni memang saya pentingkan kualiti audio yang baik untuk didengari selain dari kualiti video yang diinginkan. Apabila melihat hasil akhir video video tersebut, memang ianya menepati ciri-ciri yang saya inginkan. Lagi pula fenomena audio siar saya lihat sejak akhir-akhir ini makin mendapat tempat berbanding dulu. 

Sebagai pemilik podcast yang sudah lama tidak aktif, saya kira bagus juga saya arkibkan semua audio monolog ini ke dalam ruang podcast. Sekurang-kurangnya ada orang boleh dengar. Ini kerana pelajar-pelajar seni persembahan khususnya budak teater amat mendambakan contoh gaya lakonan yang baik.

Zaman saya sebagai pelajar agak kurang pendedahan/rujukan untuk saya betul-betul memahami gaya lakonan yang bermutu. Ketika itu, hanya bersandarkan pada contoh lakonan filem semata-mata. Medium lakonan filem dan pentas mempunyai ciri-ciri yang sedikit berbeza. Saya agak kurang setuju jika pelakon teater itu menggunakan contoh lakonan filem semata-mata untuk diaplikasikan ke dalam bentuk pentas.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.