- #mainsurat
- Posts
- 15 Tahun Berpetualang Kata
15 Tahun Berpetualang Kata
Mohd Jayzuan berkongsi pengalamannya menulis buku pertama sampailah yang paling baru!

oleh Mohd Jayzuan
22 Mei 2010, lima belas tahun silam, saya isytiharkan sebagai tarikh budak Simpang Pulai ini digelar penulis diterbitkan.
Petang itu, di tepi jalan berhabuk Subang Parade, saya membelek-pegang naskah fizikal buku pertama, ’28 Hari: Jurnal Rock n’ Roll’, sebuah travelog. Penerbitnya, Sufian Abas yang menjalankan rumah penerbitan kultus; Sang Freud Press telah menyampaikan buku itu ke tangan yang seterusnya mengubah perjalanan berseni-seni saya.
Kilas-imbau semula ke waktu kecil.
Sedari berhingus meleleh, saya memang suka membaca, ada hari orang tua akan bawa kami adik-beradik ke satu kedai buku serta majalah di kawasan Ipoh Garden dan mereka akan biar kami memilih bahan bacaan yang mahu dimiliki. Sudah tentu bermula dengan komik hinggalah makin lama ke bacaan yang lebih serius.
Seiring dengan minat terhadap bolasepak, melukis dan muzik, saya juga mula menulis semasa usia sangat muda, menulis sebab kerana perlu menulis dan bukan sebab nak jadi penulis.
Ada diari yang saya catatkan setiap aktiviti harian dalam peperangan saya menuju keremajaan. Melalui menulis saya temui khayal, saya boleh jadi apa-apa yang diinginkan.

Kulit buku pertama Mohd Jayzuan, 28 Hari: Jurnal Rock n’ Roll.
Semakin tumbuh sebagai remaja matang, penerokaan saya menjadi lebih radikal, mula hauskan buku-buku menongkah arus bertepatan dengan citarasa muzik saya ketika itu yang telah dijajah nada-nada kontra-budaya daripada dunia underground. Saya lapar buku yang liar.
Tak pernah saya fikir pasal sastera. Malah saya tak pernah peduli adakah bahan bacaan dibaca itu sastera atau tidak, yang paling utama adalah boleh dibaca dan patut memicu sesuatu dalam benak saya yang sedang bergelumang dengan segala macam kekeliruan dunia.
Saya mula jadi pelanggan kedai buku terpakai, Novel Hut. Di situ saya berjumpa Albert Camus, Henry Miller, Ernest Hemingway dan mangkuk hayun-mangkuk hayun lain yang telah bikin kepala hotak saya akil baligh.
Menulis adalah rutin dan tetap tidak pernah berhenti ketika itu, dalam masa sama tak pernah saya terfikir akan mempunyai buku sendiri, walaupun sejak belasan tahun lagi saya telah bikin fanzine DIY grunge-punk. Paling saya ingat pun kalau punya keinginan untuk menjadi penulis, cita-cita menurut otak remaja saya ketika itu adalah menulis di ruangan macam ‘Blues Untuk Aku’ dalam majalah Ujang sudah cukup memadai. Pernah saya termenung mengelamun cari jalan macamana saya nak menulis di Ujang atau Gila-Gila.
Kemudian terpanculnya dunia blog yang maha indah, di sinilah saya amat yakin bertahun-tahun kemudiannya telah melahirkan generasi penulis sastera alternatif yang meletup di tahun-tahun 2009-2013.
Suasana bloguniverse cukup jadi dengan ramai penulis-penulis yang akan muatnaik cerita, puisi, bebelan dan apa saja yang rawak hampir setiap hari. Paling menginzalkan daripada semua ini adalah kebanyakannya hanya mahu menulis dan tak peduli tentang sastera. Tak terfikir tentang dihakimi samada tulisan itu cerdik atau bebal. Benar-benar meraikan kebebasan melampiaskan ghairah menulis.
Maka terberanaknya tulisan-tulisan yang lebih tak mengikut undang-undang.
Perlu difahami, sekitar lingkungan saya membesar dan zaman blog sedang menggila, Dewan Bahasa dan Pustaka memang bukan satu benda yang kool. Apa saja yang skema, apa jua yang nampak macam ‘rambut-gel-sikat-tepi’ akan ditolak mentah-mentah.
Sosok-sosok kool zaman itu dalam dunia kata-kata tempatan menurut saya ada beberapa antaranya--Rahmat Haron, yang pertama kali saya tonton bacaan puisinya di No Black Tie di sebuah gig anjuran Joe Kidd, semasa berusia awal 20an lalu rahang saya langsung terbuka luas mencecah lantai kerana terlampau takjub dan terkezut dengan persembahannya. Rahmat mengubah pandangan saya terhadap puisi Melayu yang rupanya boleh jadi sangat punk, radikal, tegang dan luar kawalan.
Ahmad Kamal Abu Bakar yang saya kenali dengan panggilan Mike atau Chemai pula telah mentakrifkan kool bagaimana tulisan-tulisan cerita pendek berpotensi dikembangkan sebagai novel boleh jadi sangat mengikat dan mengiurkan. Mike menulis dalam bahasa Melayu penuh seksi dan dia mengarapnya dengan sangat bergaya. Kalau Mike masih aktif sekarang, mungkin novelnya akan membuka banyak hal-hal baru dalam dunia persuratan Malaysia.
Malangnya, saya sendiri sudah bertahun tak terserempak dengan dia. Begitu juga Rahmat yang kali akhir saya bertemu bertahun-tahun lalu ketika dia ke Ipoh.
Sebelum Sufian Abas muncul dalam hidup, Rahmat dan Mike adalah penulis generasi saya (walaupun umur mereka jauh lebih senior) yang cerdas dan bikin saya lebih semangat untuk menulis terutama dalam bahasa lidah sendiri, bukan sebab nak jadi penulis atau geragok mahu ada buku, tapi memang semata-mata dek stim yang dirasa melalui menulis, menaip dan berfoya-foya dengan huruf.
Satu detik, Razaisyam Rashid yang masih beruniversiti sering membawa saya ke acara-acara berkait rapat dengan dunia sastera gelombang baru--Frinjan dan Maskara antara tempat yang sering dia heret saya untuk hadir.
Oleh kerana saya memang sudah agak dikenali melalui muzik disebabkan bermain band, jadi taklah sukar untuk saya mula bersosial dengan orang-orang di lapangan baru yang amat asing ini, mereka buatkan saya sangat teruja kerana akhirnya menemui kelompok-kelompok penulis underground dan penyajak niche yang punya hampir sama perspektif dengan saya tentang menulis.

Sufian Abas (kiri) bersama Mohd Jayzuan dalam sebuah pertemuan.
Di salah satu acara inilah, Sufian Abas menawarkan pada saya untuk menulis buku.
BUKU PERTAMA DAN MASA DEPAN YANG MENENDANG BONTOT
Semasa menyiapkan buku tersebut, saya yang tak punyai latar belajar menulis secara rasmi telah melayan menulis dengan penuh ghairah stim leleh. Ia adalah tulisan pertama saya yang paling panjang dan perdana kalinya dalam bentuk buku. Maka saya layan layan layan dan mencapai langit ke-27.
Saya sudah sangat tahu mahukan gaya menulis yang bagaimana--tidak dalam tidak berat, kerana mahu ia boleh dihadam bukan hanya ulat buku atau minah-mat sastera saja. Yang paling penting ianya kena berlenggok yang sangat dekat dengan suara saya.
Masih saya ingat Sufian telah menyunting buku itu dan hasilnya berada di aras sangat dahsyat sekali, cuma masalahnya, ia tak lagi mempunyai suara dan roh saya, suntingan itu bagus kerana berjaya menaiktarafkan penulisan saya, tetapi kenaifan dalam tulisan saya sebagai penulis baru telah tertelan oleh kecerdasan Sufian.
Kalau saya fikir tentang sastera, saya akan kekal dengan suntingan Sufian. Tetapi kerana saya tak peduli, maka saya beritahu Sufian yang saya mahukan ia seasli yang mungkin dengan suara dan gaya saya yang masih merangkak terbongok-bongok itu.
Setelah lima belas tahun, jika dibaca semula, memang dapat dikesan banyak hal yang mampu dibaiki untuk menjadikannya lebih lancar, dalam dan tinggi--tapi saya lega kerana telah ambil keputusan kekal dengan ‘raw’ yang saya punya, secara tak langsung ia kelihatan lebih tulus dengan segala kekudusan yang diketik-tenun semasa itu.
Buku pertama itu nak dijadikan cerita, laris bagai nak krezi hingga masuk ke carta tempat pertama hinggakan Ubud Writers & Readers Festival 2010 menjemput untuk menjadi salah seorang penulis sesi forum dan membaca.
Itulah kali pertama saya ke luar negara memakai topi penulis dan ke festival yang tiada melodi-melodi hingar. Biasanya saya ke luar negara berpanggung main muzik.
Sejak daripada itu, kehidupan berubah, saya mulai menjana sen dan ragok melalui buku-buku dan juga penulisan. Pendapatan melalui penulisan mulai mengambil alih aliran wang hasil bermuzik.
Hidup saya mula perasan macam Bukowski selepas terobosan.
ANARKI DI KUALA LUMPUR DIHARAMKAN DAN DISERANG
Sufian kemudian terbitkan buku seterus saya tahun berikutnya, ‘Anarki di Kuala Lumpur’ sebuah novella tentang seks, dadah dan rock n’ roll.
Sekali lagi buku saya berjaya laris dijual macam pisang goreng panas, malah di hari pelancarannya di Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2011, ia telah terjual lebih banyak berbanding ’28 Hari’ tahun sebelumnya dan punyalah tak masuk akal selepas pelancaran, sesi tandatangan berlangsung sekitar dua jam kerana orang-orang yang tak surut beratur meminta tandatangan dan mahu bersua-sapa.

Mohd Jayzuan bersama bandnya, Free Love, akan buat kemunculan semula Jun ini.
Oleh kerana datang daripada lapangan muzik yang lebih glamour, maka saya tak alami kejutan tetapi benar-benar rasa dihargai di landasan hidup baru yang sedang diteroka itu.
Mat-mat sastera juga mula menyerang dengan kritikan. Ramai nama-nama yang tak pernah saya dengar kewujudannya mula saya tahu disebabkan perhatian diberi itu. Semua itu tak lama, saya tak pernah ambil serius terhadap mereka.
Lagipun, sehinggalah ke ‘Anarki’ terbit saya tetap tak rasa diri sebagai penulis sebenar apalagi sebagai seorang mamat sastera. Untuk lebih jelas, hingga hari inipun saya tak pernah rasa diri sangat sastera kecuali semasa melepak di depan kubur James Joyce di Zurich banyak banyak banyak tahun dulu dan menulis, ‘sastera is nothing, terajang terpelanting…’.
Falsafah saya sejak dulu tentang menulis sangat mudah macam A, B, C--sastera atau tidak bukan keutamaan. Menulis sebab syok dan bukan sebab sastera. Saya tiada tanggungjawab terhadap sesiapa atau apa-apa dalam menulis.
Beberapa tahun kemudian, ‘Anarki’ telah diharamkan Kementerian Dalam Negeri dan beritanya tersebar hingga masuk surat khabar.
Salah seorang teman, penerbit buku, menelefon untuk beritahu tentang perkara itu dan meminta pendapat saya. Dia yang kecewa dengan pengharaman itu langsung diam apabila saya beritahu yang saya tak peduli.
Kedua-dua buku itu kali pertama diterbitkan di bawah Sang Freud Press yang bakal diingati sebagai penerbit yang telah memberi saya kerjaya sebagai penulis diterbitkan, membuka satu lebuhraya baru yang tak pernah saya fikir bakal berlangsung.
Buku-buku saya yang seterusnya pula diterbitkan beberapa lagi penerbit lain seperti Rabak-Lit, Lejen Press, Laras 99 dan yang terkini di tahun 2025 ini, DuBook Press.
Walaupun agak banyak rumah penerbitan, namun rumah di atas bukit hasil royalti buku masih belum kunjung tiba.

Kulit buku terbaru Mohd Jayzuan, Menten Selekes, terbitan Dubook Press.
MENTEN SELEKES
Awal 2024, saya yang jarang aktif di sosial media mulai bergiat dengan muatnaik status-status di Facebook yang kebanyakkannya ditulis melalui telefon bimbit. Kebanyakannya adalah tentang sub budaya underground dan muzik alternatif.
Ianya tulisan-tulisan santai yang ditulis secara ‘sekali duduk’ secara rawak dan mengikut mood. Tak disangka coretan-coretan cakar itu mendapat sambutan dan ada yang viral.
Satu hari Mutalib Uthman hubungi saya dan menawarkan untuk menjadikan koleksi nota-nota tersebut sebagai buku. Saya yang pada mulanya tak berminat memberitahu padanya yang semua itu hanya ditulis melalui telefon dan bukan tulisan bersungguh yang disunting. Dia tak peduli dan minta saya kumpulkan 50 tulisan.
Pada mulanya saya malas nak layan.
Sehingga ada kejadian yang memicu apabila beberapa orang muda yang jumpa saya di luar menyatakan budi kasih kerana saya berkongsi cerita-cerita tersebut. Ditambah pula di satu makan malam bersama salah seorang mentor saya, yang menyarankan agar saya bersetuju dan melihat buku itu sebagai salah satu pengarkiban sejarah muzik tanah ayer.
Saya, dan hal-hal pengarkiban memang cair. Ceh.
Kini setelah lima belas tahun berlalu, selepas sepuluh buah buku utama pelbagai genre daripada travelog, novella, puisi, memoir dan catatan, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 ini saya bakal muncul dengan sebuah lagi naskah yang saya percaya akan membuka pengalaman-pengalaman baru lagi buat saya dan orang-orang yang membaca.
Judulnya, ‘Menten Selekes’.
Setelah lima belas tahun, saya masih tak hirau adakah ia sastera atau tidak, paling utama-penting-mustahak adalah saya dapat melampias nafsu dengan kekal menulis dan pembaca dapat membaca, menyumpah atau buang.
Lima belas tahun lemas dalam teks, bergelumang dengan awek-awek sastera, diherdik kutu-kutu konon-cerdik-pandai buku, dirai oleh warga kebanyakan dan bermacam lagi benda yang menambah rencah.
Menulis masih salah satu laluan buat mengalir gundah.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply