- #mainsurat
- Posts
- Mohd Azmen Kekal Menulis Seperti Dulu?
Mohd Azmen Kekal Menulis Seperti Dulu?
oleh Thurlip
Siapa saja yang tak kenal Mohd Azmen? Malah, editor sendiri ada buku kegemaran daripada penulis berkaca mata ini. Menghidupkan watak April yang gemar berjoging, novella Polaroid terbitan Moka-Mocha Ink ini adalah cerita yang tak jemu diulang baca setiap kali bulan keempat setiap tahun muncul.
Menariknya, ramai pembaca lebih kenal buku lain, Wiski Pop, yang turut ditulis oleh barista Reda ini. Editor membacanya sekitar 2021 dan asyik terganggu dengan kenyataan-kenyataan “Ini adalah masterpiece” oleh pembaca lain.
Di hati editor, sekurang-kurangnya, tiada apa yang istimewa dalam buku itu. Namun, taste lain-lain kan, janganlah kita paksa-paksa.
Sejak 2023, Azmen mula aktif mencetak tulisan-tulisannya dalam bentuk zine. Sama ada kumpulan cerita, atau cerita panjang yang pendek, atau cerita pendek. Antaranya Hingar Sunyi Eterniti.
Cover zine “Hingar Sunyi Eterniti” oleh Mohd Azmen.
Cuba untuk tidak dibayangi dengan ke-hmmm-an membaca Wiski Pop, jadi editor mengajak pembaca lain, Thurlip, untuk menulis tentang cerita panjang yang pendek ini terlebih dulu.
—
Sejak kebelakangan ini, aku mulai berjinak kembali untuk menelaah buku atau novelet ringkas hasil tulisan rakan-rakan yang aku kenal dan pura-pura kenal atas dasar nama pena setelah sekian lama aku hanya menjadi pembeli buku tegar, atas hasil pertolongan personal shopper yang digemari.
Mohd Azmen langsung tidak terlalu asing bagi penggemar buku. Aku sendiri pernah membaca bukunya yang sering disebut ramai, Wiski Pop. Aku suka dengan gaya penulisannya yang bersahaja dan cukup santai.
Oleh kerana sudah biasa dengan tulisan Azmen, membaca sebuah novelet baru hasil tangannya yang berjudul “Hingar Sunyi Eterniti” tidaklah mengambil waktu yang lama.
Permulaannya sedikit hambar.
Si Penulis menceritakan perjalanannya kembali ke kampung halaman untuk bertemu W, teman baiknya. Aku dapat gambarkan yang mereka tinggal di suatu daerah jauh dari pembangunan dan apabila malam menjelma, daerah itu menjadi sunyi seperti pekan mati.
Perjalanan Penulis untuk pulang ke kampung juga memakan waktu yang lama sampaikan dia terserempak dan mula berbual dengan seorang gadis. Sebenarnya, gadis itu kehilangan punca arah hidup kerana baru sahaja ditinggalkan kekasih. Setelah bercerita panjang, gadis yang diberi nama Eun, akhirnya menjadi teman rapat Si Penulis.
Begitulah gaya tulisan Mohd Azmen. Kita tak perlu fikirkan plot twist atau benda-benda tidak dijangka sebab ia adalah rakaman hidup yang mendatar.
Setelah W tiada, Penulis mengambil tugas untuk membantu Eun menguruskan hal-hal kesihatannya, kerana Eun sedang berbadan dua. Malangnya, gadis itu keguguran dan impian Penulis untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang bapa, terkubur begitu sahaja.
Sedih yang Eun dan Si Penulis rasai turut dapat aku rasai. Ia detik kehilangan yang sama pernah aku lalui, hanya rindu yang tiada penghujung dan tinggal doa sebagai penghubung.
Eun, seorang gadis yang sekian lama memisahkan diri daripada darah dagingnya, kembali pulang ke pangkuan keluarga atas pujukan Penulis.
–
Mohd Azmen (bertopi) bersama Mucky bertugas di Reda, Abstrax.
Sementara ada penulis yang gemar untuk berubah-ubah gaya tulisannya, Azmen kekal menulis seperti gayanya ketika menulis Wiski Pop pada 2015 dulu. Hampir 10 tahun menulis seperti ini, editor anggap ia sebuah stail dan ciri kepengarangan yang penulis ini mahu kekalkan.
Ada pembaca mungkin angkap ia bertele-tele, tanpa putaran plot yang menggugat. Tapi, kalau semua cerita diterbalik-bolakkan, siapa yang nak merakam hidup kita yang mendatar setiap hari ni kan?
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply