- #mainsurat
- Posts
- KitaJenin: Kita dan Fasa Kehidupan Yang Sama
KitaJenin: Kita dan Fasa Kehidupan Yang Sama
Acara puisi dan muzik yang terlahir dari seorang penggemar seni!

oleh A. Naim
Aku berkesempatan menghadiri ke sebuah acara yang dianjurkan oleh Paih Jenin @ JeninBercerita di Petai Belalang, Kampung Attap 22 Jun 2025 lepas.
Acara ni sebenarnya lebih kepada Paih ingin berkongsi bersama audiens untuk sama-sama merasai pengalaman fasa-fasa kehidupan dia. Belah petang ada puisi & belah malam ada muzik.
PUISI: TIGA GAYA LAFAZ
Biarpun dah selalu, keterujaan aku untuk menonton ketiga-tiga pemuisi petang tu tetap ada disebabkan kebiasaannya masing-masing mesti akan ada pembawakan gaya persembahan terbaru.

A. Leman atau Adam Leman sering melafaz sajaknya dengan iringan muzik. Foto oleh A. Naim.
Adam Leman, nama yang sedang meningkat baik dalam scene puisi, tidak terlepas dengan gaya pembacaannya yang sentiasa unik & romantis meskipun puisi itu sebenarnya berkisarkan tentang sahabat baik dia yang sudah meninggal dunia. Bercerita tentang arwah, Kampung Attap jadi hiba. Diselitkan dengan nyanyian lagu Mangu (Fourtwnty, Charita Utami) & Pilu Membiru (Kunto Aji) setiap puisi yang dibacanya diiringi petikan gitar daripada Jezz (Rainbowsmile).

Petak Daud penyajak keramat. Foto oleh A. Naim.
Petak Daud sentiasa mengujakan aku. Kali ni perwatakan dia yang lantang membuatkan mood berbeza seperti kau sedang mendengar seseorang mengajak untuk memberontak dengan puisinya. Petak tidak membawa gergaji seperti acara sebelumnya. Dia bawa bungkusan nasi kandar tanpa ayam goreng seperti simbolik kepada sesuatu hal. Bayangkan, kau tengah lapar waktu tu, Petak boleh bawa nasi kandar & makan depan audiens padahal dia tengah baca puisi tau! Geram je.

Cahaya Jais mengenang kotak kasut yang dipenuhi memorinya. Foto oleh A. Naim.
Cahaya Jais pula, berdiri di depan audiens dengan memegang kotak kasut yang katanya sudah 10 tahun disimpan dalam almari. Kongsinya kepada audiens, dalam kotak tersebut terdapat banyak barang-barang lama penuh kenangan. Ada mixtape, ada gambar-gambar bersama rakannya & beberapa helai kertas. Cahaya ajak audiens waktu tu untuk kenang semula semua memori dengan barang-barang tersebut. Paling tersentuh apabila dia berkongsi pasal sepucuk surat tulisan tangan daripada kawan baiknya yang sudah tiada. Lagi-lagi bila Cahaya being Cahaya dengan penyampaian dia yang sentiasa ada rasa & emosi.
(Al-Fatihah buat kawan baik Adam Leman & juga Cahaya Jais. Moga mereka bersama orang-orang yang beriman)
MUZIK: PLAYLIST SECARA LANGSUNG
Lineup yang dihimpunkan pada malam KITAJENIN tu pelbagai genre dibawa seperti Paih seakan cuba berkongsi playlist kegemaran dia bersama audiens. Ada pop-punk, alt-rock, country folk & folk-pop.
Smesta menjadi pembuka acara pada malam tu. Band yang sedang meningkat naik dengan membawa genre pop-punk ini sudah ada beberapa lagu yang dimuat naik dalam streaming platform. ‘Maaf’ menjadi pembuka pentas, jeritan vokalis yang memenuhi ruang dengan iringan bunyian gitar rancak & bingit seperti mendengar lagu post-rock dimainkan.

Smesta dan Fimie Don berinteraksi atas pentas. Foto oleh A. Naim.
Lagu emo, ‘December Curse’ atau Sumpahan Disember, memenuhi ruang dimana membuatkan audiens rasa tidak move-on dengan episod patah hati sebelum ‘Fasa Dimana Akukan Tenggelam Lagi’ pula dimainkan. Lagu kegemaran aku, ah, bertambah lagi sedih!
Tengah seronok melayan perasaan tiba-tiba boleh pula medley lagu For Revenge, Serana. Siut. Habis melayan perasaan, ‘Musnah’ pula masuk. Memang sempat aku sing-along bahagian korus. Nasib tak headbangin je.
Habis fasa emo dia, lagu baru dengan Fimie Don, ‘Tanam Anggur’ pula dimainkan. Lagu untuk orang-orang yang struggle nak cari kerja. Rancak habis tambah pula Fimie masuk dengan rap dia yang power & best gila. Habis je, Smesta tutup pentas diaorang dengan lagu yang buatkan diaorang naik, Kota Sengsara! "Palat sia Hidup!" jerit audiens bila masuk intro lagu. Semua rancak melayan & ada yang melompat, ada yang sing-along, nasib tak ada mosh pit. Puas hati!

Lasa dan keterujaan. Foto oleh A. Naim.
Lasa seterusnya membuat persembahan. Aku tak pernah dengar sebelum ni tapi tahu vokalis Lasa tu, Aiman daripada band Mascot. Aku cek profile band ni memainkan genre country-pop rock & membuatkan aku sedikit teruja untuk mendengarnya.
Pembukaan persembahan sahaja, showmanship yang ditampilkan oleh Aiman sangat mengujakan & tenaga dia atas pentas tu menghidupkan suasana ruang Petai Belalang. Ada beberapa lagu yang menarik minat aku yang sempat aku ingat. Inggeris & melayu.
Aku teruja melihat Aiman main banjo, kebiasaannya dimainkan untuk lagu-lagu country-folk. Masa, Kelab Wayang, Kelasahan & Kembali antara lagu yang buat aku tertarik. Keunikan pada bunyian banjo memang memberi satu pengalaman yang sedikit berbeza sebab sangat sikit orang untuk mainkan alat muzik tu.
Sejam Lasa atas pentas sentiasa terasa energi. Habis je session mereka, terus aku check out lebih pasal diaorang.

Kesungguhan dan keseronokan motherwit. Foto oleh A. Naim.
motherwit, salah satu band yang turut tengah viral di TikTok sebab salah satu kagu Inteam. Kali terakhir aku menonton mereka pada tahun 2023 jika tak silap. Mood yang dibawa mereka sangat gloomy disebabkan pemakaian mereka serba gelap atas pentas akan tetapi muzik yang dimainkan sangat bright & ambiance. Aku sangat gembira sebab dapat dengar semula lagu-lagu yang aku mula kenal & mengikuti rapat band ni.
Salam menjadi pembuka pentas diikuti Prison of Love. D.antara salah satu lagu kegemaran aku dimainkan, lagu yang kalau dengar mesti termengelamun sebentar sebab bunyian dia sangat lah ambiance (cumanya tak ada Shuhusnaa sobs).
Kemudian lagu Inteam, Kasih Kekasih dimainkan cover oleh mereka. Lagu versi mereka ini tengah viral sejak Inteam mengumumkan akan mengadakan konsert mereka sendiri tak lama lagi. Sejujurnya catchy gila rentak & bunyi lagu ni, macam lagu motherwit sendiri cuma lebih pop-rock. Selepas itu, lagu baru, Kemacahaya, dimainkan dengan bacaan puisi oleh Mosyuki Borhan sebelum pentas ditutup dengan Sunyi.

Umar bermain gitar dan Fahani membunyikan flute. Foto oleh A. Naim.
Umar Akmal, pemenang Anugerah Persembahan Terbaik sempena Anugerah Lagu Indie (ALI 2024) menjadi artis terakhir malam tu. Mungkin sedikit kesilapan besar meletakkan muzik genre folk-pop dihujung acara tambah pula selepas dah all-out untuk act sebelum ni yang banyak bergenrekan punk-rock-pop. Habis tenaga.
Atas pentas, Umar bersama temannya, Fahani yang menyumbangkan bunyian flute & piano seolah menyenangkan minda kita selepas terisi dengan muzik bingit & rancak sebelum ini. Seakan macam kau dah puas layan playlist rock dalam kereta, kemudian kau nak masuk mood galau & tenang.
Beberapa lagu yang aku dapat tangkap Dear Lily, Dewasa Yang Kuimpikan, Menjahit Layar, Berpaut, Hei Hati Rapuh & Dewasa Yang Kuimpikan. Lagu-lagu beliau banyak menyentuh perihal kehidupan dewasa. Ada patah hati & sangat mudah untuk diikuti liriknya. Terpesona dengan gabungan bunyian flute Fahani & petikan gitar Umar, membuatkan suasana malam itu sangat gloomy tapi sangat tenang. Ahhh, nyaman! (Patutlah dapat jadi finalis ALI!)

Semoga tak ada putus yang Paih Jenin kenal. Foto oleh A. Naim.
Apapun tahniah & terima kasih Paih Jenin sebab anjurkan acara ni dengan niat untuk berkongsi rasa tentang kehidupan melalui puisi-puisi & muzik-muzik yang dia minati. Mungkin tidak sempurna tapi yang pasti kita dapat merasai & yakin yang masig-masing mempunyai fasa kehidupan tersendiri. Moga ini bukan kali terakhir & terus maju jaya dalam apa jua terutamanya Kita Jenin untuk memeriahkan scene kita!
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply