• #mainsurat
  • Posts
  • Kindness Belum Cukup Buatkan Leo Ari Bernadi

Kindness Belum Cukup Buatkan Leo Ari Bernadi

Leo Ari pernah hadir dengan album penuh Poison dulu. Lepas pulang saja dari UK sekitar 2017, dia sertai Melodiya Recordings dan "rakam" seluruh gejolak rasa yang dia lalui ketika itu.

Aku ingat lagi, Poison, ada percubaan yang best. Kita boleh tahu penyanyi yang tengah lepak di Damansara ini fikir banyak tentang track listing album sulungnya itu. Susunan treknya tak menjemukan, jadi walaupun ini lagu-lagu yang mungkin sukar untuk aku layan tiap hari, ia kekal akan kedengaran sedap setiap kali aku tak tahu nak pasang apa dan tanpa sengaja tekan-dengar album ini. Kerja kemas.

Tapi itu 2019 dululah. Lepas satu lagi single, Invincible, tak ada dah lagu baru yang diperdengarkan kepada kita sampailah 2023, tiba-tiba sebuah EP dua lagu, Sketches, dikeluarkan sekitar bulan Julai. Dan terbaru, Leo Ari muncul dengan Kindness yang sekali lagi merupakan sebuah EP dua lagu.

Album art “Kindness” oleh Leo Ari.

Menarik juga nak tahu kenapa Leo sebut ia sebagai EP sebab sekarang, kalau gini, orang biasa panggil double single je.

Dibuka dengan bass yang disambut oleh trumpet, Kindness (Remastered), tidak memberi kesan sangat kepada telinga. Kalau ia dalam senarai rawak Apple Music aku, it is just another song yang dipasang dan aku pula malas nak skip sebab ada kerja lain perlu diselesaikan. Jadi, dengarlah sampai habis sebelum lagu lain terpasang dan sikit pun eager itu tak ada untuk mencari balik judul lagu tadi, dimasukkan dalam library supaya boleh dengar lagi.

Ini yang lagu pembuka EP terbaru Leo Ari, Kindness, beri dekat aku, sekurang-kurangnya. 

Sebaik saja saat pertama bunyi trumpet itu kedengaran, ada serigala kelabu dan vokalis dengan kaca mata disko yang muncul. Late Night Frequency terlalu jelas hadir di dalam kepala, buatkan aku lupa lagu ini bukan milik mereka.

Tapi, Leo sempat mengejek aku bila dia lafazkan, "If they hatin, they hatin/ We won't take it, won't take it," pada pre-chorus yang cukup memorable. Ia patah baris yang kalau rajin, boleh laku terjual di TikTok. Cuma… itu saja bahagian yang melekat dekat kepala sebab korusnya biasa-biasa dek vokal yang tenggelam dalam hingar muzik.

Say Yes menyambut pemergian Kindness sebagai lagu kedua. Nampaknya, kali ini ada kenakalan yang hadir. Panning gitar dan pause pada komposisi muzik ketika permulaan lagu dah cukup untuk buat kita kekal mendengarkannya sehingga akhir. Dengan verse serba dramatic, ia tampilkan satu sisi Leo Ari yang tidak kedengaran dalam lagu-lagu sebelum ini. Satu experience baru untuk telinga!

Dan… korusnya senang ingat. Kalau lagu ini terpasang secara rawak via Apple Music, walaupun tengah sibuk kerja, aku takkan boleh duduk diam untuk capai telefon dan segera masukkan dalam library sebab nak dengar selalu.

Kedua-dua lagu dalam EP ini sebenarnya setara pada bunyinya. Lagunya fun dan patut buatkan kita berjoget, tapi kita hanya sekadar rasa nak dengar je. Badan pun ralat nak berjoget. Sebab bunyinya terlalu perlahan di setiap segi. Meriahnya pada idea, bukan pada execution. Macam something wrong somewhere dekat mixing, buatkan semua instrument dekat level sama. Therefore, ia geletek kita sikit je. Kalau kau geli, gelilah.

Dengan kerja yang berbilang serta ilmu yang tak segan nak bersilang, aku percaya pemilik nama sebenar Adli Nazrin ini masih mencari work yang betul-betul akan memberi nadi kepadanya untuk kekal hidup sebagai seorang artist.

Seli antara work-work yang Leo beri kepada kita sebelum ini, dia penuhkan dengan ulang-alik belajar. Selepas kenal selok-belok muzik dengan disiplin universiti, dia sambung pula Masters dalam seni halus. Sekarang, secara sengaja, dia adalah seorang artis multi-bidang. Cuma, jenis artis silang bidang apa yang Leo mahu pegang dan beriman, tidaklah aku pasti. Secara kasar, ia masih belum cukup tekal dalam karya-karyanya.

Tapi… sikit pun aku takkan jemu. Sebab kadang-kadang, lebih banyak ilmu yang disandang di belakang, lebih jauh perjalanan untuk sampai. Dan mengetahui tak lama lagi ada single Bahasa Melayu baru yang akan dikeluarkan oleh Leo Ari, tentu ada sesuatu yang akan ditawarkan olehnya kepada kita.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.