Kali pertama mendengar Penyayang, tak boleh tidak, ada memori sekitar 2017 dulu yang muncul. Reverb suara Eff dan melo dram yang bersahaja menggemakan semula bunyi yang terhasil dalam Balada, album yang tak mahu dikenang lagi.
Di hadapan laptop, ketika trek ketujuh ini dipasang, aku terhenti kejap dari menaip sebab hati teringat semula hari bila tahu ada berita tentang pembubaran kumpulan muzik kegemaran. Tapi, tiap kali itu juga, aku perlu faham yang ada hormat perlu dihulurkan kepada Eff Hakim bila dia bertegas kata, “Saya tak nak dikaitkan lagi dengan kisah lama. Saya sekarang, hawa.”
Jadi, bila 16 November lalu hawa pilih untuk tunaikan janji dengan mengeluarkan album sulung, Terkuburnya Seorang Gadis di Kuala Lumpur, aku pilih untuk jadi pendengar macam dulu-dulu.
Cuma kali ini, aku dengar dia sebagai gadis merah jambu & hitam, main rock, dengan sekumpulan kawan yang tak habis-habis dia nak ucapkan terima kasih sebab buat dia seronok main muzik.
hawa susun album ini macam sebuah persembahan monolog. Kalau dipentaskan, situasinya lebih kurang macam:
Dekat kedai mamak, ada sepinggan mi segera goreng yang baru saja dipicit limau. Segelas teh o ais belum sampai, tapi semua yang ada di meja panjang itu dah pandang hawa. Jadi, dengan perasaan yang masih lagi dalam proses untuk dicerna, hawa kena buka cerita sekarang supaya malam nanti, tidurnya tenang. Selain cerita, mulutnya sibuk mengunyah mi segera goreng; yang enak, tapi sedikit masam. Macam ceritanya.
Memulakan cerita, gitar distorted super-garang disambut dengan jeritan hawa ketika “Mayat Hidup” dipasang. Verse-nya mengungkapkan segala “aku ingin” dalam hati, tapi sebabkan tak ada doa baik perlu diaminkan untuk individu serba jahat, korusnya mengulang-ulang soalan “mayat hidup, bilakah saatnya kau akan mati?”.
Bila dilafaz “tolong jangan datang sini/ musnah kau nanti”, kedengaran macam satu amaran berbanding sebuah lirik saja-saja. Ada satu garis yang telah dilukis oleh penyanyi ini, memberitahu tak ada orang jahat boleh lepasi “garisan” yang menuntut banyak kekuatan untuk dia lukis ini; garisan yang bagi penyanyi ini adalah ruang selamat untuknya.
Kemudian experience kita mendengar tiga sekuens kraf dalam album ini menjadi lebih dark.
Trek keempat bermula. Tak ada masa yang dibuang. “Aku dah mati” dilafaz dengan melodi penuh putus asa. Putus asa ini bukanlah kecewa dan tak mahu hidup lagi, tapi lebih kepada “apa-apalah ek, penat sial camni”.
Melihat tajuk, ia mungkin merisaukan. Seolah lagu suicide, tapi konteks liriknya diparadokskan. Berbanding melayani gejolak hati, lagu yang aku anggap macam lagu berserah ini sebenarnya mengungkapkan, “kau buatlah apa-apa sekarang, sebab aku pun dah mati kan dari hidup kau?”.
Liriknya seperti sehelai kertas terisi nota yang dituliskan ketika berjumpa pakar psikiatri kali pertama. Ia baris-baris cerita yang menjawab soalan, “Apa awak rasa sekarang?” dan malas nak berselindung, tertulislah segala emosi:
kau dah tikam aku berkali-kali
dari belakang depan aku dah tak peduli
jika tak puas aku tak halang
ambillah segalanya apa yang kau idamkan
biar kuhancur biar kumampus
perahku sampai habis sampai kau berambus
Groupie membangkitkan semangat. Dibuka korus "aku nak menari/ syok sendiri/ lihat ia musnah dari sudut ini/" ada semangat on the way nak ngamuk, tapi kita sabar jap. Bunyi pembesar suara KTM dilapikkan belakang gitar elektrik sebelum hawa pilih untuk membaca rangkap lagunya seperti spoken word.
Ia rangkap yang dilafaz bebas, mengungkapkan pasal keinginannya untuk jadi band terkemuka anytime soon. Bukan sebagai balas dendam, tapi tanda muziknya lebih mantap bila ada kawalan penuh terhadap krafnya.
Ketika rangkap kedua, semangat ngamuknya makin marak dan yes, apabila korus ini diulang buat kali ketiga, adrenalin kita memuncak. Ngamuk kita menjadi lompat dan dansa tak berkesudahan.
Trek kelima ini sering dipentaskan langsung. Semestinya rangkap verse lagu ini sukar untuk didengari jelas ketika acara, tapi seingat aku lepas tonton dua kali, kedua-dua kali juga aku melompat gembira ketika korus macam a part of hawa punya troupe.
Dalam Kanser, telinga kita diketuk tenaga dram dan petik gitar elektrik sekali lagi, mengulang formula rock yang dia fasih. Dari jauh, hawa melihat seseorang yang dia benci; “sakitnya, bila lihat kau gembira/ gelora hatil kecil aku membara/ benar aku hampir gila/ melihat kau mengaku mangsa”. Emosinya terluah serba deskriptif. Visualnya jelas.
Gitarnya lebih ganas sebelum korus masuk dengan jari tengah dari hawa; “ambillah segalanya/ aku tak pernah berkira/ aku tak pernah kisah”. Middle finger lebih tinggi bila dua perkataan diulang-ulang ketika outro; “kau menang/ kau menang”.
Dua patah kata mudah ini, bila hadir dari mulut seorang gadis sebenarnya satu penulisan yang maha nakal. Sering kita dengar, apabila berlaku pergaduhan mulut antara jantina berbeza, ketika tiada argumen lagi boleh dihujah, salah seorang akan membuat kesimpulan dengan, “Haa… ambillah kau menang ek,” dan kalau ia hadir dari mulut lelaki, akan ada tambahan ayat di belakang, “Perempuan memang tak pernah kalah.”
Cuma dalam lagu ini, seorang perempuan yang dah malas nak layan drama penuh selamba pilih untuk tamatkan all this shit dengan serahkan terus piala. Maleh layan.

Poster pelancaran album Terkuburnya Seorang Gadis di Kuala Lumpur.
Kanser hadir dengan cerita yang lengkap. Dalam sebuah lagu, kitaran kisahnya dibuka dan ditutup. Dari A sampai Z, buatkan lagi mudah dicerna. Ini turut berlaku dalam Sweetness, sebuah lagu renyamz ailevyu hasben.
Trek pertama ini membuka album dengan hawa mengungkapkan ketidak percayaannya berjumpa seseorang yang boleh memberi dan menerima cinta. Very the supershweetl, lagi-lagi bila liriknya diselikan bahasa Inggeris dan Melayu sebab kan cinta buat kita berbilang bahasa?
Biarpun masih terganggu dengan lapisan reverb vokal ketika korus, Sweetness boleh tahan manis sebagai pembuka album. Ia macam beritahu kepada semua yang hawa is all good now, sama seperti trek terakhir, Jalan Terus, yang menjadi lagu kipidap dongibap seperti lagu PLKN “biar bertalu/ rentak dikalbu” cuma versi lebih leleh. Kalau ada umpama, trek kelapan ini bunyi psikologi untuk ingatkan diri supaya terus cekal bersemangat hadapi hidup serba palatz.
Terkuburnya Seorang Gadis di Kuala Lumpur akan dilancarkan secara rasmi pada 29 November 2025 di EX8, Subang Jaya. Biarpun telah memainkan lagu-lagu ini sejak 5 tahun lepas, semestinya rakaman studio kesemua bunyi hawa ini merumuskan dia dah very the ready untuk hasilkan lebih banyak muzik.
Genrenya solid. Gaya tulisannya difasihi.
Apatah lagi kalau diperhatikan dalam kesemua lapan lagu, trademark paling kuatnya adalah baris lirik yang diungkapkan bersahaja; tak langsung memaksa untuk kedengaran puitis, tapi kita masih tahu ia disusun cermat selepas sekali draf.
Fasa berjumpa psikiatri seperti yang dicakapkan Eff semestinya penting dalam membentuk bunyi kalakini gadis yang juga memilih untuk jadi produser buat kali pertama ketika mengerjakan album ini.
Kalau ada kredit, berulang-ulang nama “Eff Hakim” dari vokal, komposer, gitar dan produser. Dan apa lagi berani yang perlu dia tunjukkan pada kita apabila cekal yang besar untuk bertahan dipamerkan selepas segala kebaraian melanda hidupnya dulu?
Aku pun dah tak ingat bunyi lama Eff. Yang aku kenal sekarang, cuma hawa.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
