- #mainsurat
- Posts
- Haluan motherwit Selepas anteseden
Haluan motherwit Selepas anteseden
Tak buang masa, lepas keluar EP tahun lepas, tahun ni mereka terus belanja kita tiga single baru!
oleh gridmeja
Dalam konteks muzik dunia, EP mungkin benda biasa-biasa. Macam album pendek. Untuk artis lebih popular, extended play ini sering menjadi semacam acahan sebelum mereka keluarkan full-length album. Atau ada masa, EP akan jadi kesinambungan daripada album penuh yang telah dikeluarkan. Melanie Martinez ketika era K-12 menggunakan formula ini menerusi “After School”.
Dan sering, aku akan menunggu apa pula yang akan ditawarkan oleh that artists selepas hasilkan sejumlah lagu dalam sesebuah album, baik pendek atau panjang. Apa haluan yang akan dipilih selepas itu? Kekal bermain dalam haluan muzik yang sama atau dah mula “berjalan” ke tempat muzik yang lain?
Di Malaysia pula, kalau sebut artis popular yang keluar radio, double single pun belum tentu kita akan dapat. Tapi dalam lapangan independent (indie), jarang penyanyi-penyanyi di sini hadir dengan single sahaja. Lepas sedua lagu dan lepas cukup duit semestinya, mereka akan hadir dengan sebuah EP. Kalau popular sikit, album penuh yang akan diperdengarkan kepada kita.
Dalam konteks mereka ini, penghasilan sebuah EP itu sendiri adalah kejayaan ulung. Album penuh? Ia sebuah mahajaya.
Ahli kumpulan motherwit. (Dari kiri: Pak Lah, Sahaq, dan Noh)
2023 lalu, motherwit ada keluarkan sebuah extended play lima lagu berjudul anteseden. Serba hitam album artnya diiringi ilustrasi abstrak merah jambu BLACKPINK. Dalam lagu-lagu tersebut, aku ingat lagi, mereka telah berjaya "paku" dua benda dalam telinga aku;
i) Sound motherwit yang very gloomy dan intense, serta
ii) Storytelling game mereka yang strong, baik pada komposisi muzik atau lirik.
Memegang dua perkara ini, aku memang mengharapkan sesuatu oleh mereka selepas pelancaran anteseden. Apa agaknya haluan yang dipilih oleh band asal Lembah Klang ini lepas hasilkan sejumlah lagu yang dikumpulkan dalam sebuah EP?
Dan tiga lagu selepas fasa anteseden nampaknya semacam ada haluan tersendiri. Setakat ini, lagu-lagunya mengejar kolaborasi menuju “sastera”.
i) Hadir dengan trek kritikan sosial, TATAL, bermain dengan semangat pop yang samar-samar dalam muziknya, tapi jelas pada liriknya. Enam baris lirik mengutuk tingkah manusia yang terlahir "mati otak" selepas asyik "menatal buta tuli" diulang-ulang dari awal sampai habis lagu. Liriknya pun minima puitis.
Di antaranya, ada korus instrumental memerangkap rasa lemas yang hadir selepas membodohkan diri, ulang marah dan selamba menatal semula telefon macam tak ada apa, mengizinkan sikap-sikap buruk tadi terulang jadi semula. Dalam bahasa mudahnya, lagu ini kekal intense dan gloomy dasar mesejnya, menjadikan ia masih motherwit yang macam kita kenal dulu.
Cuma, ia tiada graf turun naik sebuah lagu. Kalau tidak dipilih sebagai sebuah single, TATAL cuma akan jadi sebuah lagu selingan saja.
ii) kemacahya menghimpunkan kerja kolaborasi paling ramai antara motherwit dengan artist lain. Ia menampilkan penyajak teaterikal iaitu Mosyuki Borhan dan pemuzik best macam Irena Taib dan Hazeeq Azhar.
Pertama sekali, kemacahya adalah hasil kerja band rock alternatif ini yang paling lengkap productionnya. Sekali dengar, macam mereka bersedia untuk live show skala besar. Liriknya mengena, muziknya penuh dan komposisinya bercerita sehabis baik. Malah, susur masuk Mosyuki membacakan puisi pun tak nampak macam tiiiberrrr langsung. Ia berjaya untuk bersatu dengan keseluruhan lagu, buatkan ia semacam experience mendengar yang best! Habis saja dengar lagu ini, ia kekal dalam senarai main (playlist) aku selama sebulan sebab di satu sudut hati, aku teruja nak tahu ragam bunyi macam mana akan diperdengarkan kepada kita dalam album sulung mereka yang akan keluar tak lama lagi.
Celanya? Lagu ini juga adalah work motherwit yang paling sastera. Sengaja aku pakai sastera, sebab bila sebut sastera, orang yang tidak menekuni art secara menyeluruh akan sering kata lagu ini adalah "art berat". Di telinga aku, tidaklah ciri ini membuatkan kemacahya jadi “berat” sebab akhirnya, ia ada graf turun naik yang seronok ditekuni. Cuma ia kedengaran kompleks, buatkan ia jadi seperti sebuah sastera mengikut definisi pendek tadi.
iii) Sebuah tragedi akan kekal meninggalkan kesan. Vokalis band ini, Sahaq Ibrahim, dan pasangan duonya, Sara Razz, pernah aktif berpentas dulu. 10 tahun lepas, kehilangan kapal terbang MH370 telah membuatkan mereka menulis sebuah lirik, menyusun sebuah lagu. Namun, hanya ketika ini, mereka sempat untuk merakam lagu berjudul “dan bila” ini secara proper, menjadikan ia lagu balada pertama dalam diskografi motherwit.
Lagu ini membawa doa dan rintihan rindu mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi menyayat hati tersebut. Kata Sara, ketika menulisnya, "Saya membayangkan mereka mengarang doa dan kata-kata rindu dalam kekaburan, tanpa tahu apa yang sebenarnya terjadi".
Halus suara Sara membuka lagu sebelum perlahan-lahan, penuh emosi melafaz “dan pabila ku buka mata/ semua kabur”. Ad-libnya meleret-leret untuk menimbulkan rasa sayu yang nampaknya okay, tidak overdo.
Antara mendap kick, petik bass dan nyaring synth seakan violin, Sahaq Ibrahim seperti bertutur dalam doa “selama/ lama mana pun aku di sini/ tuhan bawakan dia kembali/ kembali”. Udara dalam suara Sahaq banyak, buatkan sesekali ia kedengaran seperti rayuan yang nyata.
Ini dua bahagian paling menarik dalam lagu ini. Namun, jika tidak didagangkan cerita MH370, lagu balada ini akan jadi sebuah lagu cinta tidak berpenghujung dengan build up yang very cinematic. Seperti TATAL, liriknya juga bukanlah sebuah cerita yang jelas. Ia kepuitisan bercerita yang kalau mahu dijual, perlu didagangkan sekali idea asal lagu ini seperti yang dibuat dalam press release mereka kali ini.
Kesemua tiga lagu baru ini diperdengarkan kepada kita dalam tempoh antara 14 Oktober 2023 sehingga 22 Julai 2024. Sehingga kini, kita cuma tahu yang mereka akan keluarkan sebuah album penuh tidak lama lagi. dan bila dan kemacahaya akan termuat sekali. Macam akan ada kesegaran yang ditawarkan oleh mereka. Cuma, adakah perjalanan muzik motherwit selepas EP anteseden ini akan cukup memadai?
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply