Tukang Puisi (TP) dan Katapilar Books adalah tunjang penting dalam mengetengahkan penulis puisi baru Malaysia. Karim Mohd, Qurratul Ain dan Syaheeda Hamdani antara yang dilahirkan oleh mereka. Melalui Sayembara Katapilar yang dijenamakan semula sebagai Hadiah Puisi T. Alias Taib (HPTAT) selepas itu.

Biarpun TP dan Katapilar mungkin bukan tempat pertama yang menyiarkan karya penulis-penulis ini, tapi sokongan mereka untuk mengulas dan namedropping them, adalah satu hal yang tak boleh dinafi, penting.

Saya tidak beranggapan keputusan juri adalah sakral. Selepas penjurian, kemenangan mereka adalah mutlak untuk sesebuah sayembara, tapi di tangan pembaca, mereka diadli semula. Sekurang-kurangnya untuk kenikmatan konsumer.

Macam selepas selesai membaca kesemua buku pemenang HPTAT 1.0, saya tak buang masa untuk simpan kesemua buku ini dalam kotak yang saya gelar sebagai “Kotak Kenangan”. Ia tempat di mana buku-buku yang tak wajar disusun di rak buku saya, disimpan. Buku-buku ini sekadar penting untuk saya semak semula jalur kepenyairan Malaysia pada tahun tersebut saja. Ia bukan sesuatu yang saya akan ulang baca.

Hadiah Puisi T. Alias Taib 2.0 menghadiahkan kita empat buku puisi baru, sekali gus meraikan mereka sebagai 4 manuskrip terbaik daripada 189 manuskrip yang diterima sepanjang tempoh penyertaan, bermula 24 Julai 2025 sehingga 15 November 2025.

Diadili oleh S.M. Zakir (ketua juri), Ainunl Muaiyanah, Rasydan Fitri dan Fahd Razy, empat manuskrip ini dinobat sebagai pemenang:

i) Pecah dan Lupa oleh Abdullah Hussaini

Abdullah lebih selesa saya sapa sebagai Dollah. Istimewanya kepengarangan Dollah belum berjaya ditemui selepas dua buku puisi, namun satu hal paling mengujakan pasal tulisannya adalah naratif yang disusun kemas macam:

“habuk yang sekian lama terkumpul/ berkecai sebaik derap langkah terpacul” (Hikayat di Rumah Agam).

Satu per satu gambaran diterjemahkan jadi baris visual, lalu memunculkan bayangan yang sewajarnya apabila kita baca.

Di tangan Dollah, puisi sering jadi alat untuk beritahu yang penulis dari Jerantut ini adalah seorang pemerhati tekun.

Gemar saya pada tulisannya kurang, terutama apabila manuskrip kali ini ada tema yang hampir sama dengan buku pertama dulu, Daftar Mimpi.

Kerinduan pada kampung, kesengsaraan terperangkap di dalam satu ruang, senak hidup di kota. Mungkin kerana “setiap detik, setiap saat/ walau hanya batuk kecil/ seakan muncul kiamat”, jadi penulis yang juga penterjemah ini sering memaknai puisi-puisinya sebegini.

Puisi menarik: Azan Pembuka, Detak di Bawah Kempas, Hikayat di Rumah Agam

ii) Dendam Perempuan Api kepada Bara oleh Hidayyah AT Mizi

Haish. Dalam prakata, penulis beritahu yang kumpulan puisi ini adalah “tempat untuk perempuan marah, menangis, bersuara dan mencintai dengan seluruh jiwa”. Premisnya besar dan saya menjangkakan kita akan ditawarkan dengan puisi-puisi sekitar keperempuanan yang bijak mengadun naratif dan emosi dalam sebuah sajak. Namun, di tangan Hidayyah AT Mizi, perempuan kedengaran terlalu kompleks dan memeningkan. Membaca ini, andaian patriarki biadap, menang.

Dalam bahagian “dendam”, ada 34 puisi yang judulnya dimulakan dengan “perempuan” tapi satu pun tiada yang betul-betul membekas.

Saya percaya bahagian kedua dalam buku ini adalah cakap langsung penulis kepada seluruh kaum hawa lagi-lagi apabila dia menyebut baris macam, “kita adalah kesalahan, menyorok dalam soalan/ dan tidak pernah akan ada jalan selesai” (Perempuan Berbibir Merah) atau “takkan basi setelapak hidang, kerana/ kesedihan, tiada upaya mengubah suratan” (Perempuan Halilintar), namun ia sekadar ayat-ayat topline yang akhirnya menyorokkan kesemua mesej.

Imejan yang sering bercampur, nasihat yang dilapikkan dengan naratif yang dibuat-buat dan mesej yang dipaksa-paksa, sering menenggelamkan idea penulis asal Kuala Kangsar ini.

Saya sering terganggu dan hampir DNF buku ini setelah separuh bacaan. Bukannya tak ada puisi yang kuat, cuma lebih banyak yang lemah.

Kekuatan penulis ini adalah melambangkan hal-hal sekitarnya dengan pemaknaan yang lebih mudah, seperti “sepinggan laksa/ sebagai tanda rasa cinta/ kepada kekasih” (Tanda Cinta) atau apabila di gigi pantai, “selepas bertarung dengan laut/ aku jadi cangkerang/ yang rapuh dan pecah” (Bertarung dengan Laut).

Malah, puisi-puisi ketuhanan Hidayyah pun lebih baik berbanding segala rencam keperempuanan yang ingin disampaikannya macam “dalam surat/ yang tak sempat kuhabisi/ Kamu ialah sebuah cerita/ paling ramah disebuti” (Mengenali-Mu) atau ketika penulis beritahu yang perjalanannya menemui reda Allah makin jelas bila “seusai kabus pecah/ mencari-Mu jadi lebih mudah” sebelum bertanya “adakah maknanya/ laluan menuju-Mu/ semakin diyakini?”.

This is a whole baris-baris bagus dan idea yang boleh dia terus terokai selepas ini.

Puisi menarik: Misteri Dalam Diri, Perempuan Angin

iii) Cuaca di Negeri Tubuh oleh A. A. Zailiani

Penulis baru yang memendekkan nama Arif Azahari menjadi A.A. ini hadir dengan sebuah manuskrip dengan konsep yang kuat, biarpun di hujung-hujung, ada sedikit rasa yang konsep ini memerangkap horizon puisi-puisinya sendiri.

Buku ini adalah “pintu masuk negeri tubuh Arif sendiri–sebuah negeri yang cuacanya sentiasa berubah-ubah, penuh dengan kejutan dan teka-teki yang tidak terjawab dengan jawapan”. Ia penerangan yang serba lengkap, untuk kita faham mengapa kesemua puisi ini sering berlegar dengan imejan yang menggambarkan angin tubuh.

Antara yang membekas macam:

“ada yang terbakar dalam dirimu/ namun tak berabu” (Matahari Bongsu, 2)
“seolah kilat hanya api kecil/ di sudut mata yang enggan berkedip” (Alumni Hujan)
“setiap baris adalah hujan/ yang membasahkan laman ingatan” (Abah, Aku Berhasil Menjadi Penyair)

Dan berlanjutanlah puisi lain dengan baris-baris yang… mirip. Penceritaan dalam kumpulan ini lebih mudah. Sering terasa ia sekadar rutin harian penulis yang diungkapkan dalam puisi. Lapis renungannya tidak perlu diselak-selak lagi, ia terang lagi bersuluh.

Untuk sebuah manuskrip, ia ada konsep paling kuat berbanding kesemua empat. Bercakap pasal kepenyairan A.A. Zailiani, saya menunggu hasil karya seterusnya kerana ada peluang yang sangat cerah dan terbuka untuk penulis dari Terengganu ini terus menulis puisi yang sama seperti karya-karya dalam buku ini kalau tak ada sisi dan perspektif tulisan lain yang mahu diteroka.

Dan itu adalah hal paling mengantuk sekali untuk seorang penulis.

Puisi menarik: Origami Pagi, Platelet Tengkujuh, Kalimantang

iv) Nama Pertama untuk Duka oleh Haniff Zikri

Memenangi Hadiah Utama untuk sayembara ini, Haniff hadir dengan sebuah manuskrip yang menceritakan semula tentang kekuasaan Allah dalam bentuk puisi.

Tak boleh nafi, perenungan penulis yang membesar di Tanjong Karang ini memang kuat. Terutama apabila dia memaknakan setiap hal kecil dalam hidup sebagai tanda kebesaran Tuhan Yang Satu.

Baris Haniff sebenarnya tidaklah puitis. Perkataannya super-simple, namun susunan tiap kata itu yang menjadikan tulisannya okay. Sering sajak-sajak Hilmi Rindu muncul di kepala saya. Namun, kepuitisan ini bukanlah sebuah masalah pun.

Yang mengganggu saya adalah hampir semua perenungan tadi akan diakhiri dengan syarahan pendek oleh penulis ini. Daripada setiap ketelitian dalam naratif yang cuba membesarkan kekuasan Tuan Segala Maha, Haniff akan merumuskan sajak-sajak tersebut dengan pengajaran. Misalnya dalam Rindu Pada Satu Belum Bertemu:

pernahkah kau rindu
pada suatu belum bertemu?
madu di lubuk hutan
senja di tanah asing
garam di laut lain

pernahkah kau rindu
pada suatu belum bertemu?
nabi itu, nabi muhammad itu
dikenang, disebut selalu waktu

Sajak ini disimpulkan dengan serangkap “aku mahu mencintaimu nabi/ lebih dari diriku/ lebih dari diriku” sedangkan 2 rangkap awal sajak ini sudah cukup untuk meluaskan makna dan perenungan yang cuba disampaikan Haniff.

Lagi-lagi apabila letak duduk sajak ini berada di tengah-tengah kumpulan puisi ini.

Tema ketuhanan yang cuba disampaikan Haniff sejak awal telah diambil maklum oleh pembaca. Jadi, kalau dua baris terakhir daripada rangkap kedua tersebut dibuang pun, pembaca masih boleh memahami makna jelas penulis.

Cuma, tanpa baris ini, horizon kefahaman pembaca diizinkan untuk terbuka lebih luas berbanding versi asal.

Ini bukanlah satu-satunya hal yang menggangu saya. Memandangkan manuskrip ini boleh dianggap seperti kumpulan puisi ketuhanan, jadi seringlah ia menjemukan apabila penulis sering menyebut Tuhan Tuhan Tuhan atau -Mu -Mu -Mu. Ada banyak cara untuk mengagungkan kuasa yang Maha tanpa perlu menyebut perkataan-perkataan ini. Malah, dalam “Jalan Jantung”, Haniff sendiri telah melakukannya.

Puisi menarik: Bawah Rimbun Kemboja, Selepas Tanah Melepaskan Masa Depan, Hai Segala Isi Gunung

Secara keseluruhan, finalis dan pemenang Hadiah T. Alias Taib 2 ini agak promising. Ada buku yang akan saya masukkan dalam “Kotak Kenangan”, tapi bukan semuanya. Pemenang-pemenang kali ini sekurangnya menjanjikan satu hal; ketekunan mereka menyusun sebuah manuskrip puisi.

Rata-rata kesemua empat penulis memegang tema yang seragam untuk setiap naskah. Walaupun ada yang diperangkap dengan konsep sendiri, namun kesedaran penuh bahawa manuskrip mereka perlu ada sekian-sekian tema atau konsep adalah hal yang menarik untuk dibincangkan lanjut.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate

SURAT-SURAT LAIN

No posts found