Kuantan, Ini Hadiah Untuk Kau

oleh M. Emir

1.

Jack Malik sudah melaksanakan ibadah puisinya pada Ipoh. M. Emir bila?

Ini yang berlegar-legar dalam kepala saya apabila sedang memerhatikan keindahan kota Kuantan sambil memasang lagu Sedih Hati dari Malique Ibrahim di Spotify. Ada sebaris burung merpati beratur di atas tiang elektrik. Jongkang-jongket berkarat. Laut yang berdebur. Tayar kenderaan terus berputar-putar (saya tidak tahu berapa kali, tahu pun bukan satu kepentingan). Melihat ragam warga yang beraneka, membuatkan saya terfikir,
adakah itu juga layak dipuisikan?

Hadiah ini mungkin orang lain akan anggap sia-sia. Tetapi, tidak Kuantan. Seperti kekasih, ada kekasih yang menyukai jam tangan. Ada yang menyukai beg tangan. Tetapi jarang yang menyukai puisi. Namun, masih ada yang menyukai puisi sebagai hadiah, begitu juga dengan kota. Saya cuba hadiahkan sesuatu yang mungkin tidak berharga bagi sesetengah orang,
namun ia zamrud bagi saya.

2.

Saya kemudian puisikan Kuantan.

Suatu hari nanti, jika ada kudrat dan rezeki, pasti saya akan menghadiahkan sebuah kumpulan puisi untuk kota saya membesar. Kuantan, kau layak untuk itu. Saya sedang bermula, dan diingatkan awal-awal, saya akan jalan terus walau apa pun orang nak cakap tentang kraf saya, sama ada berbayangkan Jack Malik atau sebagainya.

Peminjaman bayang dari penyair lain tidak pernah salah. Ia hanya sebuah pengaruh. Seperti juga Jack Malik yang pada peringkat awal penulisannya sering kali disamakan dengan Pak AGI (walaupun bagi saya, jauh gila!) tetapi jika tidak jauh pun, ia tidak pernah salah. Namun soalnya, adakah saya akan meminjam suara Jack selama-lamanya? Mungkin ya, mungkin tidak. Jika ya, terpulanglah, bukankah peminjaman bayang ini tidak pernah salah? Saya hanya mengikut laluan yang dibuka Jack, tentang bentuk-bentuk puisi.

Tetapi tidak dinafikan, Jack adalah orang yang saya kagumi dalam sastera. Selain permainan bahasanya yang menarik, pemikirannya terhadap sastera juga lebih urban dan sesuai dengan keberontakan generasi millennial.

Saya tulis tentang Kuantan kerana keindahan kotanya. Mungkin juga kerana ia sebuah nostalgia bagi saya. Kuantan tempat saya membesar. Mungkin juga Kuantan adalah kota yang bertanggungjawab memperkenalkan saya dengan puisi. Cinta saya pada puisi berputik di sini.

3.

Saya selitkan sebuah sajak kepada Kuantan yang terkandung dalam draf bakal (insya-Allah) hadiah saya kepada Kuantan. Harap Kuantan suka. Kalau tidak, saya tetap akan teruskan.

Kepada TC

Kuantan— aku dengar puitis debur ombakmu tu;
Debur ombak Teluk Cempedak yang ganas tapi manja.

Ia sama sahaja tetapi berlainan;

Kuantan— aku kenal nakal anginmu tu;
Angin berbahasa gula tapi garam
Yang memaknakan nostalgia

Aku kenal garaulunakmu.
Kerana aku & kau

Ada dalam aku.

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.