Kumpulan cerpen ini telah saya baca semasa hangatnya Pesta Buku Antarabangsa 2024. Tak pasti apakah saya betul-betul mahu mengenal rapat tulisan Si Jasad Bersiong atau sekadar tanda sokongan saya sebagai pengarang se-penerbitan sementelah Bakso 7 Kerdil lebih awal mengosongkan rak pameran berbanding karya-karya yang lain.
Kononnya karya ini menjanjikan rasa geli geleman kepada pembaca. Malah, seingat saya, memang ramai berpendapat bahawa Bakso 7 Kerdil boleh tahan menggelikan – yang pasti, itu bukan saya yang tulis. Apa pun, ini pertama kali saya membaca karya Jasad.
Menelusuri karya yang datang dengan imej-imej ngeri-geli, pengarang sering tak lari daripada menggunakan imej-imej pada tubuh manusia (dan kadang-kadang haiwan). Biasanya, ia muncul dengan percik darah, organ-organ yang berhamburan, liur likat mengalir dari celah gigi yang pecah berderai dan daging tersiat sebelum hancur dek mesin pengisar.
Kalau yang cenderung dengan geli-ngeri mazhab Junji Ito, kita temukan permainan pusaran dan bulatan yang tak putus-putus yang kadang-kadang jadi kelakar pula berbanding ngeri. Dalam banyak karya pengarang mazhab ini, berpucuk revolver dan bilah pisau tertanam dalam baris ayat karangan mereka.
Jasad begitu juga. Dan itulah yang menjemukan saya.

Muka depan buku Bakso 7 Kerdil tulisan Jasad Bersiong terbitan Rocky Press.
Meskipun dalam banyak cakap-cakap bahawasanya cerpen merupakan antara genre penulisan kreatif yang boleh tahan mudah, saya tidak beriman kepada pendapat sedemikian. Munafik sungguh kalau saya berfikir begitu.
Mengarang cerpen memaksa semua pandangan pengarang terjahit kemas melalui benang-benang perkataan yang dipilih. Maka, menghasilkan sebuah cerpen yang baik dengan perkataan yang terhad justeru memang sukar.
Bukanlah saya membaca ribuan cerpen (ratusan bolehlah), tetapi dalam setiap cerpen yang saya baca, saya rupa-rupanya memberi perhatian penuh kepada plot cerpen yang dikarang, bukan juga saya mencari-cari bentuk cerpen konvensional permulaan-klimaks-peleraian, yang penting tak menjemukan sahaja.
Sayangnya, Bakso 7 Kerdil gagal bermain dengan plot yang lebih dramatis dan rencam.
Bermain dengan imej ngeri-geli, Jasad terlalu asyik dengan plot balas dendam, dan… balas dendam. Semuanya dipandu dengan amarah, benci dan sekali lagi, dendam.
Cerpen Tebus ialah Heqal membalas dendam, Ducati turut hadir dengan dendam yang tak terlunas, Waris juga melantik Ariff membalas dendam atas kematian keluarga, cerpen Rafik memotret balasan dendam yang dipacu oleh amarah dan cemburu, Songsang turut dikarang dengan kemarahan dan pembunuhan, begitu juga dengan cerpen Buli, Sesal, Pesong dan Isteri Trofi – masing-masing datang dengan plot yang hampir sama dan dengan naratif yang sekali lagi, sama. Daripada 16 buah cerpen, lebih separuh bermain dengan naratif dendam, benci, marah dan bunuh. Selebihnya, dikarang dengan kanibalisme serta imej saka, hantu dan rasuk-merasuk.

Cerpen Bakso tulisan Sijasad turut termuat dalam Cerpen Terbaik 2014 terbitan Buku FIXI.
Dengan daya imaginasi yang cetek, kita menyangka permainan imej ngeri-geli ini hanya boleh muncul dengan suasana cerpen yang gelap dan menakutkan. Sebagai contoh, melalui cerpen Bakso (yang saya akui merupakan cerpen yang lain sedikit antara semua cerpen dalam kumpulan cerpen ini), Jasad cuba menggelikan tekak pembaca dengan tema kanibalisme gelap:
Tanpa membuang masa, aku memulakan kerja. Aku toreh kulit lelaki itu dari buku lalinya hingga ke muka kemudian kulit itu aku rendam dengan air garam. Selesai satu kerja. Ayu datang membawakan air untuk aku, melihat darah berlinang di lantai dan aroma hanyir menusuk hidung selera aku terbatal, rasa mual membuak-buak.
Petikan ini memperlihatkan cubaan Jasad mengarang dengan gaya deskriptif dan memastikan pembacanya mual tetapi setelah gaya penceritaan yang sama diulang lima hingga tujuh cerpen awal, saya tidak lagi teruja membacanya malah teringat-ingat Bakso Subika, sebuah kedai bakso siring jalan di kampung saya pula. Masakannya selalu masin, tapi, sebagai tanda sokongan jiran-jiran, kami makan sahaja. Saya lapar. Cerpen ini tentunya berwarna gelap dan hamis bercampur dengan bau dinding zink tempat ‘aku’ dan Pak Ibrahim menyediakan bebola bakso.
Sayaka Murata melalui cerpennya, Life Ceremony tanpa gagal menggunakan imej kanibalisme dalam karya. Tidak sama gelinya dengan Earthlings, Life Ceremony justeru berwarna jingga dan dari jauh terang sekali warnanya.

Sayaka Murata dalam kedai runcit. Foto diambil oleh Kentaro Takahashi.
Secara ringkas, cerpen ini adalah tentang Nakao yang enggan akur kepada budaya memakan daging orang mati dalam upacara kematian kemudian bersenggama dengan mana-mana tetamu yang hadir sebagai penghormatan. Dan persenyawaan yang berlaku dianggap sebagai ganti si mati. Tentunya ini budaya dalam khayalan Murata sahaja. Keengganan Nakao itu akhirnya lerai setelah rakan sepejabatnya, Yamamoto – mati. Dan tanpa sengaja, Nakao menjadi pembantu keluarga Yamamoto untuk memasak lelaki itu pula:
Yamamoto selalu risau tentang sindrom metabolisme, tapi sekarang, melihatnya - sebagai daging, Yamamoto tidaklah berlemak seperti yang saya sangka. Melihat merah segar bercampur putih, saya terkenangkan ia yang elok parasnya.
Ada kotak dengan label ‘daging lengan’, saya ambil dan bawa ke dapur. Saya keluarkan lengan Yamamoto, lapah dan keringkan darah, kemudian saya mula memisahkan daging dari tulang. Sementara, kakaknya tanpa berlengah mengeluarkan paha Yamamoto dari kotak yang lain.
Murata melalui cerpen ini bukan menggelikan pembaca dengan memperinci darah terpercik, berlinang dan membanjiri lantai dapur – tetapi dengan konsisten mengingatkan pembaca bahawa daging itu semua ialah daging Yamamoto. Perempuan licik!
Cerpen ini diakhiri dengan Nakao yang terkenangkan Yamamoto sepanjang jalan di pantai. Sebuah cerpen yang menggelikan tetapi dikarang dengan plot yang unik, aneh, janggal dan tidak berwarna hitam. Pada akhirnya, cerpen ini jadi hangat dan dengan tiba-tiba matahari terbit di penjuru muka surat. Murata turut ghairah dengan imej ngeri-geli tetapi tetap hadir dengan plot yang boleh tahan menarik.
Begitu juga dengan Chuck Palahniuk melalui cerpen Guts yang menyebabkan AI Overview dalam carian google menggariskan ini:
Chuck Palahniuk's controversies stem from his dark, transgressive writing, particularly the graphic short story "Guts" which caused fainting spells -
Guts ialah sebuah cerpen yang tak ditahan-tahan memualkan. Sama seperti judulnya, cerpen ini berwarna merah oleh sebab saking banyaknya darah yang bercempera dari dubur lalu melekat di lantai kolam renang:
So.. I kick at it, a slippery, rubbery, knotted skin and veins of it, and more of it seems to pull out of the pool drain. It’s maybe as long as my leg now, but still holding tight around my butthole. With another kick, I am inch closer to getting another breath. Still feeling the snake tug at my ass, I am an incher closer to my escape.
Knotted inside the snake, you can see corn and peanuts. You can see a long bright-orange ball. It’s the kind of horse pill vitamin my dad makes me take to put on weight. To get a football scholarship. With extra iron omega-3 fatty acid.
It’s seeing that vitamin pill that saves my life.
It’s not a snake. It’s my large intestine, my colon pulled out of me. What doctors call “prolapsed”. It’s my guts sucked into the drain.
Petikan ini diteruskan lagi dengan perincian demi perincian tentang usus, tahi, makanan belum cerna dan segala macam yang terapung-apung bersama ‘aku’.

Bakso Beranak yang tersedia di Bakso Beranak Solo.
Palahniuk dengan kesedaran penuh mengarang cerpen maha memualkan. Dengan plot tanpa dendam, marah dan bunuh-membunuh, Guts ialah cerpen tentang rasa ingin tahu anak muda akan rasa berahi dan onani yang berakhir dengan tragedi kolam renang. Kalau saya tak salah ingat, cerpen ini saya baca semasa saya menghabiskan pengajian sarjana muda – waktu-waktu ghairah membaca Chuck Palahniuk. Dan ketika saya ulang baca, saya tetap geli (dan geli hati).
Maka, cerpen ngeri-geli tak mesti bermotif dendam dan membunuh. Kadang-kadang, cukup putuskan usus yang tersangkut pada lubang air. Cerpen-cerpen dalam Bakso 7 Kerdil mungkin memuaskan apabila ia dibaca sendirian, bukan sebagai kumpulan cerpen oleh sebab apabila ia dikumpulkan, ia jadi menjemukan sementelah Jasad jadi Asma Harun pula dalam kebanyakan cerpen. Banyak berdakwah!
Bagaimanapun, menghasilkan cerpen ngeri-geli tak berada dalam tangan semua cerpenis. Darihal yang demikian, kalau beribu-ribu cerpenis kita tanyakan cara mereka mengarang sekali pun, kita takkan boleh menghasilkan cerpen yang sama warnanya.
Imaginasi memang Tuhan hasilkan eksklusif, maka, cubaan Bakso 7 Kerdil dan imaginasi eksklusif Jasad ini mesti disemangati dengan perbincangan dan kritikan. Saya harap, Jasad terus menulis, tapi jangan gini-gini sangatlah, Sad. Bosan!
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].