- #mainsurat
- Posts
- Binti Yang Meneroka: Sesuatu is Something
Binti Yang Meneroka: Sesuatu is Something
Apa akan terjadi apabila seorang artis multi-disiplin cuba mendepani hubungan kemanusiaan?

oleh Aliff Awan
Replika Motorola 8900X-2, tapi berwarna biru air kolam jernih. Ia bukanlah handset pertama dunia yang sebenar, tapi sekadar casing untuk telefon pintar masa kini. iPhone rasanya.
Bila terserempak dengan nama Binti lewat media sosial atau poster acara, casing ini yang muncul di kepala.
Telefon dengan casing paling besar saya pernah nampak itu akan dia letakkan di atas meja belajar. Di sebelahnya, buku nota akan terlentang dan dia selamba bersandar sambil mendengar kuliah. Serba rileks. Itu kali kedua kami bertemu. Dalam kelas di ASWARA. Sebelum selepas 2-3 minggu, dia memilih untuk beralih jalan.
Dari puisi, persembahan, mengarang zine, digital art dan berpameran. Saya cuba ikuti rapat perkembangan gadis yang pakaiannya sentiasa menarik perhatian ini dari jauh. Sehinggalah kami dipertemukan semula di pameran solo pertamanya, Sesuatu Is Something, yang berlangsung di CULT Gallery bermula 14 Jun sehingga 14 Julai 2025.
“My art is inspired by interactions. Kalau you perasan, all artwork dekat bawah adalah seratus-peratus tentang hubungan kemanusiaan. Sama ada ancestors, mak-bapak, aunties dan strangers. I tengah explore tentang hubungan kemanusiaan,” jelas Binti bila saya soal tentang 6 siri mix media collage atas kertas berjudul “Entah Apa”.

Beberapa keping bingkai “Entah Apa” hasil karya Binti.
Ia sekadar teks Entah Apa yang dipotong kemas dan digantung dalam bingkai sebesar 30cm x 84.1cm. Dalam teks tersebut, artwork, lakaran dan segala macam idea-idea yang tidak dan telah selesai dijadikan ‘isi’ teks. Penuh warni. Dan ia merata-rata di ruang pameran.
Dalam artist statement, katanya ini dua perkataan yang pernah membekas dalam hatinya: bila seorang makcik terserempak dengan Binti yang sedang menukang karya dan selamba memanculkan “entah apa-apa” dari mulut apabila melihat hasil kerja anak saudaranya.
Ini adalah sebuah perselisihan. Perselisihan idea.
Sekarang, dalam hati Binti, dua perkataan ini bukan sekadar perkataan. Ia perasaan dan pemikiran. Yang tersangkut dalam benak kepalanya, membuatkan fikirasanya bergolak. Untuk meredakan pergolakan ini, dia tahu, dia perlu memberi respons.
“Kalau ia adalah respons, ia tak semestinya untuk that specific person tapi respons untuk I juga,” jawapannya serba selamat cuma kalau dipandang dari sudut lain, ia adalah sebuah statement untuk merangkumkan keseluruhan tema pameran ini:
Sesuatu Is Something. Dalam ragam ketidaktahuan, ada sesuatu yang perlu diketahui.
Dan untuk tahu, kita cuma perlu berani untuk ambil tahu.

“Kemahuan”, salah satu karya dalam siri “Cow & Aku” hasil kerja Binti.
“Cow & Aku” misalnya, meneroka tubuh dan idea sensual yang mungkin turut membelenggu Binti. Bermain dengan kata “kau” dan “cow”, ia menyilangkan keinginan dominan dan submisif.
Mungkin kerana pose-pose wanita dalam siri ini yang sering melentik dan menggugah, lalu diisi dengan corak dan warna haiwan, jadi mudah untuk saya beranggapan ia adalah satu cara untuk meneroka nafsu.
Berbeza dengan work lain, siri 4 keping mix media ini lebih kotor dan rencam. Apabila melihatnya, kita nampak dan rasa kekabutan “penerokaan yang berlangsung ketika itu” lagi-lagi diiring dengan baris macam “Cow yang kumahukan. Cow yang kudambakan.”
Sebab ini proses meneroka sesuatu yang kita sering sulitkan, something yang tabu.
Meneroka adalah benda paling biasa seorang artis lakukan untuk menjejakkan diri mereka kembali kepada akar hidup dan akal yang sering tidak jelas. Ia proses untuk ambil tahu.
Jadi, tidaklah mengejutkan bila di muka pintu, pengunjung disambut dengan lapan keping kad Uno besar yang melatari sewajah keturunan Binti tiap satunya.

2 daripada 8 kad dalam siri “Main-main” hasil kerja Binti.
Siri yang dipanggil “Main-main” ini terlalu samar untuk difahami sekali duduk. Pertembungan kad Uno dan jalan hidup yang uncertain dilalui oleh para ancestor tersebut serasa macam terlalu jurang untuk dikaitkan.
Melainkan bila kita faham yang Uno adalah sebuah permainan kad yang maha-equal. Tiada kad yang outdo kad lain, biarpun berbeza simbol, warna dan angka.
Sebagai pemain, kita perlu bersedia untuk hadapi apa-apa situasi yang ditetapkan oleh pemain sebelum kita. Dari situ, kita cuma perlu bertahan, beradaptasi dan menunggu masa untuk menang.
Mengaitkan kisah neneknya yang buta huruf, soal Binti cumalah, "Cemana nenek aku boleh bertahan sampai aku boleh ada hari ini?".
Seperti memiliki kad Uno, yang nenek pengkarya ini buat dalam hidup biarpun serba kurang adalah bertahan dengan apa yang dia ada. Untuk dia mencapai “kemenangan” hidup.
Mungkin ini artwork paling mengelirukan. Banyak idea yang dizahirkan perlu disusun semula untuk connect the dots. Apatah lagi dengan keputusan Binti untuk menjana cermin mata pada wajah ancestors tersebut menggunakan AI.
Ia tak semudah bila kita bandingkan siri 12 bayangan pekerjaan yang dilakukan oleh Binti tiap bulan. Dalam “Employee of the Month: Funemployed”, artis ini menampal-conteng pelbagai garis, objek dan warna atas potretnya sendiri.

“Employee of the Month: Funemployed” hasil kerja Binti.
“I nak career yang tak kisah I jadi apa-apa,” adalah gejolak yang melanda hatinya. Dalam mendepani seni, Binti membina hubungan sesama karyawan dan akhirnya datang satu soalan: “Why bila kita buat art for the sake of art, kita akan terlepas untuk mengenal untung harta?”
Dari satu sudut, Funemployed macam pertandingan melukis setiap bulan. Potret Binti akan dikirim kepada dirinya sendiri dan apabila hari pertandingan tiba, dia perlu berfikir, “Aku nak jadi apa bulan ni?”
Dan objek-objek berkaitan pekerjaan tersebut pun akan dicari, digunting lalu ditampal. Pen warni akan memberi warna. Garis dan corak-corak rencam mencipta suasana. Lalu, kita sebagai pengunjung, akan tersengih melihat the idea of being a freelancer, sepanjang hidup.
Seorang artis multi-disiplin.
Ini mungkin satu label yang akan saya berikan pada Binti lepas dia kata dia terima segala adjektif, segala kata kerja yang diberikan padanya. Apa-apa gelaran, dia ambil.

“Adult Lovesong”, salah satu hasil kerja Binti yang membabitkan penyertaan dari orang awam.
To be frank, saya sedikit tertanggu dengan keterbukaan Binti untuk menerima apa-apa gelar sebab bagi saya, an artist perlu sedar sepenuhnya apakah dan siapakah dia? Sekurang-kurangnya pada satu-satu fasa.
Sejauh mana seseorang itu being open to whatever remarks yang diberikan padanya, sejauh itu juga dia dengan kefahaman tentang diri sendiri.
Tapi, mungkin inilah gaya Binti yang saya perlu terima. She just hate to have a full control over something.
Macam bila dia berat hati untuk berpameran solo beberapa tahun lepas. Baginya, “a solo exhibition meaning you have full control of the space. Macam I akan jadi tyrant, macam I jadi diktator,” jelas artis yang selesa untuk menghadapi hidup penuh rileks ini.
Rileks Binti terserlah pada gaya dia menampilkan diri, tapi dalam karya-karyanya, masih ada hati yang terlalu berat apabila berhadapan dengan segala tanda soal yang berlegar dalam kepalanya.
Kita tak perlu risau sebab selagi Binti tak segan untuk ambil tahu, selagi itu dia akan menemui apa yang perlu diketahui. Sebab setiap sesuatu baginya, ada something. Itu je penting.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply