- #mainsurat
- Posts
- 5 Babak Anteseden
5 Babak Anteseden
“Aku tulis ni lepas dengar. As a part of review, tapi dalam bentuk cerita. Dan semua cerita ni terjadi dalam EP ni.”
oleh Aliff Awan
i. Dia baru saja bangun daripada tidur. Baju yang basah. Tanpa senyum. Dan hembus lelah yang kuat. Detik jam seperti doanya yang kerap: “Boleh tak semuanya kembali jadi biasa? Aku tak nak dah pura-pura okay.”
Tanpa tahu pun, angin menyanyikan “cke”, memaksa dia untuk bangun daripada katil dengan senyum yang akan hadir nanti.
Dia perlu bersiap. Pukul dram dan getar gitar dalam angin menegangkan permulaan hidupnya hari itu. Ketika mandi. Ketika basah. Tapi, perlahan-lahan, pada korus, seperti burung dan kapal terbang memahami masing-masing, mereka menyanyi harmoni dan kita yang melihatnya terikut sing-along sekali.
D.antara minit yang ke 3:10 hingga 3:30, ketika dia tengah bersiap, di luar, UFO tengah tembak-menembak dan akhirnya, dia tersenyum penuh okay dan bersedia untuk pura-pura baik semula.
It’s so impossible.
Cover album Anteseden.
ii. Sebenarnya dia rindukan seseorang. Yang dah melukakan. Dia tak cukup duit pun nak beli krim untuk hilangkan parut degil. Apa “khabar”?
Sambil berjalan tanpa tuju, angin menekan synth dan memetik gitar, melarutkan rasanya yang tak sedar terlafaz, “Aku hiba/ Titik hitam lama bergumpal dan menghempasku”.
Kemudian, perjalanannya hambar walaupun dia masih larut dengan bahasa-bahasa yang tak sedar. Kereta tak ada bunyi, burung tak sibuk menyanyi. Rusuh angin menjadi bayu yang akhirnya melegakan perjalanan dia. Lega sebenarnya adalah marah dan kecewa yang terimbas di kepala menjadi ingatan menjadi lafaz paling ganas: “Luka yang lama/ Buka kembali/ Menitik darah ku terus menangis/ Dibuat bubur/ Jadinya nasi/ Suap sahaja/ Jadinya tahi”.
Kalau burung boleh bercakap dan kapal terbang boleh berhujah, mereka akan kata, “Sedap mamat ni punya ayat.”
iii. Perjalanan tanpa tuju akhirnya tamat di taman. Matahari dah tak tegak dan angin masih ada. Kali ini, dengan suara gadis yang duduk di bangku. Rupanya persis Shuhusna. Sebaik tiba di taman, apabila mendengarkan suara gadis itu, dia rasa lebih selesa. Macam dibelai. Nyaringnya mendayu. Nyaringnya memeluk.
Kakinya terpaku di atas tar, memandang bangku yang diduduki gadis. Di sebelahnya ada seorang lelaki. Mereka berpaling macam bencikan satu sama lain. Tapi, garau lelaki mengikut perlahan-lahan: “Mahuku tulis semua/ Yang gembira dan baik/ Tanpa ada duka lukanya/ Aku cuma manusia/ Perantara baik buruk/ Di dunia.”
Dia mengikut kata burung, mengikut hujah kapal terbang: “Bukan je sedap suara, kata-katanya pun sama!”
Daun rumput berlanggar-langgar, seakan telapak tangan yang berlaga, menghasilkan tepuk yang mengjungkitkan bibir. “D.antara”-nya ada senyum dan cemas. Macam hari tiba-tiba berpihak kepadanya. Macam semua benda sial tadi tak pernah wujud. Dia dah okay!
Tapi, tak lama. Guruh cemburukan benda-benda baik, lalu melanggar awan, mengejutkan dia. Dentum menyiat hatinya yang hampir jatuh; membunuh. Terketar-ketar. Tanpa penutup, dia pun tergesa-gesa ke rumah.
Vokalis Motherwit sewaktu Pelancaran EP Anteseden. Tulisan mengenai pelancaran akan keluar kemudian.
iv. Dah terlalu jauh untuk selamat daripada kuyup. Dalam hujan yang masih memautkan guruh, angin makin kuat. Macam ribut. Pokok-pokok dah tak tenggelam di dalam tanah. Ranting-ranting melepaskan badan, meninggalkan dahan. Badannya luka, dicalar-calar kayu.
Dan kata-katanya celaru. Menjadi bahasa yang tak faham dan paling teruk hari ini.
Dia terdesak untuk kekal hidup. Jadi, nafasnya terputus-putus. Sebelum sempat satu, satu lagi nafasnya dah putus. Mencemaskan kita yang melihatnya.
“Salam”. Rumah dah nampak dan dia makin tak tahan. Desaknya menjerit tinggi, sesuatu yang kita takkan pernah tahu dia akan buat. Jerit yang melepaskan luka badannya. Jerit yang kita harap menenangkan dia.
v. Dan selepas luka pada badan. Dan selepas jerit serta doa ketenangan yang akan hadir, dalam kuyup, dia dah tak rasa apa. Termasuk “sunyi”.
Dia dah lupakan hari buruk dan punca hari buruk. Hati dah selesa. Jantung dah tak laju. Angin masih di situ, cuba menjadi pemeluk tidak langsung. Kali ini, hembusnya lebih perlahan dan terurus. Tidak terkejar-kejar dan gemuruh. Tapi, hidup belum sepenuhnya elok. Sebab luka belum sembuh, tapi dia percaya, dengan sekali jerit lagi, dia akan sembuh.
Mengumpul tenaga dan marah, bersama-sama burung dan kapal terbang yang melihat dari luar, dan kita yang menyibuk dari sini, dia menjerit. Melepaskan semuanya. Tak bingit pun. Harmoni. Macam hatinya sekarang. Macam hidup yang dia dah lama nakkan.
Serabutnya dah dihalau.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply