• #mainsurat
  • Posts
  • “Warna” Cerita Sulung oleh —Seru

“Warna” Cerita Sulung oleh —Seru

Tingkap belakang kerusi KTM biasanya penuh retak. Dan pintunya pula, akan menampung air hujan yang dah berwarna coklat. Jadi, tak ada benda menarik yang boleh dilihat untuk memujuk penat tubuh kerja supaya perlahan-lahan tenang.

Bila melihat cermin pandang luar yang sengsarakan mata, ada dua benda yang pernah muncul ketika saya duduk untuk pulang ke rumah:

i) Apa pelancong luar fikir bila nampak tingkap-tingkap ini, dan
ii) Kalau tak nak tengok luar, apa perlu saya buat?

Baca buku. Saya pilih untuk baca buku. Dari satu halaman ke halaman yang lain, ketenangan saya hadir selepas dipujuk oleh kumpulan album pilihan. Biasanya, bunyinya perlu tenang. Rileks, tak serabut dengan kata-kata yang akan buatkan otak keliru.

Antara album yang berjaya pujuk saya adalah OST Spider-Man: Across the Spider-Verse yang dibuat bunyi-bunyiannya oleh Metro Boomin. Selepas bosan, selama beberapa bulan saya asyik mengulang-ulang "Sulung", album dari —Seru.

Bila terlalu kerap mengulangnya, terbayanglah saya menulis, duduk sambil laptop di depan. Jari asyik menekan-nekan huruf tapi apabila skrin dilihat, yang ada cuma kertas kosong putih. Terjaga saja dari mimpi terfikirlah saya, “Apa yang orang tulis tentang album posrok macam ini?”

Hanya buku yang hampir dengan saya, jadi boleh tak kalau kita umpamakan Sulung ini sebagai sebuah “buku” yang sedap?

Album art “Sulung” oleh —Seru.

Setiap kali duduk di dalam tren, buku akan dibaca. Setiap satu minggu, selalunya dua buah buku akan dihabiskan. Bila hilang fokus, “Sulung” akan dipasang.

Album ini dibuka dengan Pra-Kata. Mirip sebuah buku. Dalam prakata, penulis biasanya memberi sedikit rasa bagaimana seluruh cerita di dalam buku akan bergerak. Dan melalui konsep ini, —Seru terang-terang cubit telinga kita selama 4:17 minit untuk beritahu “Macam inilah sound aku kalau kau tak pernah dengar.”

Senang kata, mereka cakap dekat saya yang baru pertama kali nak kenal mereka.

Ia disambung dengan Urna yang pada 8 saat awal, ia berdiam diri sebelum gitar dipetik nakal dan memberitahu tahu “warna” sebenar cerita mereka nak sampaikan dalam “buku” kali ini. Cerita apa?

Ketika Google digeledah, saya dapat tahu ini adalah album dan muzik pertama Seru yang dapat kita dengar (tanpa datang konsert) selepas mereka wujud sejak 2018. Kata mereka, “Sulung adalah perjalanan pendengaran, menangkap intipati kehidupan manusiawi dari pencarian hingga penemuan diri.”

Saya kira inilah cerita yang ingin dibawakan dalam “buku” ini. Bagaimana hidup adalah serba rencam, intense, apabila kita okay, ia jadi intense semula dan yang kita perlukan adalah warna. Warna yang cukup untuk buatkan hidup lebih segar, seronok, manusiawi dan akhirnya bertemu dengan diri sendiri yang mungkin hilang ketika pra-sekolah atau ketika di usia remaja.

Ini cukup sesuai dengan bacaan puisi ringkas yang sempat terselit dalam Sambung Nyawa:

“Aku berlari mencari serpih-serpih
yang kini hilang dan lenyap
di dalam setiap kata yang terkesan.”

Menyelak muka surat seterusnya, kita ditemukan dengan Selingan yang disambung dengan 6 lagi lagu sebelum album ini tamat.

Konsep Seragam & Idea kemas.

Dalam penulisan, kekemasan idea dan idea yang seragam adalah amat penting. Lagi-lagi kalau ia hadir sebagai sebuah buku bercetak. Dan, semangat ini ada dalam album Sulung —Seru ini.

Setiap lagu bersambung-sambung walaupun tanpa ada transition yang terlalu memaksa. Jedanya tepat, bermulanya pun tepat. Menjadikan konsep yang diinginkan oleh –Seru, sebuah cerita dan perjalanan hidup manusia, dalam album ini menjadi.

Kita rasa terikat sepanjang mendengarkannya. Bunyinya menemani perjalanan 40 minit saya ulang-alik tanpa menghadirkan penat, sebetul-betulnya berjaya memujuk lelah sehari. Kalau ia adalah sebuah buku, setiap bab cerita ada cliffhanger yang cukup interesting untuk kita sambung baca bab-bab seterusnya. Contoh? Novel Asmaradana oleh Hilmi Loma.

Cuma, saya sedikit ralat dengan gitarnya. Ia terlalu dominan.

Kalau tak ada gitar dalam semua lagu, muziknya akan kedengaran sangat lemah dan tak ada apa-apa yang istimewa. Petik gitarnya menjadi ketua yang sangat kuat dan kalau ia mati, diculik atau hilang, konco-konconya tak ada hala tuju yang tepat dan terpaksa menjadi kumpulan yang tidak istimewa.

Namun, jika ‘gitar wajib dominan” adalah sesuatu yang —Seru inginkan kali ini, takkanlah ambo nak ngamuk kan?

Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].

Reply

or to participate.