- #mainsurat
- Posts
- Macam Mana Pangrok Sulap Buat Saya ‘Nangis?
Macam Mana Pangrok Sulap Buat Saya ‘Nangis?
oleh gridmeja
Dalam TV, bila ada kampung, mesti ada sekumpulan budak dengan gitar yang menyanyi bersama. Baik di tangga rumah, atau di tepi-tepi longkang. Dan juga di gerai. Sebalik nyanyi yang kadang-kadang memanggil hujan, ada senyum yang muncul dan lelah yang terlepas daripada bahu terutama bila nyanyian disambut oleh kawan.
Adakah ini another portrayal yang tidak nyata, atau berlebih-lebihan? Mungkin? Saya kurang fasih sebab bila lahir, rumah dah sedia batu, nenek-atuk dah diselimut tanah. Jadi, kampung tiada, pengalaman pun sifar. Tapi, soalan ini hampir terjawab bila saya healing di Kota Kinabalu beberapa bulan lepas. 3 hari di sana, mengesahkan yang Mungkin adalah Sememangnya.
Cover album Orang Kampung.
Rupanya ia betul-betul terjadi. Sekurang-kurangnya di sana. Bukan dalam skala kampunglah sebab saya di bandar KK. Tapi, sekumpulan budak yang bersahut-sahutan menyanyi tu ada. Dan bila kembali ke Selangor, ini antara pengalaman yang masih membekas dalam kepala. Membuatkan saya hubungi Syaheeda Hamdani (Ed) dan tanya, kalau ada mana-mana artis di Sabah yang saya perlu tahu?
Selepas 9 jam, cadang Ed, Nadira Ilana. Atau Adi. Dan Memeto Jack. “Dua orang tu under Pangrok Sulap. Cool juga nak interview.”
Jadi, malas buang masa, Google digeledah sebab sebenarnya, nama Pangrok Sulap pernah lepak di telinga. Cuma kenal nama. Sifar tahu apakah ia. Mungkin, ini panggilan wahyu untuk saya peduli pasal mereka?
Google tawar macam-macam artikel tentang kolektif seni dari Sabah ini. Fokus dengan aktiviti kemanusiaan dan penghasilan seni cetakan, mereka cuba untuk membangunkan komuniti terpinggir dan marjinal yang ada di sana. Melalui seni.
Termasuklah lagu dan nyanyi-nyanyi. Yang akhirnya menyebabkan mini album ‘Orang Kampung’ muncul pada November 2022 dengan rinci penghasilan yang perlu ditepuk-tangan. Jingga kotak packaging menampilkan sebuah lukisan seni cetak yang padat; diisi dengan alat-alat muzik yang kita kenal dan tidak, sebuah sulap berdiri di tengah-tengah sambil beberapa ekor ayam melepak di depan.
Muka hadapan packaging mini album Orang Kampung oleh Pangrok Sulap.
Tanpa sebarang harapan (walaupun ada keterujaan yang melimpah lepas parcel sampai), CD dipasang. Dan… sebaik saja gitar dipetik dan harmonika ditiup, hiba bergayut di hati, memungkinkan nangis yang saya tak pandai. Seringkas 4 lagu, saya rasa macam ‘dipilih untuk menjadi pendengar yang baik’ dan di hadapan, sekumpulan orang tengah mengadu, “Tolonglah, tolonglah dengar apa yang kami nak di Sabah ini.”
Tak ada benda yang terlalu besar mereka minta sebenarnya. Bukan KLCC atau another bangunan jari tengah (baca: Merdeka 118), cuma tolong benarkan mereka hidup dengan selamat, tenang dan adil.
Sebelum celaka yang datang oleh tangan politik dan orang pura-pura, selesa adalah milik ‘Orang Kampung’ Sabah. Tanpa kasta, semuanya akur rileks di kampung untuk
“bercucuk tanam hidup sederhana/
bersaudara dengan alam/
makan pinang hisap sigup kirai/
tangkap ikan dan kejar ayam”
Kemudian, gabungtemu antara frasa popular aramaiti dan baris "tinggi-tinggi gunung kinabalu" yang cukup sinonim se-Malaysia, 'Erosi Rakyat Aramaiti' tengah melaung-pujuk sedih yang dah mula menutup ceria hati.
“mari menyanyi rakyat negeri/
jangan bersedih ceriakan hati/
mari menyanyi ikut gerak tari/
dengar lagu ini, ingat sampai mati”
Pangrok Sulap mengingatkan yang selagi mereka sebagai sebuah komuniti kekal bersama-sama, semuanya pasti akan selamat, gembira dan baik-baik saja. Sebab sejauh mana pun ada orang luar yang cuba melawan bagi pihak mereka, mungkin ada yang sekadar bermuka-muka dan mengikut trend. Untuk menjadi terpaling dan terpaling. Dalam ramai-ramai yang di hadapan, ada 'Penentang' yang dah menginap di dalam surga ciptaan koruptor.
"dengarlah yang di tentang/
tidak akan selesai apa-apa/
selagi masih memilih korupsi/
membenih-benih, menjadi-jadi"
Akhirnya, suara yang tak terdengar, memunculkan soalan; 'Merdeka-kah Kita?'. Sebab kenapa "kaki kita (mereka) masih diikat/ tangan di belakang bergari wang". Macam kebebasan hanya untuk orang yang dibutakan, dipekakkan dan dibisukan.
Apalah guna "hidup ada segalanya, tanah dan juga alam" kalau semuanya dah tak jadi "milik kita, tanah kita, adat kita"?
Sebenarnya, lagu-lagu ini mengingatkan saya kepada P-RM yang bila muncul di benak jiwa, menimbulkan hiba yang sama waktu mendengar Pangrok Sulap. Dua-dua bercakap tentang masyarakat. Dan penuh dengan harap-harapan.
Cuma dalam mini album ini, Pangrok Sulap mengulang formula sama untuk hampir kesemua lagu; nyanyian duo untuk beberapa rangkap lirik sebelum ditamatkan dengan harmoni-laung beramai-ramai. Laung harmoni ini menjadikan lagu-lagu yang telah pun wujud sejak 2013-2014 itu kedengaran macam sebuah kesepakatan. Macam satu kampung masuk studio rakaman dan “Jom record! Kasi semua orang dengar suara kita, bukan suara aku je.”
Dan ini menjadikan ia lebih bermakna. Buatkan saya hiba.
Sebab dalam banyak-banyak hal, selain kemajuan yang boleh bawa manfaat kepada orang-orang Sabah yang terpinggir, yang mereka betul-betul perlukan adalah keselamatan, hidup tenang dan dilayan secara adil.
Dan untuk semua ini terjadi, suara mereka perlu jadi nombor satu. Dalam apa-apa hal sekalipun.
Poster acara pelancaran buku Pangrok Sulap Sedekad Seni Merakyat.
Sempena ulang tahun ke-10, selain mini album ini, mereka ada terbitkan sebuah buku berjudul “Pangrok Sulap: Sedekad Seni Merakyat” yang menghimpunkan 15 esei tentang nilai-nilai yang dibawa oleh mereka dalam bidang seni dan aktivisme. Maybe we should read, sekurang-kurangnya untuk fahamkan lebih lanjut tentang manusia dan komuniti yang pelbagai di Malaysia terutamanya. Dah ready nak baca BUKU ni ke?
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply