- #mainsurat
- Posts
- A Callout To The Man: Respons Terhadap Keganasan
A Callout To The Man: Respons Terhadap Keganasan
A callout kepada semua individu dalam ekosistem muzik indie Malaysia, terutama lelaki.

oleh Aliff Awan
Kita buka scene muzik tempatan tahun ini dengan barisan pemuzik yang mengajak kepada keganasan.
Seingat saya, ia bermula dengan pemenang AJL yang tanpa segan silu nak pijak peminat mereka yang ekspresif menzahirkan kecenderungan seksualiti mereka yang berlainan. Acting cool, tanpa sedar dia mengajak kepada keganasan bila ada peminatnya yang balas tweet tersebut dengan rasa berkobar-kobar nak sahut ajakan memijak orang lain itu.
Kemudian, hadir pula vokalis band suka berpantun yang nak pukul orang juga. Kali ini, ia tak halakan kepada peminat, tapi seorang individu lain yang turut ada dalam scene muzik tempatan.
Dua kes nak-pukul-orang-sebab-itu-je-cara-selesaikan-masalah yang berlaku berturut-turut ini buat saya tinggalkan media sosial sekejap dengan jantung yang laju.
Selepas bertenang lama, semalam, 10 Mei 2025, keganasan telah berlaku.
Di Johor Bahru, vokalis Armpunk Syndicate iaitu Zed, telah dipukul oleh 7 orang botak tua selepas keluar dari tandas.
7 lawan 1. Ramai-ramai pukul seorang.
Dan ia adalah cerita sial yang jantung saya tak boleh nak tolerate.
Apa yang berlaku dalam tempoh kurang 6 bulan ini, semuanya dimulakan oleh satu gender saja.
Lelaki.
Mungkin anda rasa saya akan mula bersimpang-siur menghuraikan isi panjang artikel ini dengan hujah-hujah gender, tapi apa yang berlaku adalah sebuah testamen terhadap komuniti lelaki dalam scene muzik tempatan. Sekurang-kurangnya setakat Mei 2025.
Selain pengamal media, event organizer dan krew, adakah pemain muzik tempatan sedar yang jika mereka ada peminat, maka setiap perkara yang diungkapkan adalah sebuah tanggungjawab?
Anda mungkin tak sebesar Hael Husaini atau Anuar Zain, tapi tahu dok apa-apa ajakan anda akan disahut oleh peminat muzik anda? Mungkin bukan 100% tapi ada peratusnya. Termasuklah ajakan kepada keganasan.
Perlahan-lahan, keganasan ini akan menjadi perkara biasa dalam ekosistem anda.
Ia akan bertukar menjadi lahiriah sebab tak ada siapa dalam ekosistem tersebut yang beranggapan keganasan = kejahatan. Padahal kita semua tahu kejahatan perlu dicela hatta niatnya bagaimana sekalipun.
Ia adalah sebuah lumrah yang menjadikan ekosistem tersebut negatif. Kitaran yang tidak sepatutnya terjadi.
Hal kompleks seksualiti dan gender lelaki adalah perkara yang takkan pernah selesai. Malah, ia hampir-hampir tidak pernah diselak oleh lelaki berpunai. Terutama di Malaysia.
Ada hal yang boleh dipanjangkan, tapi satu hal psikologi paling mudah untuk dibahaskan adalah tentang bagaimana jantina kompleks ini melayani emosi mereka.
Untuk mereka terima emosi marah, kecewa, sedih dan geram mereka adalah hanya dengan satu cara iaitu kekerasan. Bertumbuk, sepak, pukul dan ingin melihat individu yang dianggap lebih kerdil daripada mereka “duduk rendah” terkulai. Hanya dengan itu pembuli-pembuli ini akan berasa puas.
Dan kepuasan tersebut adalah apa yang mereka ingin capai.
Sedangkan penerimaan emosi paling baik adalah menerima perasaan tersebut secara total dan memilih untuk bertindak dengan kewarasan akal. Bertindak dengan otak, bukan dengan tangan dan kaki. Malah, bukan dengan senjata.
Apa-apa yang berlaku dalam tempoh kurang 6 bulan ini, kita tak nampak penerimaan emosi yang paling baik ditunjukkan oleh gender ini. Lagi-lagi setiap kes yang berlaku, kita tak nampak apa yang perlu dipijak dan ditumbukkan.
Yang berlaku adalah seorang lelaki yang rasa dia superior, muncul niat dan tak sabar-sabar nak belasah individu yang dianggap sebagai sebuah threat.
Apa yang mengecewakan, keganasan ini bukan saja berlaku dalam scene muzik tempatan namun ia telah menjadi ruji dalam kehidupan harian. Terutama pasca-Covid 19.
Lebih ramai lelaki yang tak mampu regulate emosi mereka, bertindak dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan luar kawalan. Kita semua tahu kenapa. Antara alasan kes keganasan ini makin menjadi-jadi sekarang adalah kerana sejak kecil, lelaki tak diberi galakan untuk menzahirkan emosi mereka dengan cara yang hemah. Sebab kalau mereka nangis, mereka pondan. Kalau mereka marah, tak jantanlah tak settle dengan belasah.
Hari-hari, hampir setiap jam, akan ada berita lelaki yang melakukan jenayah kekerasan keluar. Saya akan nampak skema kalau saya kata ini adalah hal yang besar. Ia bukan setakat hal scene, tapi ia hal komuniti dalam negara.
Tapi, memandangkan kes-kes yang dikumpulkan dalam #mainsurat ini adalah berpandukan recent cases dalam scene muzik tempatan, kita anggap ini masalah scene dulu sebelum masalah masyarakat yang lebih besar.
Kalau lelaki sukakan cabaran, saya cabar lelaki untuk cari, lalu contohi seorang role model lelaki yang bijak menyantuni emosi mereka dan bertindak dengan kewarasan. Tanpa membawa kepada keganasan. Sifar pukul-memukul.
Dan saya percaya, segala tindakan tanpa menggunakan otak ini tidak patut berlaku di mana-mana. Terutama dalam sebuah scene kecil yang tidak diambil peduli oleh komuniti yang lebih major.
Dalam bahasa mudah, kita ada kita je. Kalau ia bukan sebuah ancaman yang mengganggu keselamatan, kenapa perlu melulu mengejar keganasan?
Setakat Mei, ada 7 lagi bulan untuk kita, lelaki, belajar menerima dan hargai setiap emosi yang kita rasa.
Perlahan-lahan, secara waras dan terkawal, kita perlu cela, hina, rejam dan keji setiap saat kita terfikir untuk melakukan keganasan. Sama seperti kita tusukkan kemarahan kepada 7 lelaki tua botak yang kemaruk jadi penjenayah tadi. Semoga Allah mengarahkan keadilan untuk Zed dan Armpunk Syndicate.
This is a callout to the man. Scene muzik tempatan kita terlalu kecil dan inklusif untuk ia jadi tidak selamat (unsafe) atas tindakan anda, yang tidak tahu mengawal emosi.
Bagi memastikan ruang ini selamat untuk semua orang yang berada dalam ekosistemnya dan orang yang akan masuk ke dalam ekosistemnya nanti, ia bukan setakat kerja media dan event organizer, tapi ia tanggungjawab peminat, pendengar dan “nabi” mereka iaitu pemain muzik. Ia kerja kita bersama.
Disclaimer: Saya tak nafikan ada kekerasan yang berlaku di kalangan wanita dan gender lain. Pendapat ini adalah based on whatever happen dalam recent cases tahun ini (setakat 12 Mei 2025), dan semestinya ia adalah sebuah respon semasa. Seperti yang ditegaskan dalam surat ini, keganasan tak sepatutnya berlaku di mana-mana tidak kira apa gender, bangsa, fahaman politik dan agama. Hidup dah sedia palat untuk kita bergaduh sesama kita. Yang kita perlu cela adalah manusia-manusia yang salah guna kuasa.
Hantarkan kiriman anda berupa surat, ulasan, kritikan, reviu, komen, esei tentang seni atau apa-apa yang seangkatan dengannya kepada [email protected].
Reply